Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perginya ikon sastera Melayu, seni batik S'pura: Allahyarham Aziz Fakir, Sarkasi Said selamat dikebumikan

Oct 15, 2021 | 04:33 PM



PEMERGIAN mereka adalah kehilangan besar pada dunia seni visual dan kesusasteraan Singapura.



Dua tokoh yang disegani dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura, Allahyarham Sarkasi Said dan Allahyarham Aziz Fakir, selamat dikebumikan selang sehari di Pusara Abadi.



Sasterawan dan guru pesara, Cikgu Aziz, 80 tahun, meninggal dunia pada Khamis (14 Oktober), setelah lama menghidap bronkitis rebah di sebuah pusat pemulihan di Kampung Admiralty.



Seniman batik tersohor, Encik Sarkasi, 81 tahun, yang mengalami kerosakan pada kedua-dua ginjalnya pula meninggal dunia di rumahnya pada Khamis malam dan dikebumikan pada Jumaat.



Kehilangan begitu dirasakan dengan pemergian dua insan yang dianggap pakar dalam bidang masing-masing.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad turut berdukacita dengan pemergian Allahyarham Sarkasi,



Dalam catatan Facebook pada Jumaat, Encik Masagos menulis:



"Seorang seniman veteran yang telah berkecimpung dalam bidang seni selama hampir 60 tahun, Almarhum Pak Sarkasi dianggap sebagai antara perintis dan penggiat seni batik Singapura yang amat disegani.



"Saya yakin ramai di kalangan kita pernah menikmati karyanya yang dipamerkan di serata Singapura seperti di Istana, Bangunan Parlimen, pejabat Pemerintah, kedutaan dan hospital.



"Saya dan rakan-rakan Menteri Kabinet dan Anggota Parlimen pula berkesempatan memakai baju batik yang direka dan dilukis khas oleh Almarhum untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2018. Bakatnya juga terkenal di peringkat antarabangsa, menerusi pameran-pameran beliau di luar negara.



"Hasil kecemerlangannya, Almarhum menerima pelbagai anugerah dari dalam dan  luar negara. Misalnya, beliau telah menerima Anugerah Jauhari Perintis Berita Harian pada 2015.



"Pada 2020 pula, Almarhum dianugerahkan Pingat Budaya oleh Presiden, penghormatan kesenian tertinggi di Singapura. 



"Sepanjang hayatnya, Almarhum tidak lupa golongan yang kurang bernasib baik. Selain mendermakan hasil kerja seninya kepada rumah-rumah kebajikan, Almarhum turut menyumbang sebagai guru seni sukarela di Penjara Changi, Pusat Pemulihan Dadah Sembawang dan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma’wa.



"Ternyata, sumbangan Almarhum menjadi inspirasi bagi kita semua untuk terus berusaha agar saling membantu sesama kita, khususnya golongan yang lebih memerlukan.



"Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadahnya dan menempatkan beliau bersama mereka yang diredhaiNya. Salam takziah buat keluarga Almarhum Pak Sarkasi Said."



Turut mencatat penghargaan buat Allahyarham Sarkasi adalah Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



"Pak Sarkasi adalah pencetus kebanggaan dan keceriaan buat masyarakat kita dan dikenali kerana gaya seni batiknya yang berani dan berwarna-warni serta abstrak di samping kepakarannya dalam teknik lilin kalis. Karyanya telah dipamerkan di peringkat antarabangsa dna boleh ditemui di banyak koleksi awam dan privet.



"Allahyarham disampaikan dengan Pingat Budaya pada 2020 kerana kerja cemerlangnya dan nyala rasanya buat Batik. Hari ini kita kehilangan seorang ikon yang hebat. Salam takziah buat keluarga Pak Sarkasi," tulis Cik Rahayu di Facebook. 



Memberi sanjungan buat Cikgu Aziz pula adalah wartawan pesara dan penulis veteran Singapura, Encik Mohd Raman Daud yang berkata:



“Beliau guru berdedikasi dari segi profesi dan gigih menyuburkan taman sastera kita.”



Pelakon veteran Joe Jasmi, atau nama sebenarnya Jasmi Md Nor, yang juga presiden pertubuhan PRIHATIN (Penggiat Seni Melayu Singapura) berkata mereka sebenarnya merancang mengadakan acara untuk membantu dengan kebajikan penggiat seni termasuk Allahyarham.



“Malangnya, kami mendapat berita arwah telah pulang ke Rahmatullah.



Beliau telah banyak berjasa kepada negara dan bangsanya sebagai seorang pendidik yang berdedikasi sejak Singapura belum merdeka lagi.



“Beliau mengajar di pulau-pulau selatan Singapura ketika itu, termasuk Sekolah Pulau Seking, serta menulis dan menerbitkan beberapa buku yang menyimpan banyak kenangan beliau dalam bidang pendidikan dan suasana kehidupan di pulau-pulau selatan Singapura seperti Senja Di Pantai dan Aku Di Sebuah Pulau," ujarnya.



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >