Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Permintaan di kalangan masyarakat Melayu setempat kekal tinggi

Oct 09, 2018 | 05:30 AM



PERMINTAAN bagi makanan tambahan kekal tinggi di kalangan masyarakat Melayu di Singapura, menurut beberapa pembekal makanan tambahan negara ini.



Walaupun tiada perangkaan rasmi berkaitan jumlah yang diraih hasil penjualan makanan tambahan, namun, pengarah pemasaran Byherbs Pte Ltd, Encik Mohammed Saleh, menganggarkan jumlah secara purata boleh mencecah hampir $1 juta setiap bulan hanya dalam pasaran Melayu sahaja.



Ketua pegawai pemasaran Health Nutrition & Supplements Singapore, Encik Sufian Mohd Ali juga sependapat bahawa permintaan makanan tambahan agak tinggi di kalangan masyarakat Melayu menurut pemantauan beliau.



Encik Sufian berkata kebanyakan pelanggannya mahukan bentuk fizikal yang baik dan pemakanan yang sihat.



"Mereka lebih prihatin dalam pengambilan makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak) dan bersedia melabur demi kesihatan dan tubuh badan," ujar Encik Sufian.



Encik Mohammed menambah bahawa makanan tambahan dilihat sebagai cara melengkapkan keperluan pemakanan.



Bagi pelanggan makanan tambahan, Encik Mohsin Mohamed Said, 30 tahun, beliau makan tiga jenis makanan tambahan setiap hari untuk melengkapkan keperluan vitamin dan mineral beliau disebabkan jadualnya yang padat.



"Memandangkan jadual sibuk yang kita hadapi setiap hari, jadual makan dan senaman kita tidak menentu.



"Oleh itu, makanan tambahan membantu dalam mengawal diet kita," ujar penolong pengurus itu.



Ada pula mengambil makanan tambahan atas gesaan doktor.



Bagi suri rumah, Cik Marasmawati Abdul Rahman, beliau memakan makanan tambahan hanya kerana ia disyorkan pakar dermatologinya.



Cik Marasmawati, 45 tahun, berkata beliau tidak mempunyai vitamin D yang mencukupi di dalam badan.



Maka itu, Cik Marasmawati mendapatkan makanan tambahan dan memastikan beliau mengambil dos yang ditetapkan setiap hari.



Namun, ada juga yang cuba mengelak daripada bergantung kepada makanan tambahan.



Bagi mahasiswa tahun ketiga, Encik Danial Iylia Roslin, 23 tahun, beliau berhenti memakan makanan tambahan kerana lebih cenderung mendapatkan nutrien daripada makanan semula jadi.



Menurutnya, ia bermasalah jika seseorang itu bergantung sepenuhnya dengan makanan tambahan untuk menggantikan diet sihat.



"Ada yang makan makanan tambahan dengan pemikiran bahawa makanan tambahan boleh membantu dalam mengimbangi diet mereka supaya mereka boleh memilih diet kurang sihat," ujarnya.



Pakar pemakanan, Cik Humairah Hameed, akur akan manfaat makanan tambahan.



"Walaupun ramai di antara kita tidak memerlukan tambahan vitamin dan mineral, ada golongan tertentu yang memerlukannya contohnya, mereka yang mempunyai sekatan diet (misalnya vegan - golongan yang makan sayur dan buah-buahan sahaja), kekurangan nutrisi, mereka yang di tahap kitaran hayat tertentu (misalnya wanita hamil atau menyusukan), atau mereka yang telah menjalani pembedahan yang menjejas penghadaman nutrien, penyerapan, dan metabolisme," ujarnya.



Walau bagaimanapun, Cik Humairah tetap menasihati agar pengguna cuba untuk memilih makanan semula jadi yang sihat daripada bergantung sepenuhnya pada makanan tambahan.



Selain itu, beliau berkata bahawa pengguna perlu berwaspada dalam membeli makanan tambahan.



"Makanan tambahan bertindak balas mengikut cara yang berbeza bagi setiap individu, oleh itu, adalah lebih baik jika pengguna menyemak pengambilan itu dengan doktor mereka sebelum memakan makanan tambahan," ujarnya.



Encik Mohammed akur pentingnya langkah tersebut.



Beliau berkata mereka yang tidak pasti sama ada makanan tambahan sesuai dengan tubuh badan mereka, patut berjumpa doktor.



Baru-baru ini, isu pengambilan makanan tambahan mendapat perhatian apabila Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang ramai supaya usah membeli atau meminum dua jus buah-buahan Jus Al Sunnah Gold 1001 Khasiat Jus Alternatif dan Jus Al Sunnah 1001 Khasiat Jus Alternatif.



Dalam satu kenyataan pada 27 September lalu, HSA mendedahkan bahawa apabila diuji, kededua jus itu didapati mengandungi ramuan ubat steroid yang kuat dan tidak diisytiharkan.



HSA berkata lima pesakit, termasuk seorang kanak-kanak, mengalami kesan sampingan serius berpunca daripada steroid seperti sindrom Cushing yang menjadikan wajah membulat atau disebut 'wajah bulan' dan bahagian atas badan menggemuk. Ia disebabkan oleh penggunaan steroid yang berpanjangan.



Di samping itu, ia turut mengakibatkan kencing manis yang tidak dapat dikawal selepas meminum Jus Al Sunnah Gold 1001 Khasiat Jus Alternatif.



Mengulas kes tersebut, ketua pegawai operasi Natures Ville Pte Ltd, Cik Aidah Talip berkata bahawa ada di antara pelanggan beliau yang terjejas dan bimbang kerana salah satu produk yang dipasarkan syarikat beliau mempunyai nama serupa, iaitu Jus Sunnah.



Meskipun laporan tentang makanan tambahan yang berbahaya boleh menjejas pasaran, Cik Aidah lebih mementingkan kesejahteraan warga awam yang membeli makanan tambahan.



"Kami sentiasa menasihati pelanggan kita tentang bahaya membeli produk dalam talian lebih-lebih lagi jika sumbernya tidak diketahui atau dari syarikat yang tidak didaftar," ujarnya.



Beliau percaya bahawa pembekal makanan tambahan memainkan peranan besar dan perlu bertanggungjawab dalam cara pemasaran.



"Makanan tambahan bertindak balas mengikut cara yang berbeza bagi setiap individu, oleh itu, adalah lebih baik jika pengguna menyemak pengambilan itu dengan doktor mereka sebelum memakan makanan tambahan."
- Pakar pemakanan, Cik Humairah Hameed.



"Ada yang makan makanan tambahan dengan pemikiran bahawa makanan tambahan boleh membantu dalam mengimbangi diet mereka supaya mereka boleh memilih diet kurang sihat."
- Mahasiswa tahun ketiga, Encik Danial Iylia Roslin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >