Penunggang basikal dipenjara 9 bulan kerana cabul wanita

SAMBIL menunggang basikalnya di laluan pejalan kaki pada waktu malam, seorang lelaki meramas buah dada seorang wanita dan memecut lari.

Wanita itu menjerit kepadanya, tetapi dia tidak berhenti.

Pada Rabu (7 Dis), Benny Tan Mien Kiat, 22 tahun, dipenjara sembilan bulan.

Tan, seorang barista, mengaku meramas buah dada wanita berusia 33 tahun itu semasa berbasikal melewati beliau di kaki lima bertentangan Sekolah Menengah Sengkang antara 11.45 dan 11.55 malam pada 11 April lalu.

Siasatan mendapati wanita itu sedang berjalan di kaki lima selepas berbelanja barang dapur apabila beliau dicabul.

Tan baru sahaja selesai berbasikal dengan sekumpulan kenalan Facebook dan menghala ke arah Punggol Road.

Wanita itu membuat laporan polis esoknya. Polis berjaya mengenal pasti Tan, yang ditangkap pada 26 April.

Tuduhan kedua meraba punggung seorang wanita berusia 23 tahun di kaki lima sepanjang Punggol Road pada kira-kira 12.05 tengah malam pada 12 April diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Tan akan memulakan hukuman penjaranya pada 23 Dis kerana dia hendak menyambut ulang tahun pertama anaknya.

Dia pernah dihukum menjalani latihan pemulihan akhlak kerana memiliki senjata berbahaya.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:51
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 39
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.