TUGAS seorang intelektual adalah untuk memikirkan tentang nasib bangsanya. Dalam merungkai masalah yang membelenggu masyarakat, seorang pemikir akan mencari akar sesuatu masalah dengan tuntas, dan kemudian mencari huraian yang terbaik baginya.
Dia tidak hanya berteriak slogan-slogan besar atau retorik, yang memantulkan kegemilangan sesuatu masyarakat, dahulu ataupun sekarang, sedangkan yang hanya disuarakan adalah pencapaian-pencapaian sederhana.
Mentelah, kegemilangan harus dinilai dengan ukuran-ukuran lain, seperti samada kita benar-benar maju bersama, atau masih ada yang terpinggir.
Kebelakangan ini, kita dapati karya-karya Almarhum Syed Hussein Alatas, yang pernah menjawat jawatan Profesor di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), diterbitkan semula.
Antara buku-buku beliau yang diterbitkan semula termasuk yang ditulis dalam bahasa Melayu, seperti Mitos Pribumi Malas, Siapa Yang Salah?, Biarkan Buta, dan Intelektual Masyarakat Membangun.
Tahun ini, buku Islam dan Sosialisme, yang asalnya diterbitkan pada tahun 1977, dicetak semula. Mengapa tulisan-tulisan pemikir ini kekal relevan hingga ke hari ini, walaupun ia diterbitkan tiga atau empat dekad lalu?
Saya fikir ia disebabkan keikhlasan beliau dalam mencari huraian masalah yang membelenggu masyarakat, dan bukan demi kepentingan politik.
Fikiran beliau jauh di hadapan berbanding anggota masyarakat yang lain pada waktu itu, sehingga ada idea-idea beliau yang tidak disenangi.
Jelas, penulisan beliau kaya dengan bahan-bahan bacaan yang tidak dipetik daripada sumber-sumber Islamik tetapi penulisan-penulisan pemikir Barat dan Asia Tenggara.
Islam dan Sosialisme menegur dua golongan dominan dalam masyarakat Melayu. Yang pertama adalah golongan kapitalis, dan yang kedua golongan konservatif-tradisionalis Islam.
Buku ini membincangkan mengapa fahaman sosialisme selari dengan nilai-nilai yang diperjuangkan Islam seperti keadilan sosial, yang memerhatikan golongan susah dan terpinggir.
Sosialisme kurang diberi perhatian dalam masyarakat Melayu kerana istilah itu sering dikaitkan dengan Marxisme, yang disifatkan sebagai anti-tuhan.
Malangnya, tumpuan pengkritik sosialisme hanya cenderung pada model-model di Eropah, tanpa menilai kepelbagaian bagaimana sosialisme dipraktikkan di dunia.
Malah Profesor Alatas mempersoalkan mengapa ada aspek kapitalisme ekstrem yang menindas masyarakat dibiarkan berleluasa sedangkan ideologi itu juga berkembang di Barat.
Profesor Alatas juga membantah golongan yang tidak memperhatikan sosialisme kerana sering menyebut Islam adalah Islam, dan fahaman lain bukan Islam.
Golongan ini "berteriak" mengatakan Islam sudah lebih dahulu memperhatikan nasib bangsa berbanding isme-isme yang lain. Walau bagaimanapun, bila diajak berdebat di mana kurangnya sosialisme dengan Islam, seringkali yang dibahas ialah sosialisme tidak percaya pada Tuhan.
Bukankah yang harus diperhatikan adalah nilai-nilai kemanusiaan yang sama diperjuangkan?
Buku setebal 119 muka surat ini harus dibaca oleh pemimpin, mahasiswa universiti, dan pelajar-pelajar peringkat pra-universiti.
Malah, penulisan Profesor Alatas sangat menarik dan mudah difahami hingga pelajar-pelajar peringkat sekolah menengah juga boleh ambil iktibar daripadanya.
Jika mereka mahu membina keupayaan berwacana dengan kritikal, dan memahami polemik dalam masyarakat zaman dahulu hingga sekarang, bolehkah mereka membaca karya-karya beliau.
Saya yakin pembaca boleh selesai membaca buku ini selewat-lewatnya seminggu.
Bahagian pertama adalah Kata Pendahuluan di mana Profesor meletakkan konteks perbahasan dan mengapa mengubah salah tanggapan kekata sosialisme itu penting.
Bahagian kedua pula memberikan ulasan terperinci berkaitan Islam dan sosialisme, termasuk bagaimana tokoh-tokoh Islam termasuk yang menetap di tanah Melayu membincangkan peranan sosialisme dalam pembentukan sistem yang lebih adil buat masyarakat moden.
Bahagian ketiga adalah kritikan beliau terhadap penulisan-penulisan mantan perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, yang pada masa itu, adalah timbalan perdana menteri kepada Hussein Onn.
Menariknya, bahagian ini mengajak Mahathir berdebat secara terbuka dan mengetengahkan hujah-hujah secara bertulis, terutama golongan yang menolak sosialisme.
Ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada buku Islam dan Sosialisme yang kekal relevan hingga ke hari ini. Misalnya, Profesor menangkis tuduhan kononnya beliau menyamakan Islam dengan sosialisme, walhal maksud sebenar beliau adalah Islam itu bersifat sosialisme.
Antara nilai-nilai Islam yang sosialisme perjuangkan adalah usaha yang menitikberatkan keperluan-keperluan hidup manusia; anti-pemerasan terhadap kaum pekerja dan pembeli, perancangan ekonomi dan hukum agar pengedaran barang-barang adil dan sama-rata; memastikan golongan berkepentingan tidak memaksakan kehendak mereka kepada rakyat, dan penghapusan ketidakadilan kapitalisme (ms 5-8).
Tambahan lagi, Profesor mengkritik golongan yang sekadar memperlekeh sosialisme kerana ia berasal dari Barat.
Golongan ini, menurutnya, hanya mahu menikmati sains dan teknologi Barat tanpa serta keinginan untuk memahami ekologi atau sistem sosial yang memajukan masyarakat.
Misalnya, masyarakat Barat telah membuat beberapa penemuan sains yang natijahnya meningkatkan taraf kehidupan dunia. Barat juga berhasil memastikan bekalan makanan dan ubatan yang cukup buat penakatan masyarakatnya, dan membolehkan manusia naik ke bulan.
Ini tidak bermakna masyarakat Islam harus tunduk pada pembaratan atau imperialisme Barat, dan Profesor sendiri dalam penulisan-penulisan popularnya sudahpun mengkritik sifat penjajah yang bersifat kapitalis.
Malah, dialah yang pertama mengajak kita memikir-ulang peranan Thomas Stamford Raffles sebagai hero negara, sedangkan kelakuannya di rantau Melayu mencurigakan.
Di saat kita sedang menghadapi cabaran Covid-19 ini dan cabaran-cabaran lain, seperti perang dagang antara Amerika dan Cina, masalah orientasi agama Islam yang konservatif (di sini, perlu kita bezakan istilah agama dengan orientasi agama), dan ketidaksamarataan sosial, marilah kita sama-sama membaca Islam dan Sosialisme supaya kita dapat ilham untuk memikirkan cabaran-cabaran ini.
Sebenarnya, membaca buku ini hanyalah sebagai permulaan yang mengelakkan persepsi negatif terhadap istilah sosialisme itu. Misalnya usaha yang menyamakan ia dengan komunisme atau sekular Barat. Mungkin setelah kita merasa lebih "mesra" dengan istilah sosialisme ini, barulah kita boleh kembangkan pembacaan kita dan melakar dasar-dasar lebih konkrit demi menyelesaikan masalah umat.
- Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau baru sahaja dilantik sebagai seorang Duta Bahasa.