LEBIH 500 geran tunai kini tersedia bagi pekerja warga Singapura yang ingin mendalami kemahiran mereka dalam pelbagai bidang, seperti teknologi fesyen, kejuruteraan mekanikal, atau pastri dan memasak kuih.
Permohonan bagi fasa pertama Anugerah Pembelajaran SkillsFuture itu dibuka mulai Selasa (20 Okt), menurut Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA).
Anugerah bernilai $5,000 setiap satu itu diberi pemerintah bagi menyokong pekerja muda dan pertengahan kerjaya yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.
Lapan sektor pertama yang bersedia menerima permohonan ialah pembinaan, penerbangan, syarikat antarabangsa, maritim, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan sosial, makanan dan minuman, dan runcit.
Anugerah itu bertujuan memberi subsidi bagi yuran kursus pekerja, di samping membantu majikan menjimatkan kos latihan.
Sehingga 2,000 anugerah akan disediakan setiap tahun, secara beransur-ansur bagi lebih banyak sektor.
Ia tidak mengenakan sebarang bon dan boleh digunakan bagi menokok subsidi kursus sedia ada pemerintah.
Pemohon harus mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja di sektor relevan dan menunjukkan rekod prestasi pendidikan berterusan.
Pekerja Singapura boleh memohon anugerah itu dan majikan boleh mencalonkan pekerja mereka di www.skillsfuture.sg.