Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KAHWIN CAMPUR

Pentingnya tolak ansur, sesuaikan diri dengan budaya Melayu

Oct 13, 2019 | 05:30 AM



Negara kita merupakan sebuah 'melting pot' atau wadah tumpuan pelbagai budaya, kaum dan agama. Maka ia tidak hairanlah jika berlaku perkahwinan antara etnik dan antara nasional di sini. BERITA MINGGU menemubual pasangan yang memilih untuk kahwin campur dalam edisi perkahwinan minggu ini.




APABILA diberitahu bahawa majlis perkahwinannya harus dihadiri sekurang-kurangnya 1,000 tetamu, beliau seakan tidak percaya apa yang didengar.



Encik Adil Yau Chun Hei, 33 tahun, akui sudah terbiasa dengan budaya Cina yang hanya mengundang anggota keluarga serta teman-teman terdekat bagi majlis perkahwinan.



Mujur beliau dan isteri, Cik Khadijah Abdul Rahman, 30 tahun, serta kededua belah keluarga dapat berbincang dan bertolak ansur semasa merancang perkahwinannya empat tahun lalu.



Encik Yau, yang tinggal bersama keluarga isterinya selama setahun selepas berkahwin, akui penyesuaian terhadap budaya lain bukan sesuatu yang terjadi dengan sekelip mata.



"Jika anda tinggal dengan keluarga yang berlainan budaya untuk sehari, mungkin pengalamannya rosy dan rasa seperti bercuti.



"Tapi untuk jangka masa yang panjang, sudah tentu bukanlah mudah... perlu ada sikap tolak ansur dari kededua pihak," katanya yang bekerja sebagai seorang pegawai pemerolehan bakat.



Kesabaran yang tinggi dan juga keupayaan untuk berbincang merupakan 'kunci' bagi Encik Yau menyesuaikan diri dengan aspek-aspek berbeza budaya Melayu.



Menurut beliau, tempoh setahun selepas berkahwin merupakan tempoh di mana beliau perlu menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup berdasarkan ajaran Islam dan juga budaya Melayu.



Ibu Encik Yau beragama Buddha manakala bapanya pula berpegang kepada ajaran nenek moyangnya.



Cik Khadijah, yang bertugas sebagai pegawai sumber manusia di sektor swasta, turut akui tempoh awal penyesuaian agak mencabar terutama sekali apabila perlu memberitahu keluarga masing-masing mengenai keputusan mereka mahu mendirikan rumah tangga.



"Tapi yang lebih penting adalah untuk memastikan bahawa sebagai pasangan, kami mempunyai cara pemikiran yang sama dan persefahaman yang baik," katanya.



Encik Yau, yang tidak beragama sebelum itu, memutuskan untuk memeluk Islam pada 2014 selepas lebih setahun mengenali Cik Khadijah.



Beliau telah mendalami ajaran Islam selama lebih setahun melalui kelas-kelas di Darul Arqam.



Katanya: "Sebelum ini saya selalu kaitkan agama Islam dengan orang Melayu dan tak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa seseorang yang tidak berbangsa Melayu boleh beragama Islam.



"Tetapi selepas menghadiri kelas-kelas di Darul Arqam, saya sedar ini tak benar!"



Encik Yau bagaimanapun akui 'kehilangan' beberapa orang kawan dalam perjalanannya memeluk Islam, disebabkan kurangnya peluang untuk hang-out bersama mereka berbanding semasa beliau bujang sebelum ini.



"Tetapi bagi saya, teman-teman yang kekal bersama saya sekalipun selepas saya memeluk agama Islam... merekalah teman sejati," katanya.



Walaupun bapanya menerima keputusan Encik Yau untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita berbangsa Melayu dengan baik, ibunya agak prihatin.



"Beliau bertanya betul ke saya nak lakukan perkara ini? Tapi selepas itu mereka tetap terima keputusan saya," katanya.



Menurut Encik Yau, kelas-kelas yang dilalui di Darul Arqam turut membantu dalam mempersiapkan dirinya untuk menghadapi alam perkahwinan.



Namun, usaha tetap diperlukan untuk menyesuaikan diri dalam keluarga yang berlainan bangsa dan budaya.



"Saya berasal dari keluarga yang tidak begitu besar, hujung minggu kami biasanya diluangkan di rumah, hanya saya, adik lelaki saya dan juga ibu bapa.



"Tetapi semasa saya tinggal bersama keluarga isteri saya, hujung minggu selalunya meriah dengan kehadiran saudara-mara lain.



"Memang keluarga beliau besar dan sering adakan gathering makan-makan bersama. Saya yang tak banyak saudara-mara agak terkejut juga pada mulanya," ujarnya.



Encik Yau juga akui tidak boleh berbahasa Melayu dan ibu bapa mertuanya pula tidak begitu selesa berbahasa Inggeris, ini membuatkan perbualan mereka agak janggal pada mulanya.



Namun, lama-kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dengan gaya komunikasi tersendiri dan semakin selesa meluangkan masa bersama.



Pasangan itu kini tinggal di rumah sendiri bersama anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun,Nur Nuha Yau, tetapi akan tetap mengunjungi rumah ibu bapa dan juga ibu bapa mertuanya.



Katanya: "Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk semua, tetapi berdasarkan apa kita mampu dan juga sikap tolak ansur dari semua pihak."




Jika anda tinggal dengan keluarga yang berlainan budaya untuk sehari, mungkin pengalamannya 'rosy' dan rasa seperti bercuti. Tapi untuk jangka masa yang panjang, sudah tentu bukanlah mudah... perlu ada sikap tolak ansur kededua pihak... Saya berasal dari keluarga yang tidak begitu besar, hujung minggu kami biasanya diluangkan di rumah, hanya saya, adik lelaki saya dan juga ibu bapa. Tetapi semasa saya tinggal bersama keluarga isteri saya, hujung minggu selalunya meriah dengan kehadiran saudara-mara lain. Memang keluarga beliau besar dan sering adakan 'gathering' makan-makan bersama. Saya yang tak banyak saudara-mara agak terkejut juga pada mulanya.
- Encik Adil Yau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >