Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peperiksaan tengah tahun sekolah rendah, menengah ditiada mulai 2023

Usaha berterusan MOE alih tumpuan daripada gred akademik dan ujian: Chun Sing
Mar 08, 2022 | 05:30 AM



MENJELANG tahun depan, peperiksaan pertengahan tahun bagi kesemua pelajar sekolah rendah dan menengah akan ditiadakan dalam usaha berterusan untuk mengalihkan tumpuan dari gred akademik dan ujian.



Ia memberikan ruang bagi para pelajar meneroka minat mereka dan menumpukan terhadap pembelajaran dan tidak hanya terhadap markah mereka, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.



Selain itu, pengumpulan Berdasarkan Subjek Penuh (SBB Penuh) akan dilanjutkan kepada lebih banyak sekolah termasuk sekolah yang ketika ini hanya menerima pelajar aliran Ekspres.



Perubahan itu diumumkan dalam perbahasan Kementerian Pendidikan (MOE) di Parlimen semalam.



Menjelaskan lanjut, beliau berkata peperiksaan pertengahan tahun sudah pun ditiadakan bagi pelajar darjah tiga, darjah lima, menengah satu dan menengah tiga sepanjang tiga tahun lalu.



Sejak 2019, murid darjah satu dan darjah dua tidak lagi mempunyai ujian dan peperiksaan dan tiada gred diberikan.



Encik Chan berkata perubahan itu memberikan kesan positif kerana sekolah dan guru dapat menyesuaikan rentak pembelajaran pelajar.



"Penilaian berterusan digunakan untuk mengenal pasti apa yang telah dipelajari pelajar selain aspek yang mereka alami kesukaran," ujarnya.



Ini akan membebaskan masa kurikulum selama tiga minggu bagi setiap peringkat untuk guru menggunakannya bagi tujuan pembelajaran yang lebih meluas dan menarik.



Ini termasuk pembelajaran terarah selain membangunkan kemampuan kurun ke-21 seperti pengetahuan, kemahiran dan nilai yang pelajar perlukan untuk terus berdaya tahan dalam ekonomi baru.



MOE juga sedang menyemak kandungan kurikulum dan tuntutan penilaian bagi mewujudkan lebih banyak ruang bagi pelajar meneroka minat mereka, kata Encik Chan.



Berhubung SBB Penuh yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2024, Encik Chan berkata sejumlah sekitar 90 sekolah akan melaksanakannya menjelang tahun depan.



Inisiatif itu bermula pada tahun 2020 secara berperingkat dengan 28 sekolah, dan lagi 31 sekolah menengah akan melaksanakan SBB Penuh tahun ini.



"Pengalaman daripada rintis ini memberi kami keyakinan bahawa kita berada pada landasan yang betul.



"Pelajar telah dapat membuat lebih banyak kawan rentas kursus, pelajari perspektif baru dan bagaimana untuk berinteraksi dengan teman daripada latar belakang berbeza, selain menjadi lebih yakin pada diri sendiri dan keupayaan mereka," ujarnya.



Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan SBB Penuh, tiga sekolah - Sekolah Menengah Tanjong Katong, Sekolah Menengah Perempuan Tanjong Katong dan Sekolah Perempuan Crescent - yang ketika ini hanya mengambil pelajar daripada aliran Ekspres, akan mula menerima pelajar menengah satu yang mengambil subjek di peringkat G2 atau sama dengan Normal (Akademik) hari ini, menjelang 2024.



Semasa perbahasan itu juga, Encik Chan memberikan penjelasan terperinci mengenai soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Encik Daryl David (GRC Ang Mo Kio) berhubung Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) agar merangkumi aspek tugasan berbentuk projek.



Sambil menukil juga saranan Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar) semasa perbahasan belanjawan untuk menghapuskan PSLE, Encik Chan mengupas sebab mengapa ramai berpendapat peperiksaan nasional itu sebagai sesuatu yang memberi tekanan kepada murid.



Beliau membentangkan empat soalan termasuk mengapa, bagaimana, bila peperiksaan dilakukan, serta apa yang dilakukan dengan keputusan peperiksaan itu.



Menurutnya, peperiksaan itu adalah untuk melepasi kebolehan sendiri dan bukan membuat perbandingan dengan pelajar lain.



Kedua, peperiksaan bertujuan meninjau bagaimana murid mengaplikasikan konsep dan bukan sekadar mengingatinya sahaja.



"Majikan kini lebih kurang berminat bagaimana pelajar dapat menghuraikan masalah semalam dengan huraian semalam atau masalah hari ini dengan huraian semalam.



"Majikan progresif mencari pelajar yang dapat menyelesaikan masalah esok dengan huraian esok," tegasnya.



Selain MOE, perbahasan bagi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) diadakan di Parlimen semalam.




Antara perubahan dalam sektor pendidikan



  • Tidak ada peperiksaan pertengahan tahun bagi sekolah rendah, menengah mulai tahun depan

  • Mulai 2024, tiada lagi penyaluran pelajar, digantikan dengan Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) Penuh

  • Mulai 2024, Program Asas Politeknik (PFP) diluaskan

  • Kemasukan Sekolah Langsung (DSA) ke maktab rendah diluaskan kepada 20 peratus bagi bukan Program Bersepadu (IP)

  • Program rintis Bahasa Ketiga Modular diperkenalkan, lebih ramai pelajar sekolah menengah boleh belajar bahasa baru

  • Mulai 2023, program Elektif Bahasa Melayu di Sekolah Menengah (EMAS) dibuka di pusat hos keempat terbaru iaitu di Institusi Raffles (RI)

  • MOE tinjau untuk tingkatkan kadar penyertaan kohort sepanjang hayat, beri peluang bagi dewasa yang bekerja ikuti ijazah sarjana muda

  • Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP) baru diperkenal

LAPORAN SELANJUTNYA:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >