Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Perihal anak titipan dalam sesi Facebook Live BH

Ustazah tekankan perlu ilmu, bijak dan sabar untuk jadi keluarga titipan
Feb 24, 2021 | 05:30 AM



ILMU, kebijaksanaan dan kesabaran.



Tiga perkara itu ditekankan Ustazah Nadia Hanim bagi keluarga yang ingin mengambil anak titipan.



Menurutnya, keluarga atau ibu bapa berminat atau terpanggil untuk menjaga anak titipan perlu mendapatkan ilmu kerana ia dapat meningkatkan pengetahuan mereka tentang apa yang perlu mereka jangka apabila menjaga anak titipan.



Kebijaksanaan, kematangan serta kesabaran pula penting dalam pembangunan seseorang anak titipan kerana dia mungkin membesar dalam suasana berbeza sebelum itu.



"Perlu ilmu, perlu faham, peka tentang keperluan anak titipan itu. Keluarga titipan juga perlu jalani latihan juga kerana anak-anak titipan ini dibesarkan dalam sekitaran yang berbeza daripada anak-anak kita.



"Kebijaksanaan untuk menguruskan anak titipan itu akan hanya datang apabila sudah menimba ilmu, dan yang terakhir ialah kesabaran.



"Kesabaran bukan ada hadnya tetapi sebaliknya kesabaran itu sebenarnya adalah satu proses pembelajaran," katanya lagi.



Beliau berkata demikian semasa satu sesi Facebook Live Berita Harian yang diadakan malam kelmarin, yang dibawakan khas oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).



Membincangkan topik titipan berjudul Buka Hati, Buka Rumah, Jaga Anak Orang, FB Live itu dihoskan koresponden Shahida Sarhid dan Ustaz Fadhly Rosli.



Ia menyentuh tentang, antara lain, soal jawab yang kerap kali timbul berkaitan titipan, serta persoalan keagamaan yang berkait rapat dengan penjagaan anak titipan.



Antara panelis dalam sesi Facebook Live itu ialah Penolong Pekerja Sosial Kanan daripada PPIS Oasis, Cik Nuraniah Anguani, dan pasangan ibu bapa yang telah menjaga lebih 10 anak titipan, Cik Nooraslinda Rahim dan Encik Yusri Yusof.



Menjawab pertanyaan mengapa lebih ramai ibu bapa titipan diperlukan, Cik Nuraniah berkata terdapat peningkatan berterusan dalam permintaan bagi keluarga titipan.



"Kebanyakan anak yang diletak di bawah penjagaan titipan adalah anak yang didera, ditinggalkan atau terbiar," katanya.



Menurut laporan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF), terdapat 530 keluarga titipan pada 2019 dan sejauh ini, pusat Oasis telah menyokong 90 ibu bapa titipan dengan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan titipan seawal usia bayi hingga di bawah 18 tahun.



Mengongsi pengalaman mereka, pasangan ibu bapa titipan berkata meskipun pelbagai cabaran dihadapi, menjaga anak titipan memberi makna yang besar kepada mereka.



Cik Nooraslinda, yang dijaga ibu saudaranya dari beliau kecil hingga berusia 18 tahun, berkata pengalaman itu membuatnya mahu menyumbang balik kepada masyarakat.



"Walaupun saya tidak dijaga ibu kandung saya, kasih sayang yang dicurahkan bak menatang minyak yang penuh, tiada yang berkurangan.



"Saya rasa lengkap dan saya tidak pernah rasa tersisih," ujarnya.



Suaminya, yang menyokong usaha itu, berkata walaupun pernah mengalami situasi anak kandung mereka, seorang anak perempuan yang kini berusia 14 tahun, berasa iri hati atau marah terhadap anak titipan kerana perlu mengongi barang atau mainannya, mereka suami isteri perlu bijak memainkan peranan mengimbangi keperluan anak kandung dan anak titipan.



"Apabila timbul perselisihan faham antara mereka, kami akan menariknya (anak kandung) ke tepi dan memberitahunya bahawa dia tetap nombor satu dalam hati kami.



"Dan sejak lima tahun lalu, apabila kami memulakan perjalanan menjadi keluarga titipan, anak kandung kami mula lebih matang, dan malah menyokong usaha murni ini apabila melihat perbezaan yang dapat dia lakukan demi kebaikan dan kesejahteraan anak-anak titipan ini," kata Encik Yusri.



Pada malam Isnin depan, satu lagi topik kekeluargaan akan dibincangkan dalam Facebook Live Berita Harian.



Topik perceraian itu akan dibincangkan bersama panelis pakar yang akan menghuraikan tentang pentingnya meneruskan proses keibubapaan bersama (co-parenting) meskipun ibu bapa telah berpisah.




"Perlu ilmu, perlu faham, peka tentang keperluan anak titipan itu. Keluarga titipan juga perlu jalani latihan juga kerana anak-anak titipan ini dibesarkan dalam sekitaran yang berbeza daripada anak-anak kita. Kebijaksanaan untuk menguruskan anak titipan itu akan hanya datang apabila sudah menimba ilmu, dan yang terakhir ialah kesabaran. Kesabaran bukan ada hadnya tetapi sebaliknya kesabaran itu sebenarnya adalah satu proses pembelajaran."
- Ustazah Nadia Hanim




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >