Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Peranan asatizah kita sebagai aset berharga masyarakat, negara

Dec 15, 2019 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, dalam podcast Cakap Masjid terbitan akhbar ini, kami menerima dua soalan dari pendengar, yang bagi saya agak menarik.



Soalan pertama: Dalam majlis jamuan di pejabat yang menyediakan juadah dari syarikat katering yang tidak memiliki sijil Halal, sekadar jaminan 'No Pork, No Lard', adakah boleh makan hidangan makanan laut atau sayur-sayuran?



Yang satu lagi: Dalam majlis perkahwinan rakan-rakan berbangsa Cina, boleh atau tidak Muslim menyertai upacara 'yam seng' tanpa menggunakan minuman alkohol?



Podcast Cakap Masjid membincangkan isu-isu sosio-agama selain menyelitkan segmen Kemusykilan yang dikumpul dari soalan pendengar yang kami terima menerusi kiriman ke Facebook dan Instagram Berita Harian/Berita Minggu Singapura.



Bagi saya, dua soalan tersebut menarik kerana ia mencerminkan semangat Muslim setempat untuk bersikap inklusif dan menyertai serta memenuhi undangan bagi majlis atau upacara yang dianjurkan bukan-Islam.



Tambahan, situasi sedemikian sering berlaku dalam masyarakat majmuk di Singapura.



Bagaimanapun, sedang kita mahu bersahabat seramai mungkin, termasuk dengan teman-teman berbeza agama, wujud ketidakpastian dari sudut keagamaan yang mencetuskan perasaan ragu-ragu.



Bagi dua soalan itu, jawapan yang diberikan asatizah dalam rakaman podcast itu, bagi saya, telah dapat menangani keraguan.



Penjelasan penuh boleh didengar di podcast kami (menerusi pautan http://bit.ly/Cakap-Masjid), namun umumnya asatizah undangan telah memberi nasihat bahawa kita harus yakin sebagai seorang Muslim untuk membuat penilaian berdasarkan konteks dan keadaan.



Natijahnya, keimanan kita sebagai seorang Muslim pastinya tidak begitu mudah tergugat semata-mata dengan menyertai majlis atau upacara sedemikian.



Sejak podcast Cakap Masjid dilancarkan Ogos lalu, BH/BM telah mengundang lebih 20 asatizah - dari yang mapan hinggalah yang muda - untuk membincangkan pelbagai topik.



Di samping itu, BH/BM juga gigih mengadakan Dialog Asatizah dan awal bulan ini baru menganjurkan sesi yang ke-20, sekali gus mendekati lebih 200 asatizah dalam tempoh sekitar dua tahun.



Jelas bagi saya betapa Muslim Singapura beruntung dianugerahkan asatizah yang bukan hanya berilmu, malah progresif lagi bijaksana.



Ini bagi saya adalah aset masyarakat kita yang paling berharga.



Kepimpinan dari golongan asatizah amatlah penting, lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan hari ini.



Kitab suci Al-Quran telah menggariskan asas kepimpinan Islam itu menerusi ayat yang bermaksud: "Biar muncul dalam kalangan kamu sebuah kumpulan yang mengajak kepada kebaikan, memerintahkan perkara yang betul, dan melarang perkara yang salah. Golongan ini akan mencapai kejayaan."



Pada dasarnya, asatizah memainkan peranan amat penting sebagai pemimpin yang memberi bimbingan keagamaan kepada masyarakat Islam sesebuah negara.



Mereka menjadi pakar rujuk dan merupakan sumber nasihat dan panduan dalam kehidupan beragama kita.



Namun, dalam beberapa dekad yang lalu pula, peranan asatizah kian berkembang.



Mereka bukan hanya memikul tanggungjawab sebagai pemimpin agama kepada masyarakat Islam bahkan merupakan jambatan antara Muslim dengan pemimpin dan masyarakat agama-agama lain.



Dalam erti kata lain, asatizah ibarat diplomat dan duta Islam dan merupakan wakil dalam masyarakat Muslim negara mereka.



Allahyarham Dr Mumtaz Ahmad, Profesor Sains Politik dan Naib Presiden Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad, berpendapat sejajar dengan peranan mereka itu, asatizah harus dilengkapi dengan pemahaman agama lain yang lebih dalam.



Asatizah, menurut beliau, perlu berupaya memahami keprihatinan dan sensitiviti agama lain dah lebih penting lagi membina hubungan yang dapat membangunkan ruang bersama bagi berkongsi nilai-nilai persamaan dan berbincang mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan dalam semangat muhibah lagi terbuka.



Di Singapura, kita beruntung mempunyai ramai asatizah sedemikian.



Habib Hassan Al-Attas contohnya bukan sahaja seorang ulama yang dihormati masyarakat Islam Singapura dan luar negara, malah seorang tokoh yang disayangi para pemimpin agama lain.



Beliau merupakan antara penggerak Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan adalah pakar rujuk dalam isu-isu silang agama.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Muslim Youth Forum (MYF), Ustaz Zahid Zin, adalah seorang lagi tokoh agama yang mendakap peri penting keharmonian dan perpaduan antara agama.



Menerusi ceramah, kelas dan catatannya di media sosial, Ustaz Zahid, yang berpengaruh dalam kalangan golongan muda, banyak menyampaikan mesej-mesej toleransi, saling memahami dan menghormati penganut agama lain.



Habib Hassan dan Ustaz Zahid hanyalah dua contoh dalam kalangan ramai asatizah yang bekerja keras memelihara, memperkukuh dan mempromosikan nilai perpaduan.



Melebihi itu, dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura, asatizah juga mempunyai peranan menyumbang kepada usaha menangani isu-isu sosial yang dihadapi masyarakat.



Dalam ucapannya di perjumpaan Hari Raya Asatizah Julai lalu, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram menggariskan peranan luas asatizah di Singapura.



Menurut Mufti, peranan asatizah setempat bersifat "strategik".



Sedang peranan utama mereka ialah mencorak kehidupan keagamaan Muslim di sini dalam konteks masyarakat majmuk, penglibatan asatizah juga penting dalam isu rencam yang dihadapi masyarakat daripada kemiskinan, kesaksamaan sosial hinggalah kepada perubahan iklim dan memerangi ideologi radikal.



Usaha ini sudah pun dilaksana asatizah kita.



Sejak sekian lama, mereka menjadi kaunselor, pendamping dan sumber sokongan kepada golongan rentan masyarakat - sama ada dalam struktur formal menerusi pertubuhan atau masjid, atau secara individu dah kumpulan tidak formal.



Baru-baru ini, sebagai antara inisiatif M kuasa Tiga, atau M3, lebih 200 asatizah, termasuk dari golongan naib kadi dan kaunselor agama, tampil menyokong projek Bersamamu dan Fitrah termasuk dari para naib kadi dan kaunselor agama.



Bersamamu adalah program tersusun bagi menyokong pasangan pada peringkat pra-pernikahan hingga tahun-tahun pertama perkahwinan manakala Fitrah pula adalah inisiatif bagi membantu bekas pesalah dan keluarga mereka.



Dengan peranan asatizah yang semakin luas, usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membangun keupayaan asatizah amat dialu-alu.



Pelbagai inisiatif telah diperkenal dalam beberapa tahun lalu. Sejajar dengan keperluan, mulai tahun depan semua lulusan agama dari universiti Islam luar negara perlu menjalani program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) sebelum dapat mendaftarkan diri di bawah ARS.



PCICS akan membantu asatizah setempat untuk terus berpandukan konteks Singapura yang berbilang agama dan mereka akan belajar tentang agama lain di Singapura.



Di samping itu, menerusi kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi setempat dan luar negara, asatizah juga boleh memperluas kemahiran dalam bidang-bidang lain - berdasarkan minat dan kecenderungan mereka.



Inisiatif PCICS ini pastinya akan memperkasa asatizah kita dengan kemahiran yang lebih luas bagi menyokong mereka dalam usaha mengimbangi peranan yang lebih pelbagai - dari sudut menghargai isu-isu silang agama secara lebih mendalam kepada menangani isu-isu sosial yang kian rumit.



Namun, melebihi itu, ia juga dapat meningkatkan asatizah ke tahap lebih tinggi, membuka dan meluas perspektif mereka kepada kepakaran dalam bidang-bidang melampaui garisan keagamaan.



Kepakaran dalam bidang ukhrawi yang diperkukuh dengan ilmu dalam kewangan, sains dan teknologi contohnya akan dapat terus membangun asatizah kita bukan hanya sebagai aset penting masyarakat Islam, malah aset berharga buat negara.




Nazri Hadi Saparin adalah Penolong kepada Editor dan salah seorang penyelia meja berita akhbar ini. Baru-baru ini, Hadi menulis mengenai pengalamannya mendedahkan anaknya kepada bahasa Melayu. Laporannya di https://bit.ly/2PaZdwW. Ikuti Hadi di Instagram @nazrihadi




Kepakaran dalam bidang ukhrawi yang diperkukuh dengan ilmu dalam kewangan, sains dan teknologi contohnya akan dapat terus membangun asatizah kita bukan hanya sebagai aset penting masyarakat Islam, malah aset berharga buat negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >