SEKITAR 6,000 penjaja dari lebih 110 pusat penjaja serata Singapura akan menerima label yang menunjukkan status warisan budaya tidak ketara Unesco baru mereka.
Ini setelah budaya penjaja Singapura secara rasmi disertakan dalam Senarai Wakil Unesco Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ketara kelmarin.
Pengiktirafan Unesco itu bermakna budaya penjaja Singapura akan dilindungi dan ditonjolkan kepada penduduk setempat dan pengunjung dari luar negara.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, memulakan pengagihan label itu di Pusat Makanan Ghim Moh semalam.
Encik Tong berkata dengan pengiktirafan Unesco itu, semua orang di Singapura kini perlu berusaha mengekalkan budaya penjaja bagi memastikan generasi akan datang terus menikmati dan menghargainya.
"Budaya penjaja lebih daripada sekadar makanan. Ia menunjukkan kita sedikit tentang sejarah, warisan makanan itu dan dari mana asalnya. Ia juga merupakan tempat berkumpul bagi orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya rasa itu adalah sesuatu yang harus kita hargai. Ia adalah simbol indah tentang kita sebagai sebuah negara."
Laporan lanjut : Pengiktirafan Unesco satu seruan galak, kekal budaya penjaja