Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: INFOGRAFIK

Penyelidik guna lalat kitar semula sisa bagi pastikan keselamatan makanan

Pasukan dari NUS bangunkan pelan tindakan bagi sepadu pengurusan sisa makanan dan penghasilan makanan mampan
Feb 03, 2022 | 05:30 AM



BAYANGKAN masa depan di mana sisa makanan anda ditukar menjadi nutrien bagi penghasilan makanan hanya dengan menggunakan lalat askar hitam yang biasa ditemui.



Inilah visi yang sebuah pasukan penyelidik antara disiplin berharap dapat merealisasikan sedang mereka membangunkan rangka tindakan untuk menyepadukan pengurusan sisa makanan dan penghasilan makanan mampan dalam sekitaran bandar seperti Singapura.



Penolong Profesor Nalini Puniamoorthy dari Jabatan Sains Biologi Universiti Nasional Singapura (NUS), yang menerajui projek tersebut, memberitahu The Straits Times bahawa Singapura berhadapan dengan cabaran dua kali ganda dalam perjalanannya ke arah keselamatan makanan.



Ini kerana ia bukan hanya tentang mengurangkan sisa makanan, malah meningkatkan penghasilan makanan dalam cara yang mampan.



Hampir 700,000 tan sisa makanan dibakar setiap tahun, sementara usaha mengembangkan hasil tempatan Singapura banyak bergantung kepada bahan pertanian yang diimport seperti baja mineral dan makanan haiwan, lantas meningkatkan kos penghasilan makanan tempatan dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada sekitaran, kata Profesor Nalini.



"Jadi kami sedang cuba menggabungkan (huraian kepada) masalah ini... dan kami rasa ia boleh dilaksanakan jika kami cuba memanfaatkan apa yang sudah dilakukan alam semula jadi iaitu dengan menggunakan lalat ini yang merupakan pengitar semula alam semula jadi sendiri," katanya.



Sebagai larva, jumlah makanan sisa yang boleh dimakan lalat askar hitam setiap hari adalah sehingga empat kali ganda berat badan mereka, menukar sisa menjadi produk yang dikenali sebagai frass - yang boleh digunakan untuk menggantikan atau menambah kepada baja komersial dalam pertanian.



Larva, yang kaya dengan protein dan lemak, boleh digunakan dalam formulasi makanan haiwan untuk diet ayam, itik dan akuakultur.



Projek itu, yang diterajui Profesor Nalini bersama Profesor Stephen Cairns dari program Global Makmal Bandar Masa Depan di bawah Pusat Singapura-ETH, dilakukan atas kerjasama dengan penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ETH Zurich.



Projek tiga tahun itu dibiayai Yayasan Penyelidikan Kebangsaan (NRF), di bawah program Kampus untuk Kecemerlangan Penyelidikan dan Perusahaan Teknologi.



Profesor Cairns berkata proses mereka sistem makanan kitaran penuh untuk bandar yang penduduknya ramai seperti Singapura, memerlukan uji kaji pada skala berbeza.



Kemudahan pemprosesan larva lalat askar hitam berpusat yang lebih besar boleh disepadukan dengan kawasan penghasilan makanan untuk mengurangkan sisa pada sumber, dan selanjutnya di hotel dan peruncit produk borong.



Sementara itu, kemudahan tidak berpusat yang padat boleh dihubungkan dengan restoran, pusat penjaja dan ladang bandar.



Unit bergerak, yang lebih kecil mungkin boleh digunakan di kawasan kediaman, ladang masyarakat, dan tapak pembinaan dan pelabuhan, katanya.



Singapura merupakan negara pertama dalam Asia yang sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan kemudahan lalat askar hitam pada skala nasional, walaupun ekosistem makanan bersepadu sebegitu lebih mantap di bandar pertanian dan subbandar Eropah, kata Profesor Nalini.



Beliau menambah bahawa usaha berskala besar itu juga akan membawa Singapura lebih dekat kepada matlamat '30 menjelang 30', iaitu meningkatkan keupayaan dan kapasiti untuk memenuhi 30 peratus keperluan makanan secara tempatan menjelang 2030.



Projek itu, yang bermula bulan ini, merangkumi lima tema yang saling berkaitan, setiap daripadanya melibatkan pakar dalam pemeliharaan serangga, reka bentuk bandar, kemampanan, serta keselamatan makanan dan pemakanan.



"Apa yang saya bayangkan menerusi kaca mata optimis saya adalah walaupun kanak-kanak ke sekolah, mereka akan tahu bagaimana untuk mengasingkan sisa makanan mereka setelah makan di kantin, yang akan diberikan ke taman sekolah untuk menanam sayur-sayuran.



"Dan apabila mereka pulang ke rumah, mereka lihat sisa makanan, mereka dapa beritahu ibu bapa mereka bahawa mereka sedang membazir makanan... Pendidikan datang seiring dengan amalan dan saya rasa kita boleh mendatangkan perubahan sekiranya kita dapat menunjukkan bahawa (seluruh sistem ini) akan berhasil," tambahnya.




"Jadi kami sedang cuba menggabungkan (huraian kepada) masalah ini... dan kami rasa ia boleh dilaksanakan jika kami cuba memanfaatkan apa yang sudah dilakukan alam semula jadi iaitu dengan menggunakan lalat ini yang merupakan pengitar semula alam semula jadi sendiri."
- Penolong Profesor Nalini Puniamoorthy dari Jabatan Sains Biologi Universiti Nasional Singapura (NUS) merujuk kepada masalah hampir 700,000 tan sisa makanan dibakar setiap tahun, sementara usaha mengembangkan hasil tempatan Singapura banyak bergantung kepada bahan pertanian yang diimport lantas meningkatkan kos penghasilan makanan tempatan dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada sekitaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >