Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peranan penting RKM ubah kehidupan kanak-kanak, remaja berisiko

Feb 28, 2020 | 05:30 AM



KEBANYAKAN remaja bermasalah sering kali dihukum dan dipandang serong oleh masyarakat setempat.



Namun hal ini bukanlah bererti mereka tidak mampu berubah ke arah yang lebih baik.



Menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik dan memberi sokongan penuh demi meningkatkan tahap moral mereka.



Sedar akan kepentingan ini, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) memainkan peranan besar dalam memupuk dan membimbing kanak-kanak serta remaja yang berisiko.



Sebagai perkongsian, pihak RKM berkongsi kisah mengenai Haziq (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang penghuni di RKM dari tahun 2011 hingga 2013.



Beliau didaftarkan masuk ke RKM kerana kes kanak-kanak tidak terkawal.



Sebelum masuk ke RKM, beliau terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, pergaduhan, berjaga hingga lewat malam dan ponteng.



Dia juga sering bertindak agresif terhadap ibunya.



Namun begitu, kehadiran RKM memberikan impak yang besar kepadanya.



Dedikasi dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan RKM seperti Cikgu Nur telah membantu proses pemulihan diri Haziq.



Semasa Haziq mengalami 'pergelutan' dalam dirinya ini, Cikgu Nur pernah membawanya untuk melihat kesusahan ibunya bekerja sebagai penolong di sebuah medan selera.



Sebaik sahaja dia melihat ibunya yang mencari sesuap nasi dalam keadaan bertarung dengan kesihatan demi keluarganya, dia terus menangis.



Haziq mula sedar tentang kesalahan perbuatan dan tingkah lakunya yang bukan sahaja menyebabkan ibunya menangis, tetapi juga telah menyusahkan pegawai kes yang menjaganya.



Walaupun beliau merupakan orang asing dalam hidup Haziq, namun pegawai kes Haziq sangat mengambil berat akan dirinya.



Pada waktu itu, dia terus bertekad dan berjaya menamatkan peperiksaan peringkat 'N' (sebelum ini, beliau pernah berputus asa untuk belajar).



Cikgu Nur telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai pekerja sosial di RKM.



Selepas Haziq dibebaskan dari RKM, dia masih lagi terus bertanya khabar tentang Haziq.



Cikgu Nur juga ingin melihat 'anak-anak RKM' menjadi anak yang bertanggungjawab terhadap kehidupan dan keluarga mereka.



Dia tidak mengharapkan terlalu banyak, tetapi hanya mendambakan perubahan kecil, yang akan memberi impak besar kepada seseorang.



Setelah itu, hubungan Haziq dengan ibunya bertambah baik.



Ibunya juga mendapat kemahiran keibubapaan (melalui bengkel keibubapaan RKM) yang membantu beliau berkomunikasi dengan anaknya secara lebih baik.



Haziq, yang dahulunya selalu bertindak tanpa memikirkan keluarganya, kini memikul tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang bekerja untuk menjaga keluarganya.



Dia mahu memastikan adik-adiknya tidak berakhir sepertinya dahulu.



Beliau sangat berterima kasih dan mengenang jasa yang ditunjukkan oleh kakitangan RKM di atas semua bimbingan, komitmen dan sokongan.



Pihak RKM juga tidak pernah berputus asa dengannya, walaupun dia berada pada tahap terendah dalam hidupnya ketika itu.



Seminggu lalu, beliau berkumpul bersama kawan-kawannya untuk menderma makanan kepada penghuni RKM.



"Jangan salahkan keluarga anda untuk apa yang terjadi kepada anda kerana semuanya adalah pilihan kita sendiri.



"Kita mempunyai pilihan melakukan perkara yang betul atau salah. Keluarga akan sentiasa berada di sana untuk kita. Carilah teman yang baik supaya anda akan menggunakan masa anda untuk melakukan kebaikan," itulah kata-kata nasihat yang dikongsikan oleh Haziq kepada kawan-kawannya.



Kisah Haziq yang pernah dijaga dibawah RKM wajar menjadi pengajaran kerana perlindungan dan penjagaan mampu mengubah hidup seseorang ke arah yang lebih baik.



RKM ditubuhkan pada tahun 1989 dan telah memberikan perlindungan kepada lebih 1,000 penduduk daripada pelbagai latar belakang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >