Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANALISIS BERITA SITUASI PEKERJAAN: MEMENUHI KEPERLUAN PEKERJA 'GIG'

Perlu fikir semula undang-undang pekerjaan untuk beri perlindungan kepada pekerja 'gig'

Mar 15, 2022 | 05:30 AM



DAPATAN satu kajian dijalankan Institut Kajian Dasar (IPS) mengenai pekerja platform seperti pekerja penghantaran makanan dan pemandu kereta sewa privet, memberikan gambaran yang malap.



Kajian, yang melibatkan hampir 1,000 pekerja platform, merumuskan para pekerja itu berisiko terperangkap dalam kemiskinan dan ketidaktentuan sekiranya tidak ada langkah konkrit diambil untuk memelihara kebajikan mereka.



Menurut kajian IPS itu, pekerja platform kekurangan simpanan dan mengalami tekanan dari segi kewangan.



Malah, 84 peratus daripada mereka risau tentang kecukupan persaraan manakala 88 peratus bimbang tentang sama ada mereka mempunyai simpanan mencukupi ataupun tidak bagi kecemasan perubatan.



Cabarannya ialah bagaimana menangani keprihatinan mereka meskipun kita sedar bahawa ekonomi 'gig' ini akan terus wujud di Singapura.



Para pekerja ini menyediakan kemudahan kepada penduduk Singapura yang sememangnya telah menjadikan khidmat disediakan mereka sebagai satu gaya hidup yang sukar dihapuskan.



Ia memberikan kelonggaran bagi golongan pekerja ini untuk mendapat pendapatan bila-bila masa mereka inginkan. Malah, ada yang menyatakan jika mereka bekerja lembur dengan waktu yang panjang, mereka boleh mendapat pendapatan yang tinggi.



Untuk mendapat pendapatan yang baik, dapatan IPS menukil seorang penunggang penghantaran makanan memperoleh lebih daripada $5,000 sebulan tetapi terpaksa berbasikal selama lebih daripada 12 jam sehari hampir setiap hari untuk mencapai angka itu.



Para pekerja 'gig' ini juga memberi sokongan kepada sektor makanan dan minuman (F&B) dan sektor pengangkutan.



Sejak beberapa tahun ini, ramai yang menyuarakan kepentingan membantu golongan ini.



Malah, dalam perbahasan Belanjawan Negara yang baru berakhir minggu lepas, beberapa Anggota Parlimen (AP) telah menyuarakan keprihatinan mereka terhadap golongan ini yang membentuk 3 peratus dari tenaga kerja penduduk Singapura atau 79,000 orang.



AP Cik Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol) berkata pekerja ekonomi 'gig' ini perlukan 'perlindungan buruh asas' seperti insurans dan sumbangan kepada simpanan persaraan dari rakan kongsi platform.



Cik Yeo, yang juga penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Privet Kebangsaan (NPHVA) dan Persatuan Pejuang Penghantaran Kebangsaan (NDCA) di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), sebelum ini pernah memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pihaknya sedang mendorong agar undang-undang buruh di bawah Akta Kesatuan Dagangan atau Trade Unions Act, disemak.



Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, meminta agar Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyemak Akta Kesatuan Dagangan bagi membolehkan pekerja bebas itu menjadi anggota kesatuan sekerja.



Dalam perbahasan Belanjawan bagi Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia) Dr Koh Poh Koon memberikan jaminan bahawa Jawatankuasa Penasihat yang dibentuk bagi mengukuhkan perlindungan bagi para pekerja ini sedang menimbangkan untuk mengukuhkan perlindungan kepada para pekerja ini agar syarikat yang menyediakan pekerjaan gig ini, menyumbang kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.



"Ia boleh dilakukan secara bertahap bagi memberikan masa agar sistem eko platform dapat menyesuaikan diri memandangkan syarikat-syarikat ini menyuarakan keprihatinan langkah itu akan meningkatkan kos perniagaan secara mendadak," kata Dr Koh, yang merupakan penasihat kepada jawatankuasa itu.



Jawatankuasa yang dibentuk pada September tahun lalu itu dan merangkumi wakil daripada rakan kongsi tiga pihak telah mengenal pasti tiga bahagian utama bagi memberi pekerja platform masa depan yang lebih terjamin.



Ini termasuk memperbaiki kecukupan persaraan dan perumahan, mengukuhkan perlindungan kewangan sekiranya berlaku kecederaan semasa bekerja dan mempertingkat perwakilan.



Mengenai kecukupan persaraan dan perumahan, Encik Koh berkata ramai pekerja platform telah menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan mereka untuk memenuhi kedua-dua keperluan semasa dan masa hadapan.



Perlindungan kewangan turut menjadi keprihatinan pekerja platform sekiranya berlaku kecederaan semasa bekerja, menurut Encik Koh sambil menambah pekerja platform melahirkan kebimbangan bahawa mata pencarian mereka akan terjejas dek kecederaan.



Ini ditambah pula dengan keprihatinan bahawa perlindungan insurans yang diberikan tidak konsisten merentas syarikat platform.



Menyentuh tentang hal ini, Encik Koh berkata jawatankuasa penasihat sedar bahawa sebarang penyelesaian perlu mengambil kira sifat pekerjaan platform.



Antara lain, ia termasuk fleksibiliti dalam masa bekerja dan keupayaan bekerja untuk lebih daripada satu syarikat platform pada masa yang sama.



Hakikatnya, perubahan digital yang pesat memerlukan pemikiran semula bagaimana undang-undang pekerjaan boleh meliputi aturan pekerjaan yang dianggap bukan tradisional.



Jika pekerja 'gig' ini boleh menjadi sebahagian daripada undang-undang pekerjaan ini, mereka akan mempunyai perlindungan seperti CPF, perwakilan kesatuan sekerja dan waktu rehat yang dikuatkuasakan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >