Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penjaja optimistik niaga bakal pulih

Beberapa pemilik gerai anggar pendapatan naik antara 20 hingga 60% selepas langkah baru dilaksana
Dec 03, 2021 | 05:30 AM



Pilihan makan luar bagi warga Singapura kini lebih luas, dengan kumpulan lima orang yang telah divaksin kini dibenar makan bersama di lebih 100 pusat penjaja di serata negara. Ini sebahagian langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) yang memerlukan pusat penjaja melaksanakan pemeriksaan status vaksin di pintu masuk. BERITA HARIAN melaporkan.



PENDAPATAN harian tidak bertambah kepada tahap yang diharapkan, tetapi penjaja berkata mereka kini lebih optimistik perniagaan mereka akan terus pulih kerana lebih ramai pelanggan kini boleh makan semeja di pusat penjaja.



Ini sebahagian langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS), yang memerlukan pusat penjaja melakukan pemeriksaan status vaksin di pintu masuk.



Buat masa ini, 102 pusat penjaja membenarkan sekumpulan lima orang yang sudah divaksin untuk makan semeja, meskipun mereka dari isi rumah berlainan.



Ini termasuk beberapa pusat penjaja yang popular seperti di Pusat Makanan dan Pasar Haig Road, di Our Tampines Hub (OTH) dan Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai.



Apabila ditemui Berita Harian (BH) baru -baru ini, beberapa pemilik gerai di OTH dan Geylang berkata berkata mereka menganggarkan pendapatan harian meningkat antara 20 hingga 60 peratus selepas orang yang divaksin dari isi rumah berasingan dibenar duduk semeja.



Namun, ada pula yang berkata ia terlalu awal untuk mengatakan pendapatan mereka telah bertambah kerana keadaan masih boleh berubah dengan kehadiran varian baru Covid-19.



Cik Salama Salim, 56 tahun, pemilik Hj Salim Food Stall di Kopitiam OTH berkata keadaan perniagaannya rata-rata masih "seperti biasa."



"Tapi ada lebih sedikit, sekitar 20 peratus sejak lebih ramai orang datang makan," katanya.



Cik Salama menambah, apabila larangan-larangan sebelum ini dikuatkuasakan, perniagaannya dapat dikekalkan dengan sokongan daripada tempahan dalam talian.



Selain itu, pengecualian sewa dan bantuan kewangan sebanyak $500 yang ditawar pemerintah juga membantu perniagaannya menampung kos.



"Sebelum kelonggaran terbaru ini, bila hanya dua orang sahaja dibenarkan duduk bersama, memang keadaan tak begitu ramai, tetapi penduduk dan pekerja di pejabat tetap tempah dari sini," kata pemilik gerai nasi campur itu.



Cik Mariyah Gumbrek, 59 tahun, pemilik Mommy Rendang pula berkata perniagaannya dijangka kembali stabil kepada sekitar 90 peratus.



"Sebelum ini, untuk lihat perniagaan saya bagus atau tidak, saya akan lihat (tong) nasi.



"Kalau perniagaan rancak seperti biasa, saya akan gunakan dalam dua tong setengah, tapi sekarang cuma satu tong setengah. Sekarang sudah mula kembali seperti biasa sedikit," tambah Cik Mariyah, yang sudah berniaga di situ sekitar tiga tahun.



Tinjauan di Geylang Serai pula mendapati penjaja berkata bahawa perniagaan lebih rancak pada hujung minggu, terutama setelah permulaan cuti sekolah.



"Pada awalnya, perniagaan tidak banyak perubahan. Ia bertambah baik pada hujung minggu, namun tetap perlahan pada hari biasa.



"Tetapi pada hari biasa, lebih ramai orang datang sebelah petang memandangkan sekarang sudah cuti sekolah" kata pemilik gerai TakdeNama, Encik Mohammad Noorham Noordin, 45 tahun.



Awal minggu ini, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 mengumumkan langkah keselamatan yang diperketat di sempadan, dan juga penundaan sekatan langkah sosial buat seketika - sebagai sebahagian usaha untuk mengelak varian Omicron daripada bertapak di sini.



Sebahagian penjaja yang ditemui BH meluahkan keprihatinan sekiranya pihak berkuasa melaksanakan semula langkah sekatan sosial yang lebih ketat.



Turut meluahkan keprihatinannya adalah pemilik gerai Otak-otak Kampung di Pusat Makanan Geylang Serai, Encik Normanshah Mohd Sah, yang berkata ramai penjaja masih mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan norma baru ini.



"Sedang kita menyesuaikan diri dengan norma baru, kami amat mengalu-alukan pengunjung ke pasar Geylang Serai.



"Walaubagaimanapun, kami menggesa pengunjung supaya mematuhi langkah-langkah jarak selamat dan memakai pelitup supaya membendung penularan Covid-19 terutama dengan kembimbangan varian baru.



"Jikalau kes meningkat, saya bimbang kita akan balik semula ke fasa langkah keselamatan yang diperketat," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >