BEBERAPA penunggang basikal telah berpeluang untuk 'memandu' sendiri bas di jalan raya semalam.
Ini selepas beberapa penunggang basikal diundang untuk mencuba simulator latihan bas di Pusat Latihan Bas dan Penilaian SMRT.
Menurut Anggota Parlimen (AP) buruh yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Nasional, Encik Melvin Yong, pengalaman itu telah membantu para penunggang basikal untuk lebih menghargai cabaran yang dihadapi para kapten bas.
Encik Yong dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan) Encik Chee Hong Tat telah membuat kunjungan ke Akademi Bas Singapura (SGBA) semalam, yang menyediakan latihan berpusat untuk kapten bas.
Berkata lebih lanjut dalam satu catatan Facebook, Encik Yong berkata:
"Menerusi pengalaman sendiri, para penunggang basikal berkongsi yang mereka kini mempunyai penghargaan lebih baik terhadap cabaran yang dihadapi oleh para kapten bas kita di jalan raya.
"Kami ghairah untuk terus bekerja rapat dengan kumpulan minat berbasikal untuk menggalak keselamatan di jalan raya."
Sementara itu, Encik Yong berkata dalam lawatan itu, selain daripada perkembangan terkini tentang bagaimana latihan disesuaikan semasa pandemik serta masa depan SGBA bagi meningkatkan kemahiran karyawan bas, beliau dan Encik Chee mempunyai perbincangan yang membuahkan hasil dengan Persekutuan Berbasikal Singapura.
Tambahnya, kesatuan telah mengingatkan kededua kapten bas dan penunggang basikal mengenai keselamatan di jalan raya khususnya semasa masa sibuk.