Perangkaan baru sahkan keputusan S’pura alih tumpuan perundangan dadah ke arah pemulihan

DALAM tempoh empat bulan lalu, empat orang telah menyerahkan diri secara sukarela kepada Biro Narkotik Pusat(CNB) kerana aktiviti yang melibatkan dadah, dan ini mengejutkan pengamat yang berkata ini menunjukkan penagih sanggup tampil untuk mendapatkan bantuan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) memberikan perangkaan tersebut minggu lalu kepada akhbar The Straits Times yang telah mengemukakan soalan tentang perubahan terhadap Akta Penyalahgunaan Dadah yang merangkumi peluang untuk serah diri bagi pesalah dadah. 

Kementerian tersebut menambah kes-kes itu kini sedang disiasat, dan kesemua empat individu telah menggunakan salah satu daripada dua peluang serah diri yang diberikan kepada penyalahguna dadah. 

Mereka yang serah diri secara sukarela mungkin dikenakan tempoh pemulihan yang lebih singkat. 

Sementara itu, lapan dalam 10 pesalah dadah berulang yang ditangkap antara Januari dan Jun, yang sebelum ini mungkin dikenakan hukuman penjara bagi tempoh yang lama serta sebat berdasarkan undang-undang lama, telah diarahkan ke pusat pemulihan dadah (DRC) berikutan undang-undang dadah baru yang dikuatkuasa 16 Januari. 

Secara keseluruhannya, perangkaan tersebut mengesahkan keputusan Singapura untuk mengubah tumpuan undang-undang dadah dari hukuman kepada pemulihan, menurut mereka yang terlibat dalam usaha pemulihan.