DENGAN tugas mereka yang berisiko dan lebih terdedah kepada bahaya kemalangan, pekerja platform menanti-nantikan perlindungan sosial lebih baik yang bakal dilaksanakan buat mereka, lebih-lebih lagi berkenaan perlindungan insurans.
Pekerja penghantaran yang dihubungi Berita Harian (BH) meluahkan bahawa pampasan insurans yang lebih baik memberi mereka jaminan dalam membantu menangani keperluan kehidupan sekiranya mereka cedera.
Cik Nur Hidayah Adenan, 35 tahun, berkata ia akan menjadi berita baik buat golongan penghantar sepertinya sekiranya terdapat insurans yang memberi perlindungan lebih luas.
Berkongsi pengalaman, pekerja GrabFood dan foodpanda itu berkata setelah terlibat dalam kemalangan sebelum ini ketika menghantar makanan, wang insurans yang diberi kepadanya adalah kecil dan tidak dapat menanggung perbelanjaan perubatan keseluruhannya.
Bagi Encik Muhammad Elfyan Soh, 34 tahun, pula beliau terpaksa membelanjakan wang tambahan bagi insurans lain dan tidak bergantung kepada insurans yang disediakan GrabFood dan foodpanda.
"Saya meluangkan masa yang lama di jalan raya, kadangkala lebih 12 jam. Saya pernah nyaris-nyaris terlibat dalam kemalangan, justeru saya perlukan perlindungan yang cukup baik buat diri saya," ujarnya.
Dalam usaha memperbaiki keadaan lebih 73,000 pekerja platform di Singapura, syarikat platform antara lain harus menyediakan skop dan tahap pampasan kecederaan kerja yang sama seperti hak pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).
Tuntuan selalunya merangkumi pendapatan yang hilang sewaktu tempoh cuti sakit, perbelanjaan perubatan dan pampasan bagi kematian atau kehilangan upaya selamanya.
Selain itu, saranan oleh Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform itu juga memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), yang mandatori bagi pekerja bawah usia 30 tahun, untuk memenuhi keperluan perumahan dan persaraan.
Bagi penghantar makanan Deliveroo, Encik Muhammad Haziq Rahman, 25 tahun, beliau akur bahawa CPF adalah baik bagi keperluan persaraan, perumahan dan penjagaan kesihatan.
Namun beliau berharap pemerintah dapat menyemak pendapatan yang diraih pekerja sepertinya.
Menurutnya, gaji yang diraih sudah pun rendah dan beliau prihatin sekiranya ia semakin berkurangan disebabkan sumbangan CPF.
Pemain industri platform di sini telah menyeru pemerintah agar menyediakan sokongan kepada pekerja dan memastikan pelaksanaan saranan tidak akan menjejas pendapatan mereka dan mengambil pertimbangan kesan kos ke atas syarikat dan juga pengguna.
Antaranya, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA) dalam satu kenyataan bersama sebelum ini berkata mereka menyokong saranan yang dikemukakan, namun menyeru pemerintah supaya memberikan sokongan mencukupi kepada pekerja apabila mereka menyumbang kepada CPF.
Mereka menambah bahawa mereka bersedia bekerja dengan pemerintah dalam hal itu.
Menyentuh tentang sama ada terdapat keprihatinan tentang syarikat platform yang cuba melakukan potongan kos penghantaran pekerja, misalnya, dek perlu membuat sumbangan CPF, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, sebelum ini berkata di sinilah saranan bagi sebuah rangka kerja perwakilan baru dibentuk untuk pekerja platform akan memberi manfaat dan ruang kepada mereka mengutarakan keprihatinan.
"Tugas ini masih berterusan dan semoga tahun depan, tugas ini dapat diselesaikan. Ini adalah semak dan imbangan terhadap hubungan itu agar akan terdapat hubungan lebih seimbang antara pekerja platform dengan syarikat platform, dan pekerja sendiri mempunyai suara untuk meluahkan keprihatinan jika mereka rasa sesetengah perkara ini telah berlaku," kata beliau.
Pemerintah telah menerima 12 saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform dan bercadang melaksanakannya mulai lewat 2024 seawal-awalnya, dengan pindaan kepada undang-undang akan perlu dilakukan.
SARANAN JAWATANKUASA PENASIHAT BAGI PEKERJA PLATFORM
LIPUTAN SARANAN
- Pekerja platform tidak harus diklasifikasikan sebagai pekerja
- Syarikat platform yang punyai tahap kawalan pengurusan besar ke atas pekerja platform perlu sediakan perlindungan asas tertentu
PAMPASAN KECEDERAAN KERJA
- Syarikat platform perlu sediakan skop dan tahap pampasan kecederaan kerja yang sama seperti hak pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica)
- Syarikat platform perlu bertanggungjawab bagi pampasan sekiranya pekerja platform sedang bekerja untuk platform mereka ketika kecederaan berlaku, berdasarkan pendapatan keseluruhan pekerja daripada sektor platform di mana kecederaan itu dialami
- Tentukan takrif sektor khusus apabila pekerja platform dianggap "sedang bekerja"
- Kekalkan kekuatan rejim Wica semasa, termasuk penyediaan insurans pampasan kecederaan kerja melalui pasaran insurans terbuka dan kompetitif sedia ada.
PERUMAHAN DAN PERSARAAN
- Selaraskan kadar caruman CPF syarikat dan pekerja platform dengan majikan dan pekerja bagi pekerja platform; diperlukan bagi pekerja platform bawah 30 tahun dalam tahun pertama pelaksanaan
- Bolehkan kohort pekerja platform berusia 30 tahun dan ke atas dalam tahun pertama pelaksanaan sertai rejim caruman CPF penuh
- Syarikat platform perlu kutip caruman CPF pekerja platform untuk bantu mereka buat sumbangan tepat pada masanya
- Peningkatan caruman CPF dilakukan secara berfasa dalam tempoh lima tahun, melainkan gangguan ekonomi besar memerlukan garis masa lebih panjang. Untuk kurangkan kesan, pemerintah mungkin ingin pertimbangkan usaha sediakan sokongan untuk pekerja platform dan bentuknya.
PERWAKILAN
- Beri pekerja platform hak untuk dapatkan perwakilan rasmi melalui rangka kerja perwakilan baru direka untuk pekerja platform
- Bentuk Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Perwakilan untuk Pekerja Platform untuk wujudkan bersama rangka kerja perwakilan baru.