Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG BELANJAWAN

Peranan setiap generasi bina masyarakat inklusif dijangka dibincang

Feb 13, 2018 | 05:30 AM



Belanjawan 2018 akan diumumkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada 19 Februari ini berlatarkan, antara lain, cabaran Singapura menghadapi masa depan dengan masyarakat yang menua. Laporan oleh NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg).



MELEBIHI perbincangan tentang pendapatan dan perbelanjaan, Belanjawan 2018 dijangka memulakan perbincangan tentang peranan setiap generasi bagi membina masyarakat inklusif, berlatarbelakangkan penduduk Singapura yang kian menua, menurut pemerhati.



Malah, perbincangan itu akan berterusan semasa Belanjawan di bahaskan di Parlimen dan semasa Taklimat Presiden di pembukaan sesi kedua Parlimen ke-13 pada Mei nanti, kata Profesor Madya Eugene Tan.



"Kita boleh menjangkakan bahawa Belanjawan akan menekankan keperluan masyarakat menua dan untuk memulakan dialog tentang peri pentingnya mencapai kesetaraan dari segi peranan setiap generasi," ujar Profesor Tan, pemerhati politik dan pensyarah undangundang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).



"Selaras dengan penekanan ini, tema penggunaan secara mampan - daripada sudut perbelanjaan pemerintah yang lebih tinggi bagi sektor sosial dan kesihatan, termasuk bagi golongan tua - dan pelaburan berterusan bagi masa depan dan golongan muda dijangka ditimbulkan dalam Ucapan Belanjawan, serta semasa perbahasan tentang Belanjawan dan Jawatankuasa Perbekalan (COS)," tambahnya.



Baru-baru ini, tinjauan Institut Pengajian Dasar (IPS) menunjukkan bahawa warga Singapura berbelah bagi mengenai isu sama ada rakyat perlu membayar cukai lebih tinggi bagi membiayai perbelanjaan sosial lebih tinggi atau rizab nasional perlu digunakan bagi tujuan tersebut.



Dua daripada lima peserta tinjauan itu berkata mereka tidak selesa membayar cukai lebih tinggi dan lebih rela jika rizab digunakan.



Kumpulan lebih kecil - 34 peratus - berkata mereka berpendapat sebaliknya.



Baki peserta tidak mempunyai pandangan mengenai perkara itu.



Perbelanjaan pemerintah telah meningkat daripada $33 bilion pada tahun kewangan 2007 (FY2007) kepada $71 bilion pada FY2016.



Menurut perangkaan dari 2015, perbelanjaan pemerintah merupakan sekitar 18 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) - setanding dengan Hongkong - dan lebih rendah berbanding negara maju lain seperti Jepun (37 peratus), Korea Selatan (21 peratus) dan Amerika Syarikat (34 peratus).



Perbelanjaan kesihatan dijangka melonjak menjelang 2030, apabila jumlah warga berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi satu daripada empat warga di Singapura.



Dalam persidangan tahunan Perspektif Singapura 2018 bulan lalu, Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Ravi Menon, meneruskan perbincangan awam mengenai isu pembiayaan perbelanjaan sosial dan kesihatan dalam masyarakat menua.



Kata beliau, masyarakat yang inklusif dan bertujuan mengekalkan ekonomi dinamik perlu membayar cukai yang diperlukan bagi menyokong golongan yang tercicir kemajuan teknologi dan penyejagatan, termasuk warga tua yang memerlukan pertolongan itu.



Dalam pada itu, pemerhati yang dihubungi akhbar ini berkata mereka tidak menjangkakan sebarang perubahan besar kepada sistem cukai pada Belanjawan kali ini.



Profesor Madya Simon Poh dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berharap sebarang perubahan pada sistem cukai di masa depan akan mengekalkan sifat progresif sistem cukai negara.



Menurutnya, kehidupan golongan tersepit - warga yang berpendapatan agak tinggi untuk dikecualikan daripada membayar cukai, dan pada masa yang sama tidak mampu membayar cukai yang lebih tinggi - akan terjejas dengan sebarang kenaikan cukai.



"Ini terutamanya bagi kumpulan yang lebih berisiko seperti individu yang mempunyai anak kecil, yang menjaga ibu bapa tua atau yang menjaga orang berkeperluan khas.



"Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk jika mereka tidak mempunyai pekerjaan stabil atau berdepan dengan pemberhentian kerja yang berlaku kerana pasaran kerja yang terjejas dengan ekonomi digital," kata Profesor Poh, yang mengajar di Sekolah Perakaunan.



Infografik:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >