SEORANG lelaki muntah di dalam teksi dan kemudian menyerang pemandunya yang ingin tahu apakah dia akan membayar bagi membersihkan teksi itu, mahkamah mendengar pada Jumaat (15 Jan).
Gary Goh Koon Wei, 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima minggu dan diarah membayar pampasan $108 selepas dia mengaku menendang pemandu teksi Alex Ng Keng Tiong, 41 tahun, di tempat letak kereta di sebelah Blok 210, Choa Chu Kang Tengah pada 11 Julai 2014.
Dua tuduhan lain, meludah Encik Ng dua kali dan menggunakan kata-kata kesat dan menghina terhadap beliau diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jason Chua berkata pada 10 Julai 2014, Goh menghadiri konvokasyen dan jamuan malam universitinya.
Kemudian, dia, temanitanya dan beberapa kawan pergi ke Wine Bar di kelab malam Zouk dan minum arak.
Pada 1 pagi, dia dan temanitanya menaiki teksi TransCab Encik Ng.
Dalam perjalanan, Goh muntah dan Encik Ng berhenti lalu menghulurrkan beg plastik kepada temanitanya sebelum meneruskan perjalanan.
Beliau bertanya apakah mereka akan membayar bagi membersihkan kenderaan itu tetapi tidak mendapat jawapan.
Setelah tiba di destinasi, wanita itu membayar tambang teksi dan Encik Ng bertanya lagi tentang kos membersihkan teksinya.
Goh cuba menumbuk Encik Ng, yang cuba menolaknya masuk semula ke tempat duduk penumpang.
Goh kemudian menendang muka Encik Ng. Selepas itu, mereka semua turun dari teksi tersebut dan Goh menyekat Encik Ng di pintu serta mengejek beliau.
Encik Ng menekan butang kecemasan teksi dan menghubungi polis.
Goh mengambil $50 dan melemparkannya ke arah Encik Ng, yang merakam ejekannya dalam telefon bimbit beliau.
Goh kemudian memungut wang itu dan berjalan ke lobi lif. Dia juga mengejek Encik Ng lagi.