Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perpaduan, daya tahan perlu dalam tangani Covid-19, kemelesetan

Aug 09, 2020 | 10:26 AM



PERPADUAN dan daya tahan, dua unsur penting dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi negara sebelum ni, lebih diperlukan dalam mengharungi Covid-19 dan menghadapi kemelesetan ekonomi.


Menekankan demikian dalam amanat Hari Kebangsaan sebentar tadi, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata pengalaman memerangi Covid-19 penuh onak dan duri tetapi ia telah menyatukan warga.


Malah, beban yang dipikul bersama ini akan memperkukuh ikatan sebagai rakyat yang bersatu padu, sama seperti bagaimana Generasi Perintis dan Generasi Merdeka memupuk semangat waja selepas mengalami peristiwa Perpisahan dan Kemerdekaan, serta krisis-krisis ekonomi pada tahun-tahun awal selepas Merdeka.  


Dengan Covid-19 belum berakhir di samping cabaran kemelesetan ekonomi, Encik Lee berkata: "Kita perlu sentiasa berwaspada dan beriltizam untuk melindungi diri kita, orang-orang yang disayangi dan jiran tetangga kita. Kita juga harus tabah untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang teruk."



Beliau melahirkan keyakinan bahawa Singapura akan dapat melalui krisis semasa itu, walaupun mungkin mengambil masalah lebih lama, dengan semua orang memainkan peranan secara bersama.


"Marilah kita kuatkan semangat dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang supaya suatu hari nanti, apabila cucu-cicit kita menyambut Hari Kebangsaan, mereka akan mengenang kembali dan dengan bangga menyatakan inilah generasi yang bersatu padu, berkorban, dan membina Singapura untuk semua," kata Encik Lee.


Encik Lee berkata, setiap tahun, tidak kira panas ataupun hujan, rakyat Singapura akan berhimpun pada 9 Ogos untuk Perbarisan Hari Kebangsaan, atau NDP, untuk meraikan kemerdekaan negara, dan memperbaharui komitmen kepada Singapura.


"Pada tahun-tahun kita mencatat pertumbuhan yang baik, NDP meraikan kemajuan kita, dan kita mengalu-alukan masa depan yang lebih cerah bersama. Pada tahun-tahun yang mencabar, kita masih menganjurkan NDP, untuk memperbaharui iltizam kita mengharungi badai yang melanda, dan memperteguh Singapura.


"Tahun ini, Hari Kebangsaan disambut di tengah-tengah pandemik Covid-19. Kita tidak dapat meraikannya seperti biasa, tetapi kita tetap bertekad untuk mengadakan NDP sebagai simbol perpaduan negara, seperti yang kita telah lakukan setiap tahun sejak kemerdekaan," katanya sambil mengalu-alukan penyertaan rakyat Singapura di serata negara dan di mana sahaja di dunia dalam NDP di alam maya dan menyambutnya bersama-sama.


Encik Lee menambah, NDP kali ini juga adalah peluang untuk mengiktiraf sumbangan para pekerja barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.


Beliau berkata ramai yang membuat sumbangan di luar jangkaan, dan menunjukkan sifat yang terpuji, seperti doktor dan jururawat yang telah bersara sanggup berkhidmat secara sukarela di hospital dan dormitori pekerja asing, meskipun terpaksa memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).


Dalam mesejnya itu juga Encik Lee mengongsi rekabentuk Dataran NS, struktur tetap yang menggantikan The Float @ Marina Bay, bagi memperingati NS dan peranan penting NS di Singapura.


"Dataran NS akan menjadi ciri utama pusat bandar baru kita. Kita akan membina sebuah galeri untuk mempamerkan kisah NS, dan mengiktiraf sumbangan anggota NS, dari dulu hingga sekarang. Dataran NS juga sebuah ruang masyarakat, yang boleh dinikmati semua orang, baik yang muda mahupun tua. Dan sudah tentu, kita akan terus mengadakan NDP di sana," kata Encik Lee.  



Amanat Hari Kebangsaan dalam bahasa Melayu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >