PERKHIDMATAN kereta api antara stesen Ang Mo Kio dan Yishun tergendala selama hampir setengah jam tengah hari semalam setelah seorang perempuan turun ke kawasan landasan kereta api.
SMRT berkata perempuan itu telah memanjat pintu skrin platform kereta api yang ketinggiannya separuh badan, untuk turun ke landasan kereta api.
Dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pos Facebooknya semalam, SMRT menjelaskan bahawa penumpang di platform menekan butang henti kecemasan, dan kakitangan perkhidmatan pengangkutan berkenaan dengan segera bertindak di lokasi itu.
Kuasa cengkaman dimatikan, dan polis serta Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) segera dikerahkan.
Disebabkan kejadian itu, yang berlaku pada 1.55 petang, perkhidmatan kereta api terhenti antara stesen Ang Mo Kio dengan Yishun bagi kedua-dua arah, kata SMRT.
Perkhidmatan bas percuma antara kedua-dua stesen tersebut disediakan.
Sekitar 2.10 petang, pihak polis mengiringi perempuan itu keluar dari landasan.
Khidmat MRT disambung semula sekitar 2.20 petang.
SMRT berkata mereka sedang membantu polis dalam siasatan.