POLIS telak menjejak dan kini menyiasat beberapa warga asing yang berhimpun di Robertson Quay, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut menggesa warga mematuhui peraturan jarak selamat.
Menulis di Facebook pada Isnin (18 Mei), Encik Masagos berkata pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan terhadap orang yang didapati melanggar langkah jarak selamat.
Encik Masagos berkata demikian semasa merujuk kepada gambar yang disebar sejak hujung minggu lalu, yang menunjukkan sekumpulan individu berhimpun di Robertson Quay.
Menurut beliau, beberapa restoran di situ menjual arak untuk dibawa pulang kepada pelanggan mereka dan perbuatan itu menyebabkan individu berkumpul di sana.
Pada Ahad, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengeluarkan perintah supaya restoran-restoran itu berhenti menjual arak untuk dibawa pulang dengan serta merta.
"URA akan terus memantau kawasan itu bersama SPF untuk memastikan pengendali serta individu mematuhi (peraturan itu)," tulis Encik Masagos.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali perniagaan dan individu yang didapati melanggar langkah jarak selamat," tegas beliau lagi.