KESEMUA 45 penumpang dan kru dalam sebuah feri Indonesia yang terkandas di perairan Singapura dekat Pulau Tekong lewat kelmarin (9 Julai) telah diselamatkan oleh Polis Pengawal Pantai (PCG).
Komander Kru Lee Kuan Seng, 37 tahun, daripada PT78 – salah satu daripada tiga bot PCG yang terlibat dalam operasi menyelamat dekat Pulau Tekong itu – berkata operasi tersebut agak rumit kerana feri berkenaan, Sri Kandi 99, menghadapi risiko terbalik dan pemandangan juga kabur ketika itu.
Menggunakan teknologi pandang malam serta lampu, Encik Lee dan krunya menemui lima orang yang terperangkap dalam feri yang senget sebelah ketika itu, menurut akhbar The Straits Times.
Feri yang membawa 34 penumpang dan 11 kru itu terkandas dekat Pulau Tekong semasa air surut selepas berlanggar dengan batu di kawasan itu.
Pegawai PCG, Encik Syed Abu Bakar, 38 tahun, yang terlatih sebagai teknisyen perubatan kecemasan berkata dua lelaki mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu.
“Kami memberi mereka air dan makanan sementara menanti sebuah lagi feri mengambil mereka,” katanya.
Mereka kemudian dipindahkan ke feri lain, Camara Sumadra, dan mereka turun di Tanjong Pengelih pada 5.15 pagi semalam.
Siasatan masih dijalankan.