Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

RAHAT PEMIMPIN SINGAPURA-MALAYSIA

Perjanjian dimeterai S'pura-M'sia lambang hubungan kukuh dua hala

Jan 18, 2018 | 05:30 AM

PEMETERAIAN perjanjian rasmi antara Singapura dengan Malaysia untuk membina sistem kereta api yang menghubungkan Johor dengan Singapura mencerminkan hubungan dua hala baik dan mendalam antara kededua negara.

Malah, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong berkata ada banyak lagi projek yang boleh diusahakan bersama oleh kededua negara.

"Kededua pihak telah bekerjasama baik untuk mengusahakan banyak projek bersama yang memanfaatkan rakyat kita," ujar Encik Lee, dalam ucapannya menggulung Rahat Pemimpin ke-8 Singapura-Malaysia kelmarin.

"Ada banyak lagi yang boleh kita usahakan bersama," jelas Encik Lee.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata beliau amat gembira dengan hubungan antara Malaysia dengan jirannya itu.

"Kita menunjukkan bahawa apabila negara bekerjasama dengan rapat, terutama antara dua jiran, anda boleh menjadikan hubungan ini amat produktif... menghasilkan kesudahan baik yang dilihat oleh kededua rakyat Singapura dan Malaysia," jelas Datuk Najib, merujuk kepada pelancaran Marina One dan Duo - dua projek pembangunan bersepadu yang diusahakan bersama oleh kededua negara.

Dibina di tanah yang diberikan Singapura kepada Malaysia di bawah Perkara Persetujuan (POA) tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) 2011, Marina One dan Duo mempunyai nilai pembangunan kasar sekitar $11 bilion.

Sehingga pelancarannya pada Isnin lalu, 70 peratus ruang pejabat di Marina One, yang terletak di kawasan kewangan Marina Bay telah disewa.

Datuk Najib berada di Singapura selama dua hari awal minggu ini untuk menghadiri Rahat Pemimpin, atas undangan Encik Lee.

Kemuncak rahat tahunan yang turut dihadiri menteri kabinet dari kededua negara ialah pemeteraian Perjanjian Dua Hala untuk membina Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijadual beroperasi Disember 2024.

Perjanjian rasmi itu ditandatangani Menteri Pengangkutan merangkap Penyelaras Prasarana, Encik Khaw Boon Wan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

RTS Link, yang akan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura, mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.

Ia bakal menggantikan khidmat kereta api ulang-alik Shuttle Tebrau antara Singapura dengan Johor yang kini dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Singapura dan Malaysia turut memeterai satu lagi perjanjian - memperbaharui perjanjian memorandum persefahaman (MOU) untuk bekerjasama dalam pendidikan, yang pertama kali ditandatangani sedekad lalu.

Dalam pada itu, kededua pemimpin turut mengumumkan usaha bersama untuk melaksanakan tinjauan hidrometrik di Sungai Johor, demi menambah tampungan air di sana dan di Kolam Air Linggiu, yang membekalkan air ke Singapura.

Menurut Encik Lee, dengan permintaan air dijangka meningkat di masa depan - termasuk dari Iskandar Malaysia - adalah penting melaksanakan usaha menambah hasil air dan kemampanan sumbernya.

Bersependapat, Datuk Najib berkata pengurusan bekalan air bukan hanya kritikal bagi Singapura, malah bagi Johor.

"Permintaan air di Johor akan melambung tinggi kerana Iskandar dan pembangunan pesat di Johor dan juga di Singapura.

"Kami yakin, dengan maklumat yang dikumpulkan menerusi tinjauan hidrometrik ini... kita boleh menambah bekalan air yang boleh digunakan kededua Johor dan Singapura," jelasnya.

Datuk Najib dan Encik Lee juga mengiktiraf komitmen menyelesaikan isu kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge mengikut undang-undang antarabangsa.

Tahun lalu, Malaysia membuat dua permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyemak dan menafsirkan semula penghakiman 2008 tentang kawasan yang dipertikaikan itu.

Menggulung ucapannya, Datuk Najib berkata Malaysia memberi sokongan penuh kepada Singapura sebagai pengerusi Asean.

Beliau juga melahirkan harapan untuk bekerjasama lebih rapat dengan Singapura bagi membangunkan ekonomi digital di kededua negara.

"Ia sesuatu yang boleh kita bekerjasama rapat... untuk menyokong perundangan, menyokong e-dagang (perdagangan elektronik), menyokong e-bayaran (bayaran elektronik) dan mungkin juga, menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur sebagai Kota Bijak".


SEKILAS PERJANJIAN YANG DIMETERAI SINGAPURA-MALAYSIA

- Singapura dan Malaysia merasmikan projek bersama Marina One dan Duo. Pembangunan itu hasil daripada perjanjian pertukaran tanah antara Singapura dan Malaysia pada 2010.

- Perjanjian Sistem Transit Laju (RTS) yang menghubungkan Stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, Johor Bahru. Apabila siap nanti pada 2024, RTS mampu membawa 10,000 penumpang sejam sehala atau 72,000 penumpang setiap hari.

- Laluan RTS akan menggantikan Laluan KTMB ke Woodlands apabila ia beroperasi pada 2024, tetapi buat sementara ini, kedua-dua negara akan meningkatkan kekerapan ulang alik perkhidmatan KTMB, sebagai satu cara untuk menangani kesesakan.

- Malaysia dan Singapura akan melaksanakan kajian model hidrometrik Sungai Johor secara bersama bagi meningkatkan kebingkasan stok bekalan air Empangan Linggiu.

Kajian hidrometrik yang lebih terperinci dijalankan untuk mendapatkan beberapa cadangan teknikal yang dapat membantu meningkatkan bekalan air untuk Singapura dan Johor.

- Kedua-dua negara juga menimbang mengkaji semula tol di Link Kedua untuk menarik lebih ramai orang menggunakannya sebagai laluan bagi mengurangkan kesesakan di Koswe.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian