Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSONALITI SENI

Perjuangan pelihara warisan Melayu tiada titik noktahnya...

Feb 28, 2022 | 05:30 AM



MENDENGAR kata-kata pemain genderang serba boleh, Encik Muhammad Riduan Zalani atau lebih dikenali sebagai Riduan Zalani, menggambarkan seribu harapan dalam membangunkan kesenian Melayu tradisional.



Memandang tinggi terhadap potensi pergendangan Melayu, pengasas bersama dan Pengarah Artistik Nadi Singapura yang berusia 37 tahun itu mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara warisan tradisional bangsa, sekali gus menyumbang kepada ekosistem seni persembahan Melayu di Singapura.



Walaupun pernah dikritik dengan pelbagai tanggapan negatif, namun beliau lebih mementingkan matlamat utama yang menjadi arus panduan 'kapal' seninya untuk berlayar jauh hingga ke pelusuk dunia.



Semasa ditemubual dalam program Sembang Seni anjuran Ombak Scripthouse Production baru-baru ini, Lulusan Diploma Muzik dari Kolej Seni Laselle itu berkata:



"Seni itu sangat luas. Proses kematangan ini banyak mengajar saya tentang pelbagai lensa pembaharuan. Kita tidak dapat mengubah pandangan orang terhadap apa yang dilakukan.



"Kritikan boleh diperluas ke sesuatu yang lebih besar. Saya juga melalui proses untuk mengenali sesuatu perkara dan membawanya ke tahap seterusnya.''



Encik Riduan yang berkongsi pandangan bersama pengacara majlis yang juga penulis lirik tersohor Singapura, Cik Hartinah Ahmad, menyambung:



"Perubahan yang berlaku telah diolah rapi berdasarkan keadaan dan permintaan semasa.



"Sebagai pemuzik, kita harus menerima hakikat bahawa kita bukanlah tinggal di sawah ladang, sebaliknya tinggal di kota yang penuh dengan bayangan moden.



"Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengenali suasana kampung yang penuh dengan ketenangan sungai, keindahan rimbunan daun, riuh-rendah bunyi haiwan dan sebagainya.



"Jadi, mereka seakan-akan kehilangan 'roh kampung' kerana jiwa kota yang menebal.''



Menurutnya, apa yang beliau cuba sampaikan kepada generasi hari ini sekurang-kurangnya mampu menjadi perlambangan tradisi yang hidup di minda anak muda.



Landasan seni ini, katanya, adalah ruang untuk beliau menggunakan pergendangan sebagai satu instrumen yang mendekatkan anak-anak kepada kesenian tradisional Melayu, yang juga menjadi warisan orang- orang terdahulu.



"Tidak dinafikan bahawa ideologi Barat yang sudah masuk ke pemikiran anak muda. Namun, kita perlu bangkit sehebat dengan ideologi mereka untuk mengalirkan pemikiran kemelayuan tersendiri.



"Bagaimana cara terbaik untuk kembali mendekatkan komposisi keMelayuan kepada anak-anak muda... itu yang harus difikirkan," terangnya.



Biarpun menjadi antara pemuzik disegani dan dihormati ramai di Singapura, bahkan peringkat antarabangsa, Encik Riduan tidak pernah lupa asal usulnya.



Malah, beliau mengajak anak didiknya dalam Nadi Singapura untuk berpegang kepada prinsip jati diri sebagai orang Melayu.



Tambah beliau:



"Sebetulnya, saya tiada formula untuk memupuk semangat kepada generasi di dalam Nadi Singapura yang mempunyai hampir 80 orang ahli. Saya hanya bercakap benar, jujur dan berbuat baik kepada orang sekeliling.



"Itulah entiti utama yang diamalkan sebagai seorang ketua. Penggunaan bahasa, kiasan dan falsafah Melayu sangat diutamakan. Hal ini kerana saya ingin masyarakat tahu tentang kekayaan bangsa Melayu yang penuh dengan kemurnian adat, kehalusan budi dan kehebatan budaya.



"Masyarakat mungkin tidak tahu perbezaan suasana pada zaman 1980-an dengan suasana hari ini. Maka, ia menjadi tanggungjawab untuk kita memperkenalkan kekayaan seni orang Melayu dahulu kepada masyarakat hari ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Tidak mungkin kita mahu nama 'Melayu' hanya sekadar tercatat dalam dokumen pengenalan sahaja.



"Di sini juga, saya bukan sekadar mengajar muzik kepada generasi muda, tetapi saya ajar erti kehidupan... pentingnya menjadi seorang manusia yang baik.



"Kalau betul segelintir orang memberi kritikan yang sinis terhadap kita, sebenarnya dia juga harus belajar bagaimana cara menjadi orang yang baik.



"Setiap guru saya dari dalam mahupun luar negara mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi kami menuju ke arah kitaran yang baik.



"Tambahan pula, serumpun orang Melayu itu diibaratkan seperti pelangi. Walaupun warna berbeza, tetapi ia tetap pelangi.



"Maksudnya, tidak kiralah di mana kamu bermain dengan muzik tradisional, jangan pernah memperlekehkan fungsi orang lain kerana masing-masing mempunyai fungsi tersendiri.



"Apa yang penting, kita bermain muzik dengan tujuan menyampaikan mesej kepada masyarakat."



SEKILAS PENCAPAIAN RIDUAN ZALANI



■ Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong (2006)



■ Anugerah Belia Singapura (2013) dan Anugerah Belia Asean (2013)



■ Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) (2015)



■ Pernah menjelajah lebih daripada 30 negara dan 60 pentas dunia serta membawa nama Singapura gah ke serata festival antarabangsa di serata Eropah, Asia, Amerika dan Oceania, yang memukau sehingga lebih 100,000 penonton



■ Pengarah Artistik bagi World Drum Night 2015, 2016 dan 2018, yang menampilkan lebih 10 'ensemble' gendang dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Singapura



■ Membentuk kumpulan OrkeStar Trio bersama Alhafiz Jamat dan Ismahairie Putra Ishak




"Tidak dinafikan bahawa ideologi Barat yang sudah masuk ke pemikiran anak muda. Namun, kita perlu bangkit sehebat dengan ideologi mereka untuk mengalirkan pemikiran kemelayuan tersendiri. Bagaimana cara terbaik untuk kembali mendekatkan komposisi keMelayuan kepada anak-anak muda... itu yang harus difikirkan."
- Encik Muhammad Riduan Zalani, pengasas bersama dan Pengarah Artistik Nadi SG.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >