Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LARANGAN EKSPORT AYAM KE S’PURA

Penjual ayam tenang, ada bekalan alternatif

Bekalan ayam beku tetap ada, peniaga dan pembeli tidak perlu bimbang
Jun 09, 2022 | 05:30 AM



PENJUAL ayam segar dan pemilik gerai makanan tidak begitu bimbang tentang bekalan ayam di sini, seminggu selepas larangan eksport ayam segar dari Malaysia ke Singapura dikuat kuasa pada 1 Jun lalu.



Ini kerana bekalan ayam masih mencukupi, malah terdapat alternatif lain seperti ayam beku buat perniagaan, demikian menurut tinjauan rambang Berita Harian (BH) terhadap lapan penjual ayam segar dan pemilik gerai makan di Geylang Serai semalam.



Rata-rata tinjauan itu mendapati penjual tetap tenang, bahkan bersedia dan bersikap terbuka untuk beralih menjual ayam beku kepada pelanggan.



Pemilik kedai ayam segar Mutiara 99, Encik Ilmi Izhar, berkata beliau bersyukur bilangan pelanggannya pada hujung minggu sejak larangan eksport bermula tetap sama.



Menurutnya, beliau menjual sekitar 20 hingga 30 ekor ayam segar setiap hari, berbanding 40 ekor ayam setiap hari seminggu lalu.



Penjual ayam segar di Geylang Serai, Encik Hashim Abbas, pula berkata:



"Sudah tentu jelas ayam beku tetap ada. Jadi kita tidak perlu bimbang sebagai peniaga. Kita teruskan sahaja dengan alternatif ini dahulu."



Encik Hashim mempunyai pengalaman menjual ayam segar lebih 50 tahun.



Pemilik kedai Jaafar, Cik Roslina Onn, juga tidak risau menghadapi kehilangan pelanggan kerana masih ada yang datang ke kedainya untuk membeli ayam.



"Dalam kira-kira 10 pelanggan, hanya dua sahaja yang merungut tentang harga ayam yang meningkat. Mereka tetap beli juga kerana keluarga mereka kuat makan ayam," kata Cik Roslina secara bergurau.



Menurut Encik Husni Hashim, pemilik kedai daging segar dan beku Muhamad Ali, beliau mendapati pelanggannya tidak cerewet jika ayam yang dijualnya itu jenis segar atau beku.



"Mereka hanya mahu makan ayam sahaja," katanya yang ditukil akhbar The Straits Times.



Akhbar tersebut juga melaporkan tentang rancangan pekerja gerai Lam P.K Poultry Supply di Geylang Serai, Encik Fabian Lim, 62 tahun, yang mahu menjual ayam beku selepas bekalan ayam segarnya dijangka habis pertengahan bulan ini.



"Selepas itu saya akan menjual ayam beku," ujarnya.



Awal minggu ini, pemerintah telah menyatakan bahawa Singapura boleh mengharapkan lebih banyak bekalan ayam beku dari Australia dan Thailand.



Namun beberapa pemilik gerai makanan di Geylang Serai pula terpaksa meningkatkan harga makanan dan beralih kepada menggunakan ayam beku dalam masakan mereka terutama untuk hidangan yang memerlukan ayam sebagai bahan utama.



Misalnya, pemilik gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar, Encik Salleh Sudin, terpaksa meningkatkan harga sepinggan nasi ayam bakar dari $6.50 ke $7.



Pemilik gerai Dapur Rosie yang enggan namanya didedahkan juga terpaksa meningkatkan harga nasi lemaknya sebanyak 50 sen.



Bagi Encik Salleh, kebanyakan hidangan di gerainya seperti nasi ayam bakar, mi soto dan juga sate perlukan bekalan ayam.



"Kita harus layan pelanggan kita yang ramai, jadi kita terpaksa beli ayam segar walaupun lebih mahal sekarang," kata Encik Salleh.



Namun gerai-gerai lain seperti TAKDeNAMA dan Geylang Serai Nasi Ayam dan Bubur Ayam pula tidak menaikkan harga makanan mereka.



Encik Mohammad Noorham Nordin, pemilik gerai TAKDeNAMA, menjangkakan larangan eksport ini hanya buat sementara sahaja.



"Kita tidak mahu situasi di mana kita naikkan harga nasi ayam kita, dan kemudian turunkan harganya lagi. Kita lebih rela tahan situasinya dan kekalkan harga makanan kita," tambah Encik Mohammad yang berusia 45 tahun.



Kebanyakan pemilik gerai dan penjual ayam yang ditinjau BH juga sudah menjangkakan peralihan kepada penjualan dan penggunaan ayam beku.



Encik Ilmi misalnya berkata penjualan ayam beku berskala besar bukan situasi yang baru.



Menurutnya, rakyat Singapura besar kemungkinan dapat menyesuaikan diri kepada ayam beku dengan mudah.



Ini walaupun beberapa pemilik gerai makanan akur tentang beberapa perbezaan dari segi rasa apabila mereka menggunakan ayam beku dalam hidangan mereka.



"Pada saya, situasi kekurangan ayam segar sekarang ini serupa dengan kekurangan ayam segar sewaktu wabak selesema burung beberapa tahun lalu," kata Encik Ilmi.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >