IA diwarwarkan sebagai karnival yang ‘hip’ dan meriah.
Namun, disebalik kemeriahan acara ‘pop-up’ Creative Millennials Youth Karnival (CMYK) minggu lalu, ramai penjual makanan dan minuman tersentak apabila menyedari bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di sana.
Ramai juga yang terkejut apabila disaman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kerana tidak berlesen, kerana mereka menjangkakan bahawa penganjur CMYK telah memperolehi lesen.
Menurut laporan The New Paper, sekitar 30 daripada 70 penjual makanan dan minuman yang telah memutuskan untuk menyertai acara tersebut tidak mendapatkan lesen, walaupun telah menyerahkan borang yang diperlukan awal lagi kepada penganjur.
Acara yang berlangsung di Bayfront Event Space di Marina Bay mulai Khamis hingga Ahad dijangka menarik lebih 500,000 orang dan meraih keuntungan $5 juta dalam tempoh empat hari itu.
Namun, semasa beberapa penjual seadng membuka kedai Khamis lalu, pegawai NEA mengendalikan operasi penguatkuasaan yang pertama.
Encik Lucas Lee, 29 tahun, pemilik Hi Tea Singapore, berkata: “Pada hari pertama, NEA datang dan meminta sijil, namun penganjur tidak dapat menunjukkan bahawa kita berlesen untuk beroperasi.”
Encik Lee berkata bahawa beliau telah berdaftar untuk acara tersebut seminggu sebelum itu dan menyerahkan borang yang diperlukan kepada penganjur pada masa yang sama.
Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, penjual biasanya akan menyerahkan kepada penganjur untuk memohon lesen NEA untuk mereka.