Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peraturan baru bendung pungutan hutang bermasalah

◆ Semua syarikat pemungut hutang dinilai polis sebelum diberi lesen, kelulusan untuk beroperasi ◆ Mereka boleh didenda hingga $10,000, dipenjara jika langgar peraturan baru
Sep 14, 2022 | 05:30 AM



SEMUA syarikat pemungut hutang, termasuk pemegang jawatan utama serta pekerja pemungut hutang, di sini akan diperiksa polis dan harus dinilai sesuai sebelum mereka diberi lesen atau kelulusan untuk beroperasi.



Ini sedang pemerintah mengambil langkah mengawal kegiatan memungut hutang di Singapura, dengan tujuan mencegah kelakuan memungut hutang yang bermasalah, selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Pungutan Hutang semalam.



Bercakap di Parlimen, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata pemerintah juga akan memperkenal langkah untuk melarang kelakuan yang mengancam keselamatan fizikal penghutang atau pihak ketiga seperti anggota keluarga penghutang.



Ini termasuk perbuatan pemungut hutang yang menunjukkan buku lima, meletak notis dengan maklumat identiti penghutang di pintu jirannya serta menghantar mesej kepada penghutang untuk mengancam menyakiti penghutang atau keluarganya secara fizikal.



Di bawah undang-undang baru itu, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya.



Bagi pesalah berulang, mereka boleh didenda hingga $20,000, dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya.



Cik Sun menarik perhatian bahawa jumlah laporan polis yang dibuat terhadap kelakuan syarikat pemungut hutang dan pemungut hutang kekal tinggi, dengan 367 laporan polis dibuat setahun secara purata dari 2018 hingga 2021.



Bercakap tentang antara kes pungutan hutang yang telah menyebabkan orang awam rasa cemas sebelum ini, beliau berkata salah satu kes itu yang berlaku pada 2019 melibatkan pemungut hutang yang memakai baju upacara pengebumian tradisional Cina ke tempat kerja penghutang dengan membawa kain rentang yang memaparkan muka penghutang.



Tindakan telah diambil terhadap pemungut hutang itu di bawah undang-undang sedia ada.



Cik Sun berkata pungutan hutang merupakan kegiatan ekonomi yang sah dan ia membantu dengan penunaian kewajipan kewangan, namun lebih banyak usaha boleh dijalankan untuk mengawal industri pungutan hutang itu dan menangani kelakuan memungut hutang yang bermasalah.



"Individu dan syarikat tidak seharusnya menghadapi kaedah pungutan hutang yang jelas melebihi apa yang boleh dianggap sebagai tekanan yang berpatutan bagi bayaran, lebih-lebih lagi jika kaedah yang digunakan itu juga menjejas keselamatan orang awam," ujar beliau.



Beberapa Anggota Parlimen (AP) termasuk Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Cik Foo Mee Har (GRC West Coast), Encik Derrick Goh (GRC Nee Soon), Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), Encik Leon Perera (GRC Aljunied) dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) turut tampil bertanya tentang kriteria yang digunakan pegawai pelesenan untuk menilai sama ada pemohon sesuai diberi lesen mengendali syarikat pemungut hutang atau diberi kelulusan berkhidmat sebagai pemungut hutang.



Cik Sun berkata pegawai pelesenan itu akan mempertimbang faktor yang dianggap relevan, termasuk sama ada mereka pernah melakukan kesalahan sebelum ini yang melibatkan gangguan atau keganasan.



Pertimbangan yang diambil untuk menilai sama ada seseorang itu sesuai berkhidmat sebagai pemungut hutang serupa dengan pertimbangan yang diambil bagi pegawai keselamatan.



Tambahnya, pegawai pelesenan itu juga akan mempertimbang keseriusan kesalahan yang dilakukan sebelum itu serta tempoh masa sejak ia berlaku.



Encik Perera turut menyarankan agar usaha pendidikan awam dan kempen meningkatkan kesedaran dijalankan bagi orang awam untuk mendidik mereka tentang apa yang dianggap sebagai kelakuan pungutan hutang yang tidak boleh diterima daripada pemungut hutang.



Sementara itu, Encik Dennis Tan (Hougang) turut meminta pemerintah mempertimbang kempen pendidikan awam yang sesuai.



Cik Sun mengucapkan terima kasih bagi saranan tersebut dan berkata saranan itu akan dikaji.



Tambahnya, peruntukan akan disediakan untuk memastikan terdapat masa yang mencukupi bagi syarikat pemungut hutang dan pemungut hutang yang ingin terus mengendali perusahaan mereka atau berkhidmat sebagai pemungut hutang untuk beralih ke rejim baru ini.



Parlimen semalam turut meluluskan Rang Undang-Undang Lambang Kebangsaan yang antara lain membolehkan bendera Singapura dipamerkan lebih kerap dan tidak hanya semasa tempoh sambutan Hari Kebangsaan.



Laporan lain dari Parlimen - Muka 5-7




''Pungutan hutang merupakan kegiatan ekonomi yang sah dan ia membantu dengan penunaian kewajipan kewangan. Namun, individu dan syarikat tidak seharusnya menghadapi kaedah pungutan hutang yang jelas melebihi apa yang boleh dianggap sebagai tekanan yang berpatutan bagi bayaran, lebih-lebih lagi jika kaedah yang digunakan itu juga menjejas keselamatan orang awam. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan rejim untuk mengawal industri pungutan hutang dan menangani kelakuan pungutan hutang yang bermasalah.''
 Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >