SEPANJANG lima tahun menyandang jawatan sebagai jurutera perisian, Cik Nur Aqilah Muhammed Hashim berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai industri seperti minyak dan gas serta pengedaran air dan elektrik.
Melihat bagaimana industri tenaga khususnya tenaga yang diperbaharui kian berkembang di Singapura, ia sekali gus mencetuskan minat dalam diri Cik Nur Aqilah, 30 tahun, untuk turut menceburi bidang itu.
"Dengan peluang menceburi pelbagai industri sebelum ini, ia telah memberikan saya kesempatan untuk memikirkan industri manakah yang saya ingin berikan tumpuan.
"Sebenarnya, sebelum ini saya memang dah ada minat dalam tenaga yang boleh diperbaharui. Tetapi untuk menceburinya, saya memerlukan ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Elektrik," ujar lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Ngee Ann itu.
Enggan membiarkan impiannya terkubur begitu sahaja, Cik Nur Aqilah memutuskan untuk meningkatkan diri.
Namun, meskipun mempunyai pengalaman luas dalam industri kejuruteraan perisian, beliau akur bukan mudah untuknya kembali ke sekolah dan menuntut di peringkat universiti.
Banyak penyesuaian yang perlu beliau lakukan.
Malah, Cik Nur Aqilah mengakui pada awalnya beliau berasa kekok.
"Saya belum pegang buku untuk belajar selama beberapa tahun!" seloroh anak sulung dua beradik itu.
"Berbanding dengan rakan sekelas saya yang beberapa tahun lebih muda, mereka dapat melakukannya dengan lebih mudah, contohnya dari segi menghafal sesuatu.
"Di tempat kerja, kita banyak menggunakan logik untuk menyelesaikan sesuatu. Tetapi di sekolah, kebanyakannya adalah teori yang kita pelajari di dalam kelas," jelasnya.
Namun begitu, berkat sokongan rakan sekelas dan keluarganya, Cik Nur Aqilah berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang mahasiswi.
Malah, berbekalkan pengalaman yang beliau timba semasa bekerja, ia bukan sahaja membolehkan Cik Nur Aqilah membantu rakan sekelas, malah memberikan beliau kesempatan untuk mencatat prestasi yang baik dalam pengajiannya.
Cik Nur Aqilah berjaya meraih ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Tenaga Elektrik dari Institut Teknologi Singapura (SIT) baru-baru ini.
Dengan ilmu yang ada padanya kini, Cik Nur Aqilah berharap dapat menyumbang kepada industri, menjadi sebahagian daripada projek tenaga boleh diperbaharui yang akan mempunyai kesan penting pada masa depan.
Semasa menjalani Program Kajian Kerja Bersepadu SIT di syarikat yang menawarkan huraian pembaharuan tenaga tahun lalu, Cik Aqilah telah membangunkan Alat Reka Bentuk PV.
Alat itu mengautomasikan pengiraan bagi ukuran dan kos sistem suria yang dipasang untuk pelanggan syarikat.
Mengulas mengenai pengalaman itu, beliau berkata pengalaman tersebut hanya menguatkan lagi semangatnya untuk terus menceburi bidang tersebut.
Sejak September lalu, Cik Nur Aqilah sudah memulakan tugas sebagai jurutera tenaga boleh diperbaharui - sekali gus merealisasikan impiannya setelah sekian lama.
"Saya ghairah sangat dan tidak sabar untuk lihat bagaimana industri ini dapat berkembang pada masa akan datang.
"Bagi mereka yang mungkin ragu-ragu sekiranya mereka boleh (beralih dan) menceburi bidang lain, saya rasa jika tidak cuba, anda tidak akan tahu.
"Jadi sekiranya mampu untuk mengambil kursus atau latihan yang berlainan, saya rasa rebut peluang itu," nasihatnya.
"Saya belum pegang buku untuk belajar selama beberapa tahun!
Berbanding dengan rakan sekelas saya yang beberapa tahun lebih muda, mereka dapat melakukannya dengan lebih mudah, contohnya dari segi menghafal sesuatu.
Di tempat kerja, kita banyak menggunakan logik untuk menyelesaikan sesuatu. Tetapi di sekolah, kebanyakannya adalah teori yang kita pelajari di dalam kelas."
- Cik Nur Aqilah Muhammed Hashim.