MULAI 1 Februari, hanya pemandu teksi dan kereta sewa privet yang sudah lengkap divaksin dibenarkan membawa penumpang, di kala persatuan mereka meminta agar tempoh notis lebih panjang diberi bagi pemandu memenuhi ketetapan ini.
Penasihat Persatuan Teksi Nasional dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional, Cik Teo Wan Ling, berkata pemandu belum divaksin melahirkan keprihatinan tidak dapat meraih status lengkap divaksin tepat pada masanya, bererti mereka akan kehilangan pendapatan sedang mereka perlu membayar kos seperti tambang sewa kenderaan.
"Kami telah mengemukakan keprihatinan kami kepada pemerintah dan meminta tempoh notis yang sama diberi kepada yang bekerja sebagaimana ia diberi kepada yang bekerja sendiri dan pekerja bebas," tulis Cik Teo di Facebook pada Jumaat malam (7 Januari).
Beliau mendapati ini akan memberikan pemandu masa secukupnya untuk membuat perancangan vaksinasi atau mencari pekerjaan lain.
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol itu memberitahu akhbar The Straits Times pada Ahad bahawa dua persatuan ini berharap dapat melanjutkan tarikh akhir yang diberi bagi sekurang-kurangnya dua bulan.
"Ini adalah untuk memberi pemandu itu masa secukupnya memandangkan ia mengambil lebih daripada sebulan untuk mendapatkan status vaksinasi lengkap. Kami juga sedang melihat sama ada kami boleh mendapatkan vaksinasi keutamaan buat pemandu yang perlu mendapatkannya," jelasnya.
Pemerintah mengumumkan pada 27 Disember bahawa hanya pekerja yang lengkap divaksin, disahkan secara perubatan tidak layak untuk vaksinasi, atau yang sudah pulih daripada Covid-19 dalam masa 180 hari mungkin boleh kembali ke tempat kerja.
Jurucakap Penguasa Pengakutan Darat (LTA) akur bahawa ini melibatkan mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan kereta sewa privet.
"Kami akan terus menggalakkan pemandu teksi dan kereta sewa privet yang layak secara perubatan tetapi belum tamat vaksinasi agar berbuat demikian secepatnya," jelasnya kepada akhbar The Straits Times pada Ahad.
Lebih 99 peratus masyarakat pemandu dari titik ke titik sudah lengkap divaksin. Sebelum ini, sehingga September, terdapat lebih 145,000 pemilik lesen teksi dan kereta sewa privet, mengikut data LTA. Ini bererti lebih 1,000 pemilik lesen sebegitu yang belum lengkap divaksin.
Sebagai perbandingan, ketetapan ini diumumkan buat pekerja yang digajikan pada 23 Oktober. Undang-undang pada ketika itu adalah mulai 1 Januari, kakitangan yang kembali ke tempat kerja harus lengkap divaksin atau pulih daripada Covid-19 dalam tempoh 270 hari lalu.
Ini bererti golongan yang belum divaksin harus diuji negatif Covid-19 sebelum mereka kembali ke tempat kerja.
Namun, pihak berkuasa berkata pada Disember konsesi ini akan ditiadakan mulai 15 Januari, dengan pekerja yang hanya sekali divaksin diberi tempoh hingga 31 Januari untuk melengkapkan rejim vaksinasi mereka.
Cik Yeo menjelaskan di pos Facebooknya bahawa kebanyakan operator teksi akan meniadakan penalti bagi penamatan kontrak jika pemandu tidak lengkap divaksin.
"Kami menggesa operator platform lain mempertimbangkan langkah serupa untuk membantu pemandu yang terjejas," jelasnya.
Beliau memberitahu akhbar The Straits Times bahawa pihak operator juga membantu dengan mengurangkan yuran sewa buat pemandu yang terjejas oleh ketetapan terkini.
Cik Yeo menambah ramai pemandu kini ingin mendapatkan suntikan penggalak.
"Pemandu kita juga rajin dalam mengamati amalan kebersihan yang baik agar penumpang dijaga dengan selamat," katanya.
Semua pemandu teksi dan kereta sewa privet kini perlu menjalani ujian Covid-19 mingguan - satu ketetapan yang LTA umumkan pada Oktober. Atas sebab praktikal, pemandu diberi kit ujian pantas antigen dan dibenarkan menguji diri mereka sendiri mengikut keselesaan masa.
Seorang jurucakap Gojek berkata syarikat e-panggilan itu sedang bekerjasama dengan pemerintah dan pemegang taruh lain bagi membantu pemandunya memenuhi langkah vaksinasi terkini.
Beliau menambah: "Kami mahu terus mengingatkan rakan kerjasama pemandu untuk kekal berjaga-jaga, mengamati amalan kebersihan yang baik serta membantu untuk memastikan sekitaran yang selamat buat kedua-dua pemandu dan penunggang."