Perlindungan insuran kemalangan lebih baik bagi amah mulai 1 Oktober

MAJIKAN perlu menyediakan perlindungan insurans yang lebih baik bagi pembantu rumah asing (FDW) mereka di bawah undang-undang baru yang akan bermula 1 Oktober ini.

Mereka perlu membeli polisi insurans kemalangan peribadi dengan perlindungan sekurang-kurangnya $60,000 – naik daripada $40,000 kini.

Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Sam Tan, mengumumkan demikian semalam berserta peningkatan lain kepada keperluan insurans kemalangan peribadi untuk pembantu rumah, semasa satu perayaan Hari Pekerja yang dianjurkan untuk mereka oleh gerakan buruh.

Disebabkan oleh kenaikan dalam perlindungan sebanyak $20,000, premium insurans tahunan dijangka naik antara $7 dengan $15.

Di bawah undang-undang baru itu, perlindungan merentas syarikat insurans (insurers) juga akan diseragamkan bagi memastikan semua pembantu rumah menerima perlindungan yang sama sepanjang bekerja di Singapura.