Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Penting rapat jurang pascapandemik, terus maju bersama

Usaha harus bersifat inklusif, tiada yang ketinggalan
Jan 09, 2021 | 05:30 AM



SEDANG masyarakat Melayu/Islam setempat telah menunjukkan sifat berdaya tahan dalam menyesuaikan diri sepanjang mengharungi krisis Covid-19 sejak tahun lalu, usaha perlu terus dijalankan untuk merapatkan jurang bagi mereka dalam dunia pascapandemik itu, dengan landskap, ekonomi dan jenis pekerjaan yang kian berubah.



Meskipun masyarakat akur pentingnya transformasi digital untuk terus maju, mereka menarik perhatian pentingnya usaha ini bersifat inklusif, dengan tiada orang ketinggalan.



Berkongsi pemerhatiannya selepas menyertai sesi pertama perbincangan Singapore Together Emerging Stronger Conversations X Ciptasama@M3 kelmarin, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman berkata beliau berharap lebih ramai anggota masyarakat dan warga Singapura dapat tampil mendekati golongan yang lebih mudah terjejas serta warga emas untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam usaha transformasi digital ini.



"Dengan itu, (golongan ini) juga dapat memanfaatkan peluang yang akan tampil pada masa akan datang termasuk untuk meningkatkan kemahiran dan meraih kemahiran baru... yang merupakan aspek penting sedang masyarakat terus maju," ujarnya.



Dr Maliki turut disertai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad dalam sesi perbincangan sekitar dua jam itu yang berlangsung menerusi wadah Zoom.



Ini merupakan kali pertama Perbincangan untuk Bangkit Lebih Kukuh Singapura Bersatu atau Singapore Together Emerging Stronger Conversations mengadakan sesi perbincangan bagi masyarakat Melayu/Islam menerusi wadah Ciptasama@M3.



Sesi tersebut, yang diikuti sekitar 60 individu dari pelbagai latar belakang dan usia, antara lain menyediakan wadah bagi masyarakat merenung pengalaman mereka mengharungi Covid-19 dan membincangkan topik merebut peluang di tengah-tengah transformasi digital.



Sesi kedua yang akan berlangsung pada 12 Januari dengan disertai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Setiausaha Parlimen (Kesihatan) Rahayu Mahzam pula akan membincangkan usaha mengukuhkan keluarga Melayu/Islam.



Menurut Encik Zaqy, masyarakat bersedia mendakap dunia baru ini dan menyertai transformasi digital ini namun akur kadangkala terdapat kemahiran yang tidak sepadan dengan apa yang diperlukan sesetengah pekerjaan dalam sektor yang sedang berkembang.



Oleh itu, usaha akan terus dijalankan untuk merapatkan jurang ini.



Beberapa usaha telah dijalankan untuk membantu tenaga kerja Melayu/Islam mendapatkan pekerjaan di tengah-tengah Covid19 sekarang dan Mendaki Sense misalnya telah membantu sekitar 3,800 pencari kerja Melayu/Islam, dengan hampir 800 daripada mereka telah berjaya mendapat kerja hingga hujung bulan lalu.



Selanjutnya, Encik Zaqy berkata usaha perlu dijalankan untuk membantu masyarakat mendakap kemahiran dan sektor baru.



Dengan sesetengah sektor seperti pelancongan yang terus terjejas dek pandemik itu, pekerja dalam sektor itu juga boleh mempertimbang sektor baru yang berkembang.



Malah, terdapat program seperti Program Penukaran Profesional (PCP) yang boleh membantu individu memasuki bidang kerja baru dengan menyediakan latihan berstruktur sambil bekerja.



"Peluang itu ada tetapi pastinya memerlukan beberapa pengorbanan.



"Namun, ini akan menjadi tumpuan kami untuk membantu masyarakat memahami prospek sektor... yang berkembang itu," ujar Encik Zaqy.




DEKATI WARGA EMAS DAN GOLONGAN MUDAH TERJEJAS DALAM USAHA KE ARAH TRANSFORMASI DIGITAL



"Dengan itu, (golongan ini) juga dapat memanfaatkan peluang yang akan tampil pada masa akan datang termasuk untuk meningkatkan kemahiran dan meraih kemahiran baru... yang merupakan aspek penting sedang masyarakat terus maju."
- Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).




"Masyarakat tidak harus risau atau takut untuk mendakap teknologi dan transformasi digital.

Memang menjadi lumrah manusia rasa takut terhadap sesuatu yang tidak diketahui, tetapi kita harus mengambil langkah pertama dalam hal ini agar kita kekal relevan.

Adalah penting bagi belia dan mahasiswa mendekati dan menimba ilmu digital seperti Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech) dan robotik kerana mereka merupakan golongan karyawan masa depan masyarakat kita dan dengan itu, mereka harus mendalami industri ini pada masa akan datang agar masyarakat kita akan terus maju.

Mungkin M3 boleh memulakan satu rangkaian jurulatih kerja dan kehidupan dalam masyarakat untuk membantu dan menyokong masyarakat mendakap transformasi digital.

Mereka juga boleh beri sokongan mental dan emosi kepada mereka yang mungkin keberatan menerima teknologi dalam kehidupan mereka."

- Cik Zarina Yusof, Pengarah Eksekutif AMP, 47 tahun.




DAKAP KEMAHIRAN DAN SEKTOR BARU, JALANI PROGRAM LATIHAN BERSTRUKTUR



"Peluang itu ada tetapi pastinya memerlukan beberapa pengorbanan. Namun, ini akan menjadi tumpuan kami untuk membantu masyarakat memahami prospek sektor... yang berkembang itu."
- Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad.




"Golongan belia boleh menyertai usaha kerjasama atau memulakan usaha sendiri yang bermakna dan sesuai untuk memperkasa masyarakat menyesuaikan diri dan bertindak dalam keadaan baru akibat pandemik ini.

Dengan itu... kita dapat mengenal pasti masalah utama dan mencipta penyelesaian yang diperlukan bersama.

Contohnya, kita boleh merapatkan jurang maklumat tentang khidmat sokongan yang sedia ada dengan bekerjasama bersama kumpulan agama atau menerusi peranan aktif anggota masyarakat, pekerja sosial atau pekerja kesihatan masyarakat untuk mendekati mereka yang terjejas.

Kita semua mempunyai peranan dan kita boleh bermula dengan menjadi duta kesihatan bagi keluarga kita sendiri."

- Cik Nurliyana Daros, pekerja dalam sektor kesihatan awam, 31 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >