PEMANDU kenderaan sewa privet seperti limosin, kereta dan bas kombi kini mempunyai persatuan untuk mewakili mereka dalam perbincangan dengan syarikat seperti Uber dan Grab, dan Pemerintah.
Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional didaftarkan secara rasmi pada 3 Mei dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menganggarkan terdapat kira-kira 6,000 hingga 8,000 pemandu sepenuh masa kenderaan seperti itu di sini, dan juga pemandu sambilan.
Demikian menurut NTUC pada Rabu (11 Mei).
Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri NTUC menyokong pembentukan persatuan itu, selepas sekumpulan pemandu mendekati NTUC tahun lalu bagi membantu menubuhkan sebuah pertubuhan.
Pengarah strategi unit tersebut, Encik S. Thiagarajan, berkata dalam satu taklimat media pada Rabu (11 Mei) selain mendapat suara kuat, mereka yang menyertai persatuan itu akan menjadi anggota gerakan pekerja dan mendapat manfaat seperti insurans percuma, sokongan latihan kemahiran dan dermasiswa untuk anak-anak.
Ada keperluan memastikan pemandu sewa privet yang semakin bertambah dilayan dengan adil dan boleh tumbuh sejajar dengan keperluan pasaran, katanya.
"Memandangkan ada perbincangan mengenai pelesenan dan pengawalseliaan, pemandu mahu berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka memberi pandangan dan maklum balas," katanya.
"Kami berharap dapat mempunyai platform tetap, dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bertemu pemandu setiap beberapa bulan."
Sebuah jawatankuasa pro-tem 15 anggota telah dibentuk bagi memacu kempen menarik anggota.