MEREKA yang belajar menunggang motosikal dan memandu kereta dalam beberapa tahun akan datang boleh dinilai untuk mendapatkan lesen jalan raya tanpa kehadiran penguji manusia, jika satu percubaan di sini berjalan lancar.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah membuka tender bagi percubaan litar automatik sepenuhnya yang akan menggunakan teknologi untuk menguji penunggang motosikal.
Litar Memandu Pintar (IDC) akhirnya akan menggantikan kaedah ujian kini, yang melibatkan penilai manusia, untuk pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Menurut dokumen tender di portal pemerolehan pemerintah GeBiz, percubaan itu akan dilakukan bagi motosikal Kelas 2, 2A dan 2B terpilih, yang harus dilengkapi dengan peralatan analisis seperti penderia dan kamera.
Penender dijangka akan membekalkan dua unit motosikal untuk setiap kelas dan menubuhkan sistem pengujian automatik di stesen kursus motosikal dalam litar ujian di Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC) di Taman Perindustrian Woodlands.
Dokumen tender menyenaraikan kesalahan menunggang yang mesti dapat dikesan oleh sistem pengujian automatik itu di stesen berhenti kecemasan dalam satu ujian bukti konsep.
Ini termasuk kegagalan mencapai kelajuan minimum 30 kilometer sejam untuk motosikal Kelas 2B dan 40 kilometer sejam untuk motosikal Kelas 2 dan 2A sebelum melaksanakan hentian kecemasan, kegagalan melihat lurus ke depan dan memegang hendal dengan kuat menggunakan kedua-dua tangan, dan kegagalan mencengkam tangki bahan bakar dengan kedua-dua lutut.
Sistem itu juga mesti dapat mengesan jika penunggang meletakkan kakinya ke bawah sebelum menghentikan motosikal sepenuhnya, jika beliau menyokong motosikal dengan kaki kanan dan bukan kaki kiri setelah berhenti, atau jika beliau berhenti dengan cara yang terhuyung-hayang.
Penender mesti menunjukkan yang sistem itu boleh mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus ketepatan dalam mengesan dan mengetengahkan kesalahan itu sebelum reka bentuk itu dipertimbangkan untuk penilaian lebih lanjut.
Sistem itu mesti dapat mencapai ketepatan 100 peratus dalam mengesan kesilapan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
Ia juga dikehendaki menunjukkan bagaimana mata demerit diberikan dan mengapa, serta menghitung jumlah mata demerit yang diberikan di akhir ujian untuk menentukan sama ada pelajar yang menjalani ujian itu telah memenuhi syarat minimum sebelum beralih ke ujian berikutnya.
Percubaan itu boleh mengambil masa hingga satu setengah tahun, menurut dokumen tender.
Penender akan dikehendaki memberikan jaminan dan penyelenggaraan sistem untuk hingga 18 bulan selepas pemasangan.
Apabila IDC pertama kali diumumkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 2017, beliau berkata percubaan akan berlangsung pada 2021 dan rancangannya adalah untuk mencapai pelaksanaan sepenuhnya menjelang 2023.