Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Perlu kumpul $3.1j dalam 8 bulan bagi rawat anak

Setempat
27
0

Perlu kumpul $3.1j dalam 8 bulan bagi rawat anak

Bayi Rayyan Qush, penderita sakit otot, perlu rawatan preskripsi dari AS sebelum berusia dua tahun
Nov 15, 2020 | 05:30 AM

SEJAK berita sedih mengenai keadaan anak bongsunya Rayyan Qush diketahui pada 6 November lalu, hati kecil Cik Nurdiana Rohop merintih enggan kehilangan seorang lagi cahaya matanya.

Rayyan, yang berusia 13 bulan dan anak keenam, dikesan menghidap atrofi otot spina yang membawa kepada kelemahan otot hingga menjejas pergerakannya dari masa ke masa.

Penyakit itu berpunca daripada pupusnya sel saraf yang dipanggil neuron motor yang mengawal pergerakan otot.

Tanpa rawatan, otot Rayan akan menjadi semakin lemah sehinggalah ia mati.

Selain tidak dapat berjalan atau berdiri, dia juga akan menghadapi kesukaran bernafas, malah untuk makan sekalipun, buat seumur hidup.

Bagi mengubati keadaan Rayyan, spesialis di Hospital Universiti Nasional (NUH) menyarankan preskripsi rawatan terapi Zolgensma dari Amerika Syarikat, yang menelan belanja $3.1 juta.

Suntikan pada urat diberi bagi kanak-kanak dengan atrofi otot spina dengan rawatan perlu dijalankan sebelum pesakit mencecah usia dua tahun.

Pada 2014, anak ketiga, satu-satunya anak perempuan, Cik Nurdiana, Daania Quaylah, empat bulan, meninggal dunia secara mendadak dalam tidur.

Meskipun tidak menampakkan tanda penyakit seperti batuk berlarutan dan masalah pernafasan, dalam autopsi, bayi itu dikesan menghidap bronkitis yang membuat salur udaranya bengkak.

Menceritakan keadaannya kepada Berita Minggu semalam, Cik Nurdiana, 32 tahun, seorang suri rumah, jelas begitu tertekan.

"Hati saya hancur bagai kaca terhempas ke lantai buat kali kedua. Fikiran buntu sejurus mendapat tahu keadaan Rayyan.

"Dia anak yang ceria, otaknya cerdas, dan merupakan penawar hidup saya dan abang-abangnya. Kalau tidak dirawat, dia tidak boleh berdiri, berjalan, bernafas atau makan seperti anak-anak lain.

"Bayangkan tak sampai 10 tahun kakaknya Daania pergi secara mendadak. Pagi-pagi, saya menggendungnya setelah lihat dia tidak bergerak dan bangun menggeliat seperti selalu.

"Pipi sudah kelihatan biru. Dia pergi belum puas saya membelai dan mengasuhnya hingga dewasa.

"Sekarang, ujian saya ialah mengumpulkan dana sebanyak itu dalam masa lapan bulan sebelum Rayyan capai usia dua tahun.

"Saya benar-benar mengejar masa dan perlu jaga kesejahteraan minda dan emosi saya agar dapat berfungsi sebagai ibu buat anak-anak saya yang lain juga," kata beliau.

Walau dalam kesulitan, beliau bersyukur mendapat sokongan daripada sahabat dan orang yang tidak dikenali. Mereka membangun pelbagai laman mengumpul dana buat Rayyan menerusi wadah seperti GIVE.asia dan Wish For Rayyan, yang dipautkan pada laman global GoGetFunding.

Hingga akhbar ini diterbitkan semalam, $1,262 dikumpulkan menerusi GIVE.asia dan $80,000 melalui Wish For Rayyan.

Cik Nurdiana juga terharu diundang bagi sesi podcast Berita Harian, #NoTapis yang bakal ke udara di wadah penstriman Spotify selain beberapa wadah dalam talian dan media sosial yang lain, termasuk personaliti media sosial, DJ Shasha Mcqueen dan Muhammad Hafidz.

"Saya terharu dalam kepayahan yang saya hadapi, Allah datangkan orang-orang yang sebahagiannya tidak saya kenali, termasuk dari bangsa asing yang sudi membantu meringankan beban kewangan saya," ujarnya lagi.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3