Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS

Pergas, RRG bantu pemerintah tangani isu JI atas keperluan agama

Ustaz Hasbi: Masyaikh sebulat suara bersetuju tanpa pengaruh ISD, bahkan isu lama dibincang, jadi keprihatinan
Mar 19, 2022 | 07:36 AM



MASYAIKH Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) sebulat suara bersetuju membantu pemerintah menangani isu Jemaah Islamiyah (JI) kerana menganggapnya satu keperluan membantu dari segi agama.



Mereka tergerak melakukannya sendiri tanpa pengaruh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), kata Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.



Bahkan, isu pelampauan dalam agama telah lama dibincangkan dan menjadi keprihatinan masyaikh (penasihat mapan) Pergas sebelum pihak ISD menanyakan jika Pergas boleh membantu dalam menangani masalah JI, ujar Ustaz Hasbi.



"Antara perkara yang lebih mendorong kami membantu adalah apabila pihak ISD menyatakan mereka ada semua keperluan, ahli psikologi ada, kaunseling ada. Yang mereka tak ada adalah (kepakaran) agama.



"Di Singapura ini, kami rasa tak ada yang boleh berikan bantuan tersebut melainkan Pergas. Atas dasar Pergas adalah asatizah, orang yang ahli dalam bidang keagamaan selain Muis, atas dasar itulah kita rasa kita perlu membantu," ujar Ustaz Hasbi.



Apatah lagi JI ditangkap kerana hendak melakukan pengganasan dan pembunuhan orang awam, yang amat dilarang dalam Islam, dan fahaman ini perlu diperbetulkan, kata Ustaz Hasbi.



Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan Berita Harian berhubung dakwaan akaun Facebook 'Fikrah Siyasah' terhadap penubuhan dan peranan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Difahamkan individu di sebalik akaun tersebut ialah Zulfikar Mohamad Shariff, yang sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan dibimbing serta diberikan khidmat kaunseling semasa ditahan oleh ISD.



ISD TIDAK PENGARUHI PERGAS UNTUK TAMPIL BANTU



Antara dakwaan di akaun Fikrah Siyasah adalah RRG ditubuhkan oleh dua asatizah atas "arahan dan galakan" daripada ISD.



Ustaz Hasbi sebelum ini menjelaskan bahawa RRG mula terbentuk setelah pengarah ISD pada ketika itu, Encik Benny Lim, bertemu dengan para masyaikh Pergas untuk menanyakan jika Pergas boleh membantu dalam menangani masalah JI.



"Para masyaikh Pergas pada ketika itu sebulat suara menyatakan persetujuan membantu menangani masalah JI. Seterusnya Ustaz Ali (Mohamed) diberi peranan merealisasikan persetujuan dan usaha ini.



"Maka terbentuklah RRG dengan Ustaz Ali mewakili masyaikh dan saya sendiri pada ketika itu sebagai Naib Presiden Pergas mewakili Pergas," jelas Ustaz Hasbi.



Namun, Ustaz Hasbi menolak dakwaan bahawa keputusan asatizah tampil membantu menangani isu JI itu adalah daripada pengaruh ISD.



"Pada pandangan saya dan pengalaman saya, ISD tidak mempengaruhi Pergas untuk membantu ISD tetapi kami sendiri tergerak hendak melakukannya kerana diperlukan kami melakukan sedemikian," kata Ustaz Hasbi, dalam wawancara dengan akhbar ini.



MENGAPA PERLU PENDEKATAN AGAMA DAN KERJASAMA



Satu lagi hujah yang dikemukakan Fikrah Siyasah adalah bahawa pengganasan tidak berkaitan dengan agama.



Mengulas tentang perkara ini, Ustaz Hasbi berkata meskipun pengganasan bukan daripada agama, pendekatan agama tetap diperlukan untuk mengatasi isu pengganasan.



"Terorisme itu kami istilahkan sebagai pelampauan. Apa pun yang melampau, apa pun yang ganas, perlu diperbetulkan. Perlu dibimbing pada cara yang betul.



"Jadi Pergas berasakan inilah peranan Pergas yang perlu Pergas mainkan. Betulkan masyarakat dengan cara agama.



"Kita perlukan pendekatan agama untuk menyingkirkan sesuatu yang bukan daripada agama," ujar Ustaz Hasbi, yang juga pengerusi bersama RRG.



Malah, menerusi kerjasama dengan pemerintah, asatizah dapat bertemu dengan tahanan untuk memberi kaunseling dan memperbaiki keadaan mereka.



"Kalau kami tak beri kerjasama dengan pihak pemerintah, macam mana kami boleh jumpa tahanan tersebut. Macam mana kami nak betulkan agama mereka," ujar Ustaz Hasbi.



Ditanya jika terdapat keprihatinan tentang kerjasama dengan pemerintah atau ISD waktu itu, Ustaz Hasbi pula berkata: "Kami tak pandang pemerintah atau ISD. Yang kami pandang, pihak yang memerlukan bantuan."



MANFAAT KERJASAMA DENGAN PEMERINTAH



Ustaz Hasbi juga ditanya tentang manfaat yang diraih asatizah daripada kerjasama RRG dengan pemerintah, satu lagi dakwaan yang dikemukakan dalam pos Fikrah Siyasah itu.



"Memang kami dapat manfaat. Manfaat pertama yang kami tidak dapat nafikan adalah kami dapat ganjaran baik daripada Allah swt. Itu manfaat yang kami idam-idamkan.



"Hati kami tenang, hidup kami tenang. Usaha kami jadi mudah, senang dan sebagainya.



"Orang tohmah kami dengan bermacam-macam tohmahan. Tapi alhamdulillah kerana niat kami bersih, kerana Allah swt, semua tohmahan tersebut dapat kami atasi dan hadapi, dengan sikap yang baik juga," ujarnya.



Ustaz Hasbi menekankan bahawa RRG tidak mendapat bayaran daripada pemerintah.



Selain mendapat akses kepada tahanan untuk membantu mereka, satu lagi manfaat daripada kerjasama dengan pemerintah adalah pihak asatizah juga senang berinteraksi dengan pemerintah, kata Ustaz Hasbi.



Apa-apa isu yang timbul - contohnya pembinaan kasino yang tidak dipersetujui masyarakat Islam - boleh dibincangkan dengan cara yang baik.



IMPLIKASI JIKA ASATIZAH TIDAK TAMPIL BANTU



Ditanya apa implikasi jika asatizah tidak tampil membantu menangani isu JI, Ustaz Hasbi melihatnya dari segi pandangan agama.



"Kami sebagai golongan agama, kami lebih memahami kesan keagamaan kalau kami menolaknya.



"Jadi bukan kami takut kepada pemerintah atau takut kepada ISD. Yang kami lebih takut sebagai orang agama kemarahan Allah, hukuman Allah kalau kami boleh bantu tapi tak nak bantu," kata Ustaz Hasbi.




BACA LAPORAN BH LAIN:



Zulfikar Shariff ditahan bawah ISA - bit.ly/3L0epr3



Tahanan ISA Zulfikar dipenjara enam minggu kerana buat kenyataan palsu - bit.ly/3IlCLts



Asatizah setempat anggap ideologi Zulfikar racun, semai permusuhan - bit.ly/3KXSAZc




Anggota RRG pelbagai, ada sufi, juga salafi



KUMPULAN Pemulihan Keagamaan (RRG) terdiri daripada anggota bermacam-macam aliran pemikiran, termasuk pemikiran sufi dan salafi, kata pengerusi bersama RRG, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.



Bahkan, individu beraliran salafi juga diperlukan untuk menangani masalah salafi dalam kalangan tahanan Jemaah Islamiyah (JI).



"Tetapi salafi dalam RRG itu sederhana, dia tak menjurus kepada pengganasan. Sedangkan salafi yang ada pada JI itu menjurus kepada pengganasan.



"Jadi kita nak tunjukkan ada salafi yang tak ganas, ada salafi yang tidak menjadi pengganas.



"Bukan tak ada dalam kalangan anggota RRG yang Sufi, ada, yang salafi pun ada. Bahkan, kita pun perlukan salafi untuk tangani masalah salafi dalam kalangan tahanan JI," kata Ustaz Hasbi dalam satu wawancara dengan Berita Harian.



Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang dakwaan akaun Facebook 'Fikrah Siyasah' bahawa "RRG menuntut agar tahanan salafi mengamalkan sufism".



Ustaz Hasbi berkata meskipun terdapat aliran pemikiran yang berbeza dalam RRG, anggotanya tetap bersatu dalam tugasnya menjalankan amanah untuk mengatasi isu pengganasan itu.



"Satu yang kita kongsi bersama walaupun tak sama fikiran adalah keikhlasan melakukan tugas ini, amanah ini kerana Allah swt.



"Bukan kerana sufinya, bukan kerana salafinya, bukan kerana 'ism'-nya yang lain," kata Ustaz Hasbi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >