Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Lembaran baru lepas tingkat kemahiran semasa pandemik

Dua individu manfaatkan kemahiran baru dari kursus ICT NTUC LearningHub untuk mulakan niaga dan kerjaya baru
Jul 07, 2021 | 05:30 AM



PANDEMIK Covid-19 telah menjejas ekonomi dan pekerjaan serta menyulitkan kehidupan sesetengah individu, namun bagi Encik Muhamed Ibrahim Mohd Salleh dan Siti Hairani Aznor mereka sebaliknya menganggap pandemik sebagai lembaran baru dalam kehidupan.



Berbekalkan kemahiran dan semangat baru yang diraih menerusi kursus-kursus peningkatan diri yang mereka sertai, Encik Ibrahim telah memulakan perniagaan gunting rambut dengan membuka salun bersama anaknya di Joo Chiat Road.



Cik Hairani pula mendapat pekerjaan baru sebagai pereka UI/UX (user interface/user experience atau interaksi pengguna/pengalaman pengguna) di sebuah agensi teknologi.



Kemahiran mereka diraih menerusi kursus-kursus Teknologi Infokom (ICT) anjuran NTUC LearningHub (NTUC LHUB) di bawah Program Kemahiran SGUnited.



Kini mereka teruja untuk menerapkan pengetahuan baru itu dalam bidang-bidang baru yang diceburinya.



Menceritakan pengalamannya dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), Encik Ibrahim, 57 tahun, berkata sebelum menyertai program SGUnited itu, beliau tidak bekerja selama lima tahun kerana perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua.



Beliau sebelum itu bertugas sebagai eksekutif fesyen mewah dengan pengalaman lebih 20 tahun.



Apabila pandemik melanda, Encik Ibrahim, yang langsung tidak mempunyai latar-belakang bidang teknologi, mengambil peluang mengikuti Program Spesialis Pemasaran Digital dan E-Niaga yang ditawarkan.



Kursus tersebut berlangsung dari Disember 2020 hingga pertengahan bulan depan.



"Ia merupakan satu loncatan besar bagi saya," kata bapa tiga anak yang memiliki kelulusan GCE 'O' itu.



Di bawah program SGUnited itu, Encik Ibrahim menerima elaun bulanan $1,200 bagi menampung perbelanjaan asasnya.



Oleh kerana beliau menggunakan Kredit SkillsFuture, beliau tidak mengeluarkan sesen pun daripada koceknya untuk membiayai kursus tersebut yang sebenarnya bernilai sekitar $26,000.



Ia mendapat subsidi pemerintah.



"Kursus itu dijalankan 100 peratus menerusi dalam talian, oleh itu ia sesuai bagi saya untuk menjaga ibu bapa saya di rumah sedang saya menghadiri latihan," tambahnya.



BUKA SALUN RAMBUT



Ternyata kemahiran yang diraih Encik Ibrahim itu berbaloi.



Beliau telah manfaatkan kemahiran barunya itu untuk memulakan perniagaan menyediakan khidmat gunting rambut dan khidmat sampingan lain seperti urutan kepala dan muka.



Bersama anaknya, Encik Noor Muhamed Muhamed Ibrahim, mereka membuka salun lelaki 'Bespoke Barber Shop' di Joo Chiat Road Mac lalu.



Sedang anaknya itu memberi fokus kepada khidmat dandanan rambut, Encik Ibrahim telah menerapkan kemahiran baru diraihnya itu dengan menjalankan tugas pemasaran digital termasuk pemasaran media sosial dan tempahan 'online' demi mendapatkan lebih ramai pelanggan.



Ini meskipun beliau masih belajar dan masih mengikuti kursus tersebut.



"Pemasaran digital membantu saya mendekati pasaran sasaran kami dan menarik pelanggan baru secara digital semasa pandemik ini," kata Encik Ibrahim.



Bagi Encik Noor pula, beliau juga mempelajari kemahiran baru dalam bidang dandanan rambut dengan mengikuti kursus di Kimage Hairdressing School kerana mahu mempelajari sesuatu dan menceburi minat baru.



Beliau yang mengikuti kursus tersebut pada 2019 juga membayar sebahagian kos program menggunakan Kredit SkillsFuture.



"Saya memutuskan untuk memulakan perniagaan bersama bapa saya kerana beliau memang bercita-cita untuk berniaga sejak kecil dan mahu melakukan sesuatu dengan anaknya. Maka itu saya sarankan idea kedai gunting rambut itu," kata Encik Noor, 32 tahun, yang meninggalkan jawatan sebagai konsultan projek selama empat tahun untuk mengejar cita-cita membuka salon tersebut.



Beliau, yang sudah berkahwin, juga memiliki diploma dalam pengajian perniagaan.



Mengenangkan kembali pengalaman dilaluinya itu, Encik Ibrahim menambah beliau tidak mungkin meningkatkan kemahiran jika tidak kerana pandemik ini.



"Tanpa latihan dan pengetahuan yang betul dalam bidang pemasaran digital ini, saya tidak akan terfikir pun untuk memulakan perniagaan.



"Pengetahuan itu penting dan saya tidak seharusnya berhenti belajar agar saya dapat terus mengikuti arus masa yang sentiasa berubah," katanya yang menyarankan pekerja memanfaatkan skim pemerintah dan meningkatkan diri.



KERJAYA BARU



Mengimbas pengalamannya pula, Cik Hairani berkata bekas syarikatnya, yang terlibat dalam sektor pelancongan, telah memutuskan pada Ogos tahun lalu untuk mengurangkan bilangan pekerjanya.



Majikannya telah memberi pilihan kepada pekerja sama ada untuk terus bekerja bersama syarikat itu tetapi dengan potongan gaji 50 peratus, atau mencari peluang kerjaya lain.



"Saya merasakan detik itu merupakan masa yang baik untuk akhirnya mengejar bidang-bidang lain yang diminati. Justeru saya memilih untuk meninggalkan syarikat tersebut," kata Cik Hairani, 39 tahun, yang bekerja bersama firma berkenaan selama tujuh tahun.



Beliau, yang memiliki Diploma dalam Komunikasi Visual dari Politeknik Temasek dan pengalaman dalam rekaan grafik selama 15 tahun, kemudian menganggur selama sebulan.



Untuk meningkatkan semangatnya, Cik Hairani memutuskan untuk meningkatkan diri supaya beliau lebih mudah mendapatkan pekerjaan kelak.



Beliau mengambil kursus Program Pereka UI/UX Bersekutu selama sembilan bulan dari Oktober 2020 hingga Jun 2021.



Dalam tempoh kursus tersebut, Cik Hairani diberi elaun bulanan dan ini amat membantu semasa tempoh latihan tanpa pekerjaan dan pendapatan.



Tetapi belum lagi beliau tamat menjalani kursus tersebut beliau ditawarkan bekerja dengan sebuah agensi teknologi pada akhir April lalu.



Beliau diberi peranan dalam bidang UI/UX dalam agensi yang mempunyai pelanggan syarikat berbilang negara dengan beberapa daripadanya firma industri perbankan dan teknologi kewangan.



Tetapi dalam menjalankan tugas barunya itu Cik Hairani perlu menyesuaikan diri dalam suasana baru kerana rentak pekerjaan tidak sama berbanding dahulu manakala skop perkerjaannya juga lebih luas.



Namun kemahiran baru yang dipelajarinya itu telah membantunya dan "memberi saya asas yang baik meskipun dalam memikul peranan baru".



Beliau juga menjangkakan dapat menerima jumlah gaji yang sama seperti gaji ketika bersama bekas firma pelancongan dahulu selepas tempoh probesennya berakhir kelak.



"Saya kira anda boleh menyatakan bahawa pandemik ini merupakan satu rahmat kerana saya dapat meningkatkan diri dan mendapat kerja baru," kata Cik Hairani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >