Penyusunan semula bantu pekerja setempat dari segi gaji, pekerjaan

USAHA menyusun semula ekonomi sejak 2016 telah memberi lebih banyak manfaat kepada warga Singapura berbanding pekerja asing di sini, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing.

Antaranya, ini dilakukan menerusi pelaburan asing yang mencipta pekerjaan untuk masa depan dan memupuk kemahiran yang diperlukan dalam kalangan rakyat.

"Kami memburu pertumbuhan (ekonomi) bukan semata-mata kerana pertumbuhan. Kami memburu pertumbuhan bagi mempertingkat kehidupan warga Singapura," jelas Encik Chan.

Beliau berkata jumlah pekerja setempat meningkat hampir 60,000 antara 2015 dengan 2018.

"Sejumlah 57 peratus pekerja setempat pula merangkumi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) - antara yang tertinggi di dunia," kata Encik Chan.

Secara purata, gaji bulanan meningkat 3.2 peratus setiap tahun dalam tempoh ini, lebih tinggi daripada peningkatan gaji di ekonomi maju lain seperti Amerika Syarikat (0.5 peratus), Jepun (0.8 peratus) dan Jerman (1.2 peratus), tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Encik Liang Eng Hwa (GRC Holland-Bukit Timah) dan Encik Pritam Singh (GRC Aljunied) mengenai pekerjaan dan ekonomi di Parlimen.

Encik Pritam, yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), telah bertanya tentang jumlah warga Singapura, PR dan pekerja asing yang mendapat pekerjaan selepas penyusunan semula industri di bawah Rancangan Perubahan Industri (ITM).

Antara strategi yang diperuntukkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi adalah untuk menarik pelaburan baru dan Encik Chan berkata Singapura perlu menarik pelaburan baru ke Singapura walau tenaga kerja setempat mungkin belum cukup keupayaan untuk menjawati pekerjaan yang dicipta.

Menggunakan contoh pekerja warga Singapura yang gajinya bertambah daripada $5,000 kepada $7,000 selepas Singapura menerima pelaburan baru, Encik Chan berkata pekerja itu mungkin kurang berpuas hati apabila pekerja asing mendapat pekerjaan dengan gaji $10,000.

Namun jika Singapura tidak menerima pelaburan baru itu, pekerjaan dengan gaji $7,000 dan $10,000 mungkin lesap dan generasi akan datang tidak berpeluang menjawat pekerjaan itu.

"Cipta dahulu pekerjaan di Singapura... dan gigih latih rakyat dan bantu mereka mahirkan diri untuk mengambil alih kerja dengan gaji $10,000 itu secepat mungkin," kata Encik Chan, yang berkata pendekatan seimbang itu berkesan bagi Singapura.

"Tapi, jangan mengambil kesempatan, untuk mencetus perasaan cemburu, marah dan kecewa terhadap pekerja asing yang pada masa ini mendapat pekerjaan dengan gaji $10,000 itu."

Buat masa ini, industri teknologi infokom (ICT) dan sofwe sedang berubah dan memerlukan kemahiran dan pengetahuan khas, kata Encik Chan. Walau Singapura berusaha menambah keupayaan bagi menghadapi cabaran ini, seperti menambah tempat dalam jurusan sains komputer di universiti setempat, ada batasan kepada cara ini.

"Bukan semua pelajar berminat atau berkebolehan mempelajari sains komputer dan kita juga perlu memupuk bakat bagi sektor lain," kata Encik Chan.

Kata Encik Chan, perkara serupa pernah berlaku kepada Singapura dalam industri elektronik pada tahun 1970-an.

Pada mulanya, warga Singapura tidak mendapat gaji paling tinggi walau syarikat semikonduktor seperti National Semikonduktor, Fairchild dan Texas Instruments mencipta lebih 7,000 pekerjaan di sini.

"Namun kita tidak menolak pelaburan ini dan gigih berusaha untuk belajar dan menambah keupayaan... dan lambat-laun kita mengambil alih sejumlah besar pekerjaan dengan gaji lebih tinggi itu," kata Encik Chan.

Dalam pada itu, Rang Undang-undang Perkhidmatan Jagaan Kesihatan diluluskan di Parlimen semalam, yang memperkenalkan sistem pelesenan berdasarkan jenis perkhidmatan bagi sektor jagaan kesihatan.