Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Permata' seni batik S'pura Sarkasi Said meninggal dunia

Oct 14, 2021 | 11:44 PM



TOKOH batik tersohor Singapura dan penerima Pingat Budaya Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Encik Sarkasi Said, yang dikenali dengan panggilan 'Baron of Batik' meninggal dunia pada Khamis malam (14 Oktober).



Allahyarham yang dikenali sebagai insan seni yang tidak lelah berjuang meski menghidap penyakit ginjal yang dideritai sejak dua tahun lalu dilaporkan tenat menyusuli kerosakan kedua-dua ginjalnya, baru-baru ini.



Pemergiannya dimaklumkan anak perempuannya, Cik Imelda Sarkasi, secara ringkas ketika dihubungi Berita Harian. Keluarganya sedang menguruskan pengendalian jenazahnya buat masa ini serta memaklumkan berita sedih ini kepada keluarga dan sahabat handainya.



Pada Selasa lalu, akhbar ini melaporkan bahawa Encik Sarkasi, 81 tahun, bapa empat anak, dirawat di hospital selama lima hari sebelum dibawa pulang ke rumah kerana keadaannya yang kian tenat dengan pihak doktor tidak dapat mengusahakan rawatan lanjutan. 



Dalam tempoh pandemik ini, terdapat beberapa pameran yang dijayakan Allahyarham.



Antaranya termasuk pameran  ‘Reflection’ kendalian Maya Gallery antara Mei hingga Jun lalu.



Pemilik bersama Maya Gallery, Cik Masturah Sha'ari, yang dihubungi Berita Harian, berkata:



"Pak Sarkasi banyak berkongsi pengalaman dan perjalanan seninya. Beliau sentiasa bersedia berkongsi kisah-kisahnya memperjuangkan seni batik dan pengalamannya memartabatkan seni dengan identiti kesingapuraan dan Nusantara.



"Orangnya sangat merendah hati walau beliau kaya pengalaman dan pencapaian."



Aktivis seni, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, pula menambah: 



"Dalam banyak kesempatan saya berpeluang mendengar kisahnya adalah ketika di Kampung Melayu Geylang Serai dahulu dan Taman Warisan Melayu serta di rumahnya.



"Jerih payah perjuangannya penuh kegetiran...sesuatu yang saya rasa tiada individu lain dapat tangani sepertinya yang bersemangat waja. Perjuangannya nampak mencabar dan sukar tetapi Pak Sarkasi tak anggap ianya menyusahkan.



"Kalau ada kemahuan, pasti ada jalan mengatasinya. Itulah prinsip peribadinya. Daya bingkas dan daya tahannya, nyala rasanya pada seni dan kemahuannya yang kuat untuk terus berkarya wajar diteladani."



Beberapa bulan sebelum diiktiraf NAC sebagai pemenang anugerah seni terbilang Pingat Budaya, Encik Sarkasi dipilih sebagai antara seniman generasi kedua Singapura yang dipaparkan dalam satu siri dokumentari.



Dokumentari Celebrating SG Artists yang disiarkan dalam talian menerusi laman Instagram dan Facebook syarikat penerbitan Filmat36 disiarkan dalam tujuh episod.



Ini merupakan projek yang dikomisyen NAC kepada Filmat36 sempena Minggu Seni Singapura 2021.



Dalam satu wawancara penulis bersama Encik Sarkasi sempena tayangan dokumentari tersebut, beliau berkata:



“Saya menghargai setiap pengiktirafan yang diberi NAC dalam mengetengahkan sejarah perjalanan seni saya serta usaha saya memasyarakatkan batik buat tatapan dan pemahaman umum.



“Selepas mendapat Pingat Budaya ini, amanahnya terasa lebih berat. Saya akan usahakan sebaiknya untuk membukukan ilmu yang saya miliki mengenai batik agar ramai dapat menghadamnya.



“Mengenai dokumentari ini pula, ia satu rakaman dan singkapan nostalgia mengenai apa yang saya usahakan selama ini. Moga ia dapat mencetus inspirasi buat penggiat seni muda, memberi iktibar tentang pentingnya dedikasi dan usaha untuk terus bakar nyala rasa dan kembangkan seni tukikan yang diminati.”



Moga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati. Salam takziah buat keluarganya.



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >