SEORANG penyanyi popular era 60-an Pop Yeh-Yeh, Zam Zam Sahri, telah meninggal dunia pada 7.20 malam tadi.
Beliau berusia 74 tahun.
Allahyarham Zam Zam amat dikenali dengan lagunya 'Bibir Mesra Jiwa Parah' dan lagu-lagu beliau sering dikeudarakan stesen radio Singapura, Malaysia dan Brunei.
Allahyarham semasa penampilannya dahulu sering kali mempersembahkan lagu dengan diiringi oleh kugiran Twilites.
Semasa dihubungi Berita Harian, salah seorang anaknya, Encik Nurazikin, 39 tahun, berkata Allahyarham rebah akibat jantung terhenti (cardiac arrest) ketika menonton televisyen di rumah pada 8 Disember lalu.
Beliau dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng dan berada dalam keadaan koma hingga minggu lalu apabila beliau dikeluarkan daripada sistem sokongan hidup dan dimasukkan ke wad biasa.
Bagaimanapun Allahyarham kemudian mengalami jangkitan paru-paru dan kesihatannya kembali merosot.
"Pada mulanya kami lihat keadaannya agak baik, hinggalah jangkitan bermula. Doktor kata mereka sudah beri ubat yang paling kuat dan jika ia tidak berkesan, tak banyak yang dapat dilakukan lagi," kata Encik Nurazikin, anak kedua Allahyarham.
Allahyarham, yang pernah mengalami serangan jantung sekitar lima tahun lalu, meninggalkan seorang balu, tiga anak, dua menantu dan dua cucu.
Antara lagu-lagu Allahyarham Zam Zam termasuk:
Usah Harta Jadi Rebutan; Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa; Senandung Teruna Merantau; Ganas Sa Tahun; Gema Kaseh ku; Hilang Budi Dek Nafsu; Kembali; Panas Setahun Hujan Sehari dan banyak lagi.
Jenazah Allahyarham Zam Zam akan dikebumikan di Pusara Abadi, esok.
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
1/3
Tutup Kuiz
27
0
Penyanyi popular era Pop Yeh Yeh, Zam Zam, meninggal dunia
Dec 24, 2021 | 09:21 PM