Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAIK, BURUK... ALAT MOBILITI PERIBADI

Perlu ada sikap saling menghormati dan tolak ansur sesama pengguna

Aug 27, 2019 | 05:30 AM



Isu pengguna Alat Mobiliti Peribadi (PMD) kian hangat dibincangkan menyusuli jumlah kemalangan dan kebakaran melibatkan alat itu yang meningkat secara drastik sejak beberapa tahun lalu. Namun hakikatnya PMD ialah antara huraian kepada visi Singapura mengurangkan pergantungan kepada kereta selain menjadi pemangkin kepada khidmat penghantaran makanan yang semakin popular dalam kalangan penduduk setempat. Jadi apakah huraian isu 'pengguna PMD lawan bukan-pengguna PMD' ini? BERITA HARIAN mengadakan sesi perbincangan bersama sekumpulan pekerja penghantar makanan yang juga pengguna PMD bagi mendapatkan pencerahan. Laporan NAZRI HADI SAPARIN (mhadi@sph.com.sg) dan SITI ZULAIQAH ABDUL RAHIM (zulabr@sph.com.sg).



SETIAP kali Encik Hazri Hasni, yang menaiki alat mobiliti peribadi (PMD), dan pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain 'bertembung', beliau peka untuk sentiasa mengucapkan 'mohon maaf', 'tumpang lalu' dan 'terima kasih' - bukan sekali, malah berkali-kali.



"Saya nak pastikan pengguna lain tahu saya pengguna yang bertanggungjawab dan saya minta maaf kalau kehadiran saya menyusahkan mereka," ujar beliau, separuh mengeluh.



Encik Hazri, seorang pekerja penghantar makanan bersama Grab Food, tidak keseorangan.



Rakan-rakan 'seperjuangan' yang bekerja sebagai penghantar makanan dan menggunakan PMD untuk kerja mereka turut mengamalkan perkara yang sama.



"Kami rasa perlu buat macam ini sebab sekarang banyak negativiti antara pengguna jalan raya dan pengguna PMD. Macam ada kebencian," keluh Cik Erni Suriyati Dewi Ahmad Sukri, yang bekerja sebagai penghantar makanan bersama syarikat Food Panda.



Encik Hazri dan Cik Erni adalah antara sekumpulan pekerja penghantar makanan yang menggunakan PMD yang menyertai sesi perbincangan anjuran Berita Harian (BH) baru-baru ini.



Sesi yang bertujuan mendapatkan maklum balas itu dihadiri lima pengguna PMD - semuanya pekerja penghantar makanan yang memerlukan alat tersebut untuk mencari rezeki.



Sebahagian mereka, termasuk Cik Erni, 31 tahun, dan Encik Hazri, 28 tahun, memilih menjadi pekerja penghantar makanan setelah masing-masing diberhentikan kerja - Encik Hazri pada sekitar 2017 dan Cik Ernie pula kira-kira tiga bulan lalu.



Dalam sesi hampir dua jam itu, para pengguna PMD itu berkata publisiti negatif mengenai PMD dan pengguna PMD telah mengakibatkan orang ramai membuat rumusan tertentu mengenai semua pengguna alat tersebut.



Sebilangan pejalan kaki telah menulis surat kepada ruangan forum akhbar-akhbar setempat melahirkan keprihatinan mereka manakala ramai lagi membincangkan isu tersebut di media sosial.



Ruang Internet kini dipenuhi kisah-kisah 'pertemuan buruk' dengan pengguna PMD.



Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), hampir 20 peratus kesalahan PMD antara Mei 2018 dengan April 2019 melibatkan pengguna yang laju, menggunakan alat tersebut secara tidak bertanggungjawab atau menggunakannya di jalan raya.



PMD tidak dibenarkan di jalan raya dan hanya boleh digunakan di laluan pejalan kaki serta laluan dikongsi seperti laluan basikal dan rangkaian penghubung taman.



Di Parlimen baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata sepanjang 2017 dan 2018, terdapat 228 kemalangan PMD di laluan umum dengan 196 berakhir dengan kecederaan serius.



Malah, satu kemalangan telah melibatkan kematian.



Dalam akur bahawa perangkaan tersebut membimbangkan, seorang lagi peserta sesi perbincangan BH itu, Encik Farilluddin Ahmad, berkata lebih banyak kajian perlu dilakukan.



Menurut beliau, yang telah menggunakan PMD sebagai pekerja penghantar makanan Deliveroo sejak 2017, sebahagian besar pengguna PMD yang tidak mematuhi peraturan ialah pengguna riadah, bukan pengguna seperti mereka yang perlu mencari rezeki menggunakan alat tersebut.



"Selalu saya nampak (pengguna riadah yang langgar peraturan), malah kadangkala saya yang ikut peraturan, bawa pada had kelajuan, kemudian sebelah saya 'zooom, zoom, zoom' budak-budak muda yang naik PMD ni bawak laju dan potong saya.



"Yalah, geram juga saya kerana kelakuan mereka ini, yang minoriti... menjejas kami yang majoriti, pengguna bertanggungjawab," ujarnya.



Di bawah Akta Mobiliti Aktif, pengguna PMD dikenakan had kelajuan 25 kilometer sejam di laluan dikongsi seperti laluan berbasikal dan rangkaian penghubung taman manakala had kelajuan semasa di laluan pejalan kaki pula ialah 10 kilometer sejam.



Encik Farilluddin menjelaskan beberapa peraturan baru PMD juga menyukarkan pekerjaan mereka, termasuk had kelajuan 10 kilometer sejam di laluan pejalan kaki.



"Macam kita naik basikal, kalau terlalu perlahan kita tidak stabil. Sama juga dengan PMD. Pada kelajuan 10 kilomenter (sejam), alat saya sering bergegar lagi-lagi saya bawak beg yang berat," ujarnya,



Satu lagi peraturan baru ialah mewajibkan semua pengguna PMD mematuhi piawaian pensijilan UL2272 - bermakna alat mereka kini tidak lagi boleh berkuasa tinggi.



LTA berkata piawaian itu diperkenal ekoran jumlah kebakaran PMD yang meningkat dengan lebih 90 insiden kebakaran melibatkan PMD sejak 2016.



"LTA telah mengkaji piawaian keselamatan sedia ada dan memutuskan piawaian UL2272 adalah yang paling sesuai bagi PMD bermotor yang sering digunakan di Singapura seperti skuter elektrik (e-skuter), hoverboards dan unicycle eletrik," kata penguasa itu.



Seorang pagi peserta sesi perbincangan BH itu, Encik Yousri Dahlan, mengalu-alukan piawaian tersebut bagi pengguna riadah namun menarik perhatian ia menimbulkan masalah bagi mereka yang menggunakan PMD untuk bekerja.



"Bergantung kepada berat badan kita, PMD dengan piawaian itu kita boleh bergerak antara empat dengan lima jam, sedangkan kami bekerja lebih daripada itu, kadangkala sehingga 12 jam.



"Huraiannya ialah sama ada kami balik rumah setiap empat jam untuk cas PMD kami, yang kemudian akan ambil masa, atau kami beli dua atau tiga PMD," katanya.



Justeru, Encik Yousri, berkata salah satu saranan yang telah difikirkan 'masyarakat' PMD yang menggunakan alat itu untuk bekerja ialah supaya pemerintah mengadakan dua kategori PMD - satu bagi pengguna riadah dan satu lagi bagi pengguna 'komersial' seperti pekerja penghantar makanan.



Menurut beliau, berdasaran keperluan mereka, pengguna komersial boleh dibenarkan menggunakan alat PMD dengan kuasa lebih tinggi berbanding pengguna riadah, selain membolehkan mereka bergerak di jalan raya - dengan ketetapan-ketetapan tertentu - bagi mengurangkan masalah dengan pejalan kaki.



"Jadi peraturan dan ketetapan yang dikenakan juga berbeza bagi dua kategori pengguna ini, berdasarkan keperluan.



"Kami faham jika kami perlu dapatkan lesen yang berbeza, ikuti kursus dan sebagainya. Malah, kami rasa langkah seperti itu baik.



"Dengan ini pihak berkuasa juga ada database pengguna komersial dan lebih mudah pantau kami," katanya.



Namun, buat masa ini, seorang lagi peserta sesi perbincangan, Encik Mohd Nizam Ahmad Shafiq, berkata perlu ada sikap hormat-menghormati dan tolak ansur sesama pengguna.



Menurut beliau, pengguna yang tidak bertanggungjawab dan tidak saling hormat-menghormati akan menyebabkan kemalangan - tidak kiralah sama ada mereka pejalan kaki, pengguna PMD atau pemandu kereta.



"Saya pernah beberapa kali berdepan dengan keadaan di mana pengguna lain sengaja menyusahkan kerja saya, sengaja adang saya, bila saya lalu mereka cakap 'awak tidak seharusnya berada di sini' dan macam-macam lagi.



"Tapi pada masa yang sama, saya juga bertemu ramai pejalan kaki yang menghormati kerja kami dan boleh bertolak ansur," kata Encik Mohd Nizam.



Merumuskan perbincangan, Encik Hazri berkata para pengguna PMD gembira pemerintah aktif mendekati mereka untuk mendapatkan maklum balas, pandangan dan memberi maklumat terkini mengenai apa yang sedang dilakukan.



Antara lain, mereka telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Panel Penasihat Mobiliti Aktif (Amap) yang dipengerusikan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



"Kami faham pihak berkuasa perlu bertindak dari sudut keselamatan, namun kami juga harap menerusi sesi perbincangan yang kami adakan dengan mereka, mereka dapat juga melihat isu ini dari perspektif kami, yang sebahagian besarnya adalah pengguna bertanggungjawab kerana ini melibatkan periuk nasi kami," ujar beliau.




" Saya pernah beberapa kali berdepan dengan keadaan di mana pengguna lain sengaja menyusahkan kerja saya, sengaja adang saya, bila saya lalu mereka cakap 'awak tidak seharusnya berada di sini' dan macam-macam lagi. Tapi pada masa yang sama, saya juga bertemu ramai pejalan kaki yang menghormati kerja kami dan boleh bertolak ansur.
- Encik Mohd Nizam Ahmad Shafiq.



Selalu saya nampak (pengguna riadah yang langgar peraturan), malah kadangkala saya yang ikut peraturan, bawa pada had kelajuan, kemudian sebelah saya 'zooom, zoom, zoom' budak-budak muda yang naik PMD ni bawak laju dan potong saya. Yalah, geram juga saya kerana kelakuan mereka ini, yang minoriti... menjejas kami yang majoriti, pengguna bertanggungjawab.
- Encik Farilluddin Ahmad.



Kami faham pihak berkuasa perlu bertindak dari sudut keselamatan, namun kami juga harap menerusi sesi perbincangan yang kami adakan dengan mereka, mereka dapat juga melihat isu ini dari perspektif kami, yang sebahagian besarnya adalah pengguna bertanggungjawab kerana ini melibatkan periuk nasi kami.
- Encik Hazri Hasni.



Saya rasa macam seakan wujud satu kebencian terhadap pengguna PMD oleh orang awam. Apabila saya lalu pejalan kaki, walaupun kelajuan saya sangat perlahan, mereka akan cuba elak atau tidak mendekati saya.
- Cik Erni Suriyati Dewi Ahmad Sukri.



Bergantung kepada berat badan kita, PMD dengan piawaian itu kita boleh bergerak antara empat dengan lima jam, sedangkan kami bekerja lebih daripada itu, kadangkala sehingga 12 jam. Huraiannya ialah sama ada kami balik rumah setiap empat jam untuk cas PMD kami, yang kemudian akan ambil masa, atau kami beli dua atau tiga PMD.
- Encik Yousri Dahlan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >