Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perpaduan masyarakat S'pura wajar jadi contoh rantau ini

Jun 26, 2019 | 05:30 AM



SINGAPURA telah menjalankan usaha baik membina sebuah masyarakat padu dan wajar dijadikan teladan di rantau ini.



Berkata demikian dalam wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini, pengerusi Majlis Dunia Masyarakat Muslim, Dr Ali Al Nuaimi, berkata Singapura, seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), menganggap kepelbagaian sebagai kekuatan dan bukan ancaman.



Ini dapat dicapai menerusi sistem pendidikan yang menggalak sifat saling menghormati dan kehidupan bersama dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama.



Selain pendidikan yang memainkan peranan penting memerangi idea ekstrem dan membangunkan sebuah masyarakat padu, Dr Ali berkata golongan wanita dan belia juga harus diperkasa untuk membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh.



"Wanita antara lain memainkan peranan ibarat gam yang menyatupadukan keluarganya sebagai ibu dan isteri.



"Mereka mengasuh anak-anak, membimbing mereka dengan baik, menasihatkan mereka dan mendekati mereka mengenai hal yang baik untuk diri dan keluarga mereka serta masyarakat," kata Dr Ali.



Di UAE, beliau berkata kebanyakan tenaga pengajar di universiti terdiri daripada kaum Hawa dan sekitar 80 peratus daripada pelajar yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian mereka ke luar negara merupakan wanita.



Malah, kebanyakan warga UAE yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) kini merupakan wanita.



Dr Ali berkata usaha lebih giat turut dijalankan untuk memperkasa wanita di setiap peringkat, baik dalam tenaga kerja, masyarakat mahupun di peringkat lebih tinggi termasuk dalam bidang pentadbiran negara.



Hasil usaha itu, beliau berkata lebih ramai wanita telah tampil merebut peluang memainkan peranan kepimpinan.



Ini satu petanda yang positif kerana wanita yang diperkasa itu juga dapat membimbing keluarga mereka dengan lebih yakin.



Keluarga yang utuh pula merupakan kunci kepada sebuah masyarakat yang kukuh dan ini penting, lebih-lebih lagi dengan pelbagai cabaran rumit yang wujud sekarang termasuk penyebaran ideologi ekstrem dan berita palsu.



Dr Ali berkata golongan belia juga harus diberi ruang dan peluang berkongsi harapan dan impian mereka bagi masa depan yang mereka inginkan.



Menarik perhatian cabaran berbeza yang dihadapi belia sekarang, beliau berkata pemimpin yang lebih berpengalaman harus lebih bersedia mendengar aspirasi anak muda ini dan membimbing mereka, dan bukan sekadar mengarahkan mereka untuk melakukan perkara tertentu.



"Kadang-kadang kita dibebani oleh sejarah silam yang pernah kita lalui dan golongan yang lebih tua mempunyai pelbagai hambatan disebabkan sejarah itu.



"Namun, golongan muda tidak dibebani sejarah silam ini. Kalau kita biarkan mereka bekerjasama, pastinya mereka tidak akan rasa tersekat oleh apa-apa," ujarnya.



Dr Ali yang juga pengerusi Hedayah Centre, sebuah pusat antarabangsa di Abu Dhabi yang bertujuan menggalak usaha memerangi ekstremisme ganas, berada di Singapura baru-baru ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) anjuran Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).



Kejayaan persidangan itu, yang diadakan buat kali pertama tahun ini serta dihadiri 700 peserta dari hampir 40 negara, menunjukkan hasil pencapaian Singapura membangunkan sebuah masyarakat padu, kata Dr Ali.



"Jangan lihat Singapura sebagai sebuah negara kecil tetapi lihat pada keadaannya dahulu dan sekarang.



"Dan Singapura merupakan pendahulu dalam rantau Asia Tenggara dari segi pencapaian dan kemajuannya dalam bidang ini.



"Negara ini bertuah mendapat pimpinan yang baik sejak awal... tanpanya, Singapura mungkin tidak dapat mencapai apa yang ada sekarang.



"Kini, dunia melihat kepada Singapura sebagai satu contoh baik," katanya.



Namun, usaha memerangi ekstremisme dan cabaran baru yang dihadapi negara di seluruh dunia - termasuk berita palsu - memerlukan kerjasama setiap negara.



Oleh itu, Dr Ali berkata adalah penting negara yang berbeza terus berkongsi pengalaman dan belajar daripada satu sama lain tentang usaha menangani cabaran itu bagi membangunkan pendekatan menyeluruh untuk mengatasinya.




"Jangan lihat Singapura sebagai sebuah negara kecil tetapi lihat pada keadaannya dahulu dan sekarang. Dan Singapura merupakan pendahulu dalam rantau Asia Tenggara dari segi pencapaian dan kemajuannya dalam bidang ini. Negara ini bertuah mendapat pimpinan yang baik sejak awal... tanpanya, Singapura mungkin tidak dapat mencapai apa yang ada sekarang. Kini, dunia melihat kepada Singapura sebagai satu contoh baik."
- Pengerusi Majlis Dunia Masyarakat Muslim, Dr Ali Al Nuaimi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >