Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Percutian dipendekkan agar tidak terkandas

Mar 18, 2020 | 05:30 AM



MEREKA sepatutnya menghabiskan masa berehat dalam bilik hotel di tempat percutian pilihan masing-masing sempena cuti sekolah minggu ini.



Sebaliknya, sesetengah warga Singapura yang sedang bercuti di Malaysia itu duduk terpaku di hadapan televisyen dalam bilik hotel mereka menyaksikan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan mengenai Covid-19 secara langsung kelmarin.



Pengumuman oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga 31 Mac di seluruh negara itu membuat sesetengah mereka terus membuat keputusan segera pulang ke Singapura.



Antara mereka termasuk Cik Atiqah Halim, 38 tahun, yang berada di Langkawi bersama keluarganya semasa pengumuman itu dibuat.



Mereka sepatutnya kembali ke Singapura hari ini tetapi memutuskan pulang semalam kerana ingin mengelak daripada sebarang kesulitan yang mungkin timbul sekiranya mereka keluar dari Malaysia selepas perintah tersebut dilaksana.



Dalam tempoh sejam dua selepas pengumuman tersebut dibuat, kakitangan awam itu berjaya menempah tiket penerbangan pulang ke Johor Bahru dari Langkawi bagi keluarganya serta khidmat kereta untuk membawa mereka pulang ke Singapura dari Johor Bahru.



Sehingga akhbar ini dicetak malam tadi, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah dari lapangan terbang di Johor Bahru.



"Saya rasa langkah untuk segera pulang ini adalah keputusan yang terbaik bagi kami, lebih-lebih lagi kerana bapa mentua saya warga Malaysia dan Penduduk Tetap (PR) Singapura.



"Bayangkan kalau kami hanya kembali ke Singapura selepas perintah itu dilaksana dan kami dapat pulang tapi beliau tidak dapat kerana berstatus warga Malaysia dan terpaksa sendirian di sana. Tentunya lebih susah nanti," ujar ibu tiga anak yang berusia dua, lima dan lapan tahun itu.



Bagi pasangan suami isteri Cik Salamah Ahmad dan Encik Razali Othman, kedua-duanya 57 tahun, keputusan mereka untuk melawat anak mereka di Petaling Jaya Ahad lalu ternyata ada hikmah.



Menurut Cik Salamah, beliau dan suami sekadar ingin melepaskan rindu kerana sudah agak lama tidak berjumpa dengan puteri sulung mereka yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Melayu di Universiti Malaya.



Selepas kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan itu dan universiti pun ditutup sehingga 31 Mac, suri rumah itu terus menyuruh anaknya mengemas beg dan pulang bersama beliau dan suami semalam.



"Saya tahu di Singapura pun ada kes jangkitan Covid-19 tapi sebagai ibu, kalau apa-apa berlaku, biar anak berada di depan mata saya. Macam mana nak tenteram hati ini kalau dia jauh dengan saya?



"Pada mulanya, kami ke Malaysia kerana rindukannya tapi ternyata ada hikmah kami ke sana," ujarnya.



Namun bagi sesetengah warga Singapura, mereka memutuskan untuk memendekkan percutian mereka di Malaysia walaupun tidak pulang semalam.



Antara mereka termasuk Cik Nazlin Hilal, 41 tahun, yang akan pulang ke Singapura hari ini.



Beliau bersama suami serta dua anak mereka yang berusia 10 dan 15 tahun memandu ke Melaka Ahad lalu sebelum ke Sepang kelmarin.



Mereka sepatutnya pergi ke Kuala Lumpur hari ini dan pulang ke tanah air Sabtu.



Namun selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dibuat, Cik Nazlin sekeluarga memutuskan membatalkan percutian mereka di Kuala Lumpur kerana menjangkakan kebanyakan kedai ditutup.



"Saya tidak menjangkakannya kerana sehingga minggu lalu, jumlah kes jangkitan Covid-19 di Malaysia belum melonjak tinggi seperti sekarang.



"Anak saya pun hampa kerana kami sepatutnya menghabiskan masa bersama selama seminggu di beberapa tempat di Malaysia tapi sekarang kena pulang pula. Tapi saya rasa ini lebih baik demi keselamatan semua orang," ujarnya.



Bagaimanapun menurut Cik Nazlin, mereka memutuskan untuk pulang ke Singapura hari ini kerana menjangkakan kesesakan di pusat pemeriksaan semalam.




“Saya rasa langkah untuk segera pulang ini adalah keputusan yang terbaik bagi kami, lebih-lebih lagi kerana bapa mentua saya warga Malaysia dan Penduduk Tetap (PR) Singapura. Bayangkan kalau kami hanya kembali ke Singapura selepas perintah itu dilaksana dan kami dapat pulang tapi beliau tidak dapat kerana berstatus warga Malaysia dan terpaksa sendirian di sana. Tentunya lebih susah nanti.”
– Cik Atiqah Halim yang berada di Langkawi apabila Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia diumumkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >