SEORANG penyelia, yang kegagalannya melakukan pemeriksaan utama di tempat kerja menyebabkan kematian seorang pekerja, dihukum penjara empat bulan pada Khamis (19 Ogos).
Pekerja itu mengalami kecederaan di kepala dan pinggang dalam kemalangan pada 1 Jan 2016 itu. Beliau dibawa ke hospital di mana beliau kemudian meninggal dunia.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata penyelia lapangan kanan Muhammed Noredzuan Othman, 42 tahun, didakwa melakukan perbuatan cuai.
Majikannya, kumpulan kejuruteraan mekanikal Enermech, perlu melakukan pemeriksaan kebocoran nitrogen-helium di atas sebuah kapal. Dia perlu terlebih dahulu melakukan pemeriksaan untuk "mengesahkan batas ujian dan kedudukan injap" bagi sebuah sistem paip.
Ini perlu dilakukan dengan merujuk kepada senarai semak dan gambar rajah paip serta instrumentasi.
MOM berkata Noredzuan tidak melakukan pemeriksaan itu pada 31 Disember 2015. Dia mengesahkan senarai semak itu dan melakukan pemeriksaan seterusnya.
"Akibatnya, salah satu injap tidak diperbetulkan ke posisi 'terbuka', dan gas bertekanan dari pemeriksaan pertama terperangkap dalam saluran paip," tambah MOM.
Pemasang dan pengimpal paip, Chin Chee Cheng, ditugaskan memperbaiki sambungan paip bocor di sepanjang saluran paip pemampat gas tekanan tinggi di atas kapal itu pada 1 Januari 2016.
Semasa beliau mengeluarkan penghubung penjepit (clamp) daripada sambungan itu, penghubung tersebut terkeluar dan melanggarnya. Siasatan mendapati bahawa ini disebabkan oleh pelepasan tiba-tiba sisa gas bertekanan yang terperangkap dalam pemampat.
MOM berkata kelalaian Noredzuan membahayakan keselamatan rakan-rakan sekerjanya dan menyebabkan kematian Chin.
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
1/3
Tutup Kuiz
27
0
Penyelia dipenjara 4 bulan setelah gagal jalankan pemeriksaan, sebabkan kematian pekerja
Aug 19, 2021 | 06:29 PM