Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penting semai sikap berbudi bahasa di kalangan pengguna pengangkutan

Antara saranan peserta perbincangan kumpulan fokus bagi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 anjuran BH dan LTA
Jan 28, 2019 | 05:30 AM



MENYEDIAKAN prasarana pengangkutan awam terbaik adalah satu keutamaan, namun sama penting ialah sikap berbudi bahasa yang harus disemai dalam kalangan pengguna agar pengalaman perjalanan menjadi lebih baik untuk semua.



Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa merumuskan sesi perbincangan kumpulan fokus bagi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 yang diadakan di Singapore Press Holdings (SPH) kelmarin.



Beliau berkata:



"Semua harus mainkan peranan supaya kita boleh bangunkan sistem di mana prasarana yang ada disokong oleh budaya yang memberikan kemesraan, kemudahan, keprihatinan, dan paling penting, keihsanan dalam pengguna pengangkutan awam. Ini penting."



Isu menyemai budaya berbudi bahasa dalam kalangan pengguna pengangkutan awam dan jalan raya antara topik hangat yang timbul dalam sesi anjuran Berita Harian dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) itu.



Sesi itu disertai sekitar 30 peserta.



Demi memupuk sikap berbudi bahasa dan prihatin dalam masyarakat, beberapa peserta menyarankan pemerintah boleh mengadakan satu kempen nasional bagi usaha itu.



Ada juga yang mencadangkan agar sekolah dapat mengadakan kelas yang mendidik anak muda tentang etika semasa berada di jalan raya dan pengangkutan awam agar sikap sedemikian dapat dipupuk sejak usia muda.



Mengongsi pemerhatiannya semasa berada di Amsterdam, Belanda, baru-baru ini, Dr Faishal berkata masyarakat di bandar itu menitikberatkan keselamatan dan saling menjaga satu sama lain, tidak kira sama ada mereka sebagai pemandu, penunggang basikal atau pejalan kaki.



"Misalnya, mereka ada ramai orang yang berbasikal di sana dan merata bandar, tetapi yang buat saya rasa tersentuh ialah pemandu di sana memberitahu saya bahawa mereka fikirkan keselamatan penunggang basikal.



"Mereka selalu memeriksa untuk lihat sama ada terdapat pejalan kaki atau penunggang basikal.



"(Begitu juga) Apabila kita jalan (mereka yang memandu dan pejalan kaki), mereka yang berbasikal menjaga keselamatan. Kalau (mereka lihat) kita jalan, mereka akan berhenti berbasikal," kata beliau.



Dr Faishal bagaimanapun berkata memupuk budaya sedemikian dalam masyarakat akan memerlukan masa.



Memberikan pandangannya, peserta Cik Hamidah Aidillah Mustafa, berkata tahap budi bahasa dalam masyarakat boleh dipertingkatkan lagi.



Beliau turut mengongsi pengalaman membawa arwah ibunya yang berkerusi roda keluar rumah dahulu.



"Saya rasa masyarakat boleh dididik lagi. Ada sesetengah orang yang tak suka dan kita dapat rasakan.



"Semasa saya tolak arwah mak saya dahulu, walaupun kita terlanggar sikit dan tidak sengaja, kita boleh lihat dari air muka bahawa mereka tak suka.



"Orang yang duduk kerusi roda itu pun akan terasa dan itu yang akan buat mereka tidak mahu keluar rumah," kata pengasas firma analitik data Parrot Social itu.



Beliau menambah bahawa prasarana yang disediakan juga harus mempertimbangkan kemudahan bagi mereka yang kurang upaya, seperti memastikan terdapat tanjakan dan tempat untuk memegang.



Perbincangan mengenai Pelan Induk Pengangkutan Darat itu menggariskan tiga tema luas - menjadikan 'Walk Cycle Ride' (WCR) (Berjalan Kaki, Berbasikal dan Menaiki Pengangkutan Awam) cara pilihan untuk melakukan perjalanan, membangunkan sistem pengangkutan inklusif yang disokong budaya pengangkutan berbudi bahasa lagi penyayang, dan perjalanan lebih selamat dan sihat - bukan sahaja daripada segi kesihatan peribadi, malah kesan terhadap sekitaran.



Antara saranan lain yang diutarakan peserta semasa sesi itu ialah untuk menyediakan lebih banyak tempat meletak basikal demi menggalak lebih ramai berbasikal dan mengadakan lebih banyak ruang hijau serta tempat berteduh untuk menggalak lebih ramai berjalan kaki.



Dr Faishal berkata sistem pengangkutan yang baik adalah sistem pengangkutan yang menitikberatkan keperluan setiap lapisan warga.



"Kita mahu memperkasa warga kita, tidak kira yang muda, yang senja, yang kurang upaya, yang berkeluarga dan lain-lain," kata beliau.



"Kita tidak boleh bangunkan untuk warga senja saja tapi tidak memikirkan bagaimana golongan belia boleh gunakan sistem itu.



"Apa yang kita harapkan sehingga 2040 ini ialah untuk menitikberatkan semua golongan masyarakat.



"Lebih-lebih lagi ada yang berbincang tentang golongan kurang upaya, di mana kita mahukan sistem yang inklusif," tambahnya.




"Semua harus mainkan peranan supaya kita boleh bangunkan sistem di mana prasarana yang ada disokong oleh budaya yang memberikan kemesraan, kemudahan, keprihatinan, dan paling penting, keihsanan dalam pengguna pengangkutan awam. Ini penting."
- Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >