GANTRI tambang baru yang membolehkan golongan kurang upaya keluar dan masuk stesen MRT tanpa perlu menyentuh kad EZ-Link mereka sedang dicuba di empat stesen MRT - Bedok, Kembangan, Redhill dan Tiong Bahru.
Ini bermakna penumpang golongan tersebut boleh membayar tambang mereka menggunakan alat yang dilengkapi dengan fungsi Bluetooth bersama aplikasi tertentu atau kad teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
Alat dan kad itu tidak perlu disentuh pada pembaca tambang dan boleh disimpan di dalam beg atau poket pengguna.
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, melancarkan gantri tambang baru itu di stesen MRT Redhill semalam.
Sehingga November ini, 22 penumpang yang menggunakan kerusi roda dan 28 pegawai LTA akan menggunakan gantri tambang itu sebagai sebahagian perjalanan harian mereka.
Penumpang yang menggunakan kerusi roda itu dipilih LTA daripada pertubuhan seperti SG Enable dan badan kebajikan sukarela Persatuan Cacat Anggota (SPD).