BEKAS pengarah restoran Zam Zam Singapura, yang mendalangi serangan pada 2015 terhadap seorang penyelia restoran jiran, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan hari ini (11 Mei).
Pada Mac lalu, Hakim Daerah Matthew Joseph mendapati Zackeer, 49 tahun, dan bekas pegawai keselamatan Anwer Ambiya Kadir Maideen, 50 tahun, masing-masing bersalah atas satu tuduhan berkomplot untuk menyebabkan kecederaan kepada Liakath Ali Mohamed Ibrahim dengan senjata.
Liakath bertugas di restoran Victory, yang terletak bersebelahan Zam Zam di North Bridge Road.
Insiden itu berlaku sekitar 10 malam pada 26 Ogos 2015.
Zackeer juga didapati bersalah kerana mengancam untuk mencederakan Liakath, 52 tahun, pada 22 Ogos 2015.
Zackeer bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $75,000.