Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Search Distance From Your Location = 1 KM
100 M 1 KM
No restaurant found within  from your distance.
Setempat0

SUSULAN BELANJAWAN

Penjaja tidak dilupa, pengecualian sewa satu bulan disambut lega

Feb 20, 2020 | 05:30 AM

APABILA beliau mendengar berita bahawa pemerintah akan menawarkan pengecualian sewa satu bulan bagi pemilik gerai pusat penjaja dan pasar yang diuruskan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Sheik Abdul Hannan Sheik A. Hamid terkejut dan membacanya berulang kali.

"Pada mulanya, saya seperti tidak percaya tapi selepas membaca lagi, saya rasa tersentuh pemerintah juga prihatin tentang nasib penjaja seperti saya di tengah-tengah wabak koronavirus sekarang.

"Sebelum ini, kita hanya mendengar tentang bantuan yang ditawarkan kepada sektor yang terjejas secara langsung oleh wabak ini seperti sektor pelancongan dan pengangkutan tetapi ramai lagi yang terjejas juga seperti penjaja dan saya gembira pemerintah pun prihatin tentang kami," ujar pemilik gerai nasi beriani di Pasar Geylang Serai itu.

Ini lebih-lebih lagi kerana menurut Sheik Abdul Hannan, perniagaannya terjejas dan berkurangan sekitar 20 peratus sejak bulan lalu ekoran wabak itu kerana sesetengah pelanggan yang mengelak daripada tempat ramai orang berkumpul.

Semasa membentangkan Belanjawan kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan bahawa ini merupakan antara bantuan yang dihulurkan pemerintah bagi menyokong sektor perniagaan runcit dan khidmat makanan sebagai mengurangkan kesan penularan koronavirus.

Ia adalah sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai $4 bilion yang bertujuan membantu sektor yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

Antara lain, NEA akan menawarkan pengecualian sewa sebulan bagi pemilik gerai pusat penjaja dan pasar yang diuruskan NEA, dengan pengecualian minimum sebanyak $200.

Sementara itu, agensi pemerintah seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menawarkan pengecualian sewa setengah bulan kepada penyewa komersial.

Pengecualian sewa ini akan menelan belanja $45 juta.

Golongan penjaja seperti Sheik Abdul Hannan menyambut baik bantuan yang dihulurkan pemerintah pada saat yang tidak menentu ini.

Namun, beliau berharap pemerintah dapat mempertimbang meluaskan bantuan bagi golongan penjaja jika perlu pada masa akan datang kerana tidak pasti bila wabak itu akan berakhir.

Sentimen itu turut dikongsi pemilik gerai Warong Sapari, Encik Sumadi Sapari, di pusat penjaja Adam Road.

Menurut Encik Sumadi, beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan itu, lebih-lebih lagi kerana kesan wabak Covid-19 sudah mula dirasanya, dengan jumlah pelanggan berkurangan sekitar 30 peratus berbanding biasa.

"Saya cadangkan mungkin pemerintah boleh kurangkan sewa bagi golongan penjaja sebanyak 50 peratus selama tiga bulan.

"Ini kerana kalau dengan pengecualian sewa sebulan, adakah keadaan akan bertambah baik atau pelanggan masih berkurangan selepas itu?" ujarnya.

Bagi pemilik bersama Selera Rasa dan Crave - The Original Adam Rd Nasi Lemak by Selera Rasa, Encik Abdul Malik Hassan, beliau juga merasakan kesan dek wabak Covid-19 itu, dengan perniagaannya berkurangan 30 peratus.

"Bantuan daripada pemerintah ini amat dialu-alukan kerana penjaja tidak menjual makanan dengan harga yang mahal.

"Dengan keadaan sekarang, pastinya susah untuk kami terus bertahan tanpa bantuan seperti ini," ujarnya.

Di pusat penjaja lain termasuk di Blok 22, Toa Payoh Lorong 7, penjaja juga mendapati jumlah pelanggan berkurangan sedikit seperti pada waktu makan tengah hari, antara lain disebabkan sesetengah syarikat dan pertubuhan yang kini membenarkan pekerja bekerja dari rumah atau di tempat berbeza.

Menurut pemilik gerai Oiishii Corner yang menyediakan sajian halal Jepun di pusat penjaja itu, Encik Ramli Ibrahim, pengecualian sewa sebulan itu mencukupi baginya untuk mengharungi masa ini sementara menangani harga kos lain termasuk air api dan bahan makanan yang kekal sama.

"Kalau keadaan bertambah teruk pada masa akan datang, saya harap pemerintah dapat terus membantu kami dengan lebih meluas untuk meringankan beban kami," kata Encik Ramli.

Pada masa yang sama, beliau juga akan mempertimbang strategi seperti menawarkan khidmat penghantaran makanan jika lebih ramai orang mengelak daripada keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga pada masa akan datang.


"Bantuan daripada pemerintah ini amat dialu-alukan kerana penjaja tidak menjual makanan dengan harga yang mahal.

"Dengan keadaan sekarang, pastinya susah untuk kami terus bertahan tanpa bantuan seperti ini."
- Pemilik bersama Selera Rasa dan Crave - The Original Adam Rd Nasi Lemak by Selera Rasa, Encik Abdul Malik Hassan.

"Kalau keadaan bertambah teruk pada masa akan datang, saya harap pemerintah dapat terus membantu kami dengan lebih meluas untuk meringankan beban kami."
- Pemilik gerai Oiishii Corner yang menyediakan sajian halal Jepun di pusat penjaja, Encik Ramli Ibrahim.

"Sebelum ini, kita hanya mendengar tentang bantuan yang ditawarkan kepada sektor yang terjejas secara langsung oleh wabak ini seperti sektor pelancongan dan pengangkutan tetapi ramai lagi yang terjejas juga seperti penjaja dan saya gembira pemerintah pun prihatin tentang kami."
- Sheik Abdul Hannan Sheik A. Hamid, pemilik gerai nasi beriani di Pasar Geylang Serai.

"Saya cadangkan mungkin pemerintah boleh kurangkan sewa bagi golongan penjaja sebanyak 50 peratus selama tiga bulan.

"Ini kerana kalau dengan pengecualian sewa sebulan, adakah keadaan akan bertambah baik atau pelanggan masih berkurangan selepas itu?"
- Pemilik gerai Warong Sapari, Encik Sumadi Sapari, di pusat penjaja Adam Road.


Sokongan tambahan bagi sektor terjejas akibat Covid-19

Sektor yang terjejas termasuk sektor pelancongan, penerbangan, runcit, khidmat makanan serta penyedia khidmat teksi dan kereta sewa privet

KHIDMAT MAKANAN DAN RUNCIT:

– NEA akan menawarkan pengecualian sewa satu bulan bagi pemilik gerai pusat penjaja dan pasar yang diuruskan NEA, dengan pengecualian minimum sebanyak $200

– Agensi pemerintah lain seperti HDB akan menawarkan pengecualian sewa setengah bulan kepada penyewa komersial

– Pengecualian sewa ini akan menelan belanja $45 juta

– Rebat cukai hartanah sebanyak 15 peratus juga akan diberikan bagi hartanah komersial yang layak
 

 

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian