Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Persiap golongan belia hadapi masa depan melalui 3 cara

Beri asas baik, pupuk kebiasaan belajar sepanjang hayat dan perboleh mereka capai cita-cita
Jul 01, 2021 | 05:30 AM



SEDUTAN UCAPAN TIMBALAN PERDANA MENTERI, ENCIK HENG SWEE KEAT DI SIMPOSIUM PENDIDIKAN MENDAKI



KINI, kebanyakan daripada kita sudahpun dapat menyesuaikan diri hidup dengan virus ini termasuk berjumpa secara maya seperti hari ini.



Namun, dunia masih berdepan dengan pandemik ini yang telah mengganggu kehidupan dan mata pencarian secara global.



Lebih 168 juta pelajar belum kembali ke sekolah dalam lebih setahun, lebih 250 juta kehilangan kerja.



Di Singapura, virus ini mengetengahkan beberapa kelemahan kita.



Isi rumah berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai sekitaran yang sesuai bagi pembelajaran di rumah (HBL).



Banyak pekerjaan juga terganggu, termasuk pekerjaan yang stabil sebelum ini, misalnya, kakitangan penerbangan, pemandu teksi dan pemandu pelancong.



Namun, dengan semua orang memainkan peranan masing-masing, kita telah melalui tempoh paling buruk dalam krisis ini.



Lebih daripada krisis semasa ini, Covid-19 juga telah mempercepat peralihan struktur.



Satu peralihan utama ialah bagaimana perniagaan dan orang ramai berpindah ke dalam talian.



Bekerja dari rumah (WFH) menjadi lumrah, tetapi ini akan disusuli dengan kaedah bekerja dari mana-mana, yang mendedahkan pekerja kita kepada persaingan lebih hebat.



Untuk mempersiap para belia kita bagi masa depan, kita perlukan usaha seluruh masyarakat.



Izinkan saya mengemukakan tiga cadangan bagaimana kita dapat mempersiap golongan muda kita.



Pertama, dengan memberi mereka asas yang baik. Kedua, dengan memupuk kebiasaan belajar sepanjang hayat, dan ketiga, dengan membolehkan mereka mencapai cita-cita mereka.



1. ASAS YANG BAIK



Pertama, memberi asas yang baik. Mendapatkan yang terbaik daripada setiap individu bermula sejak lahir.



Kita sedang melabur dengan besar dalam mendidik anak kita, bermula dari prasekolah, dengan sokongan tambahan bagi mereka yang memerlukannya.



Dalam hal ini, Mendaki telah secara kreatif menghasilkan program baik.



Program KMM@CC atau KelasMateMatika@CC anda membantu anak kecil membina asas yang kuat dalam kemahiran celik angka.



Saya gembira kerana dalam tempoh Covid-19 ini, program ini tetap dapat diakses dengan beralih ke dalam talian.



Pelajar kita telah mencapai kemajuan baik saban tahun, berbanding dengan rakan sebaya antarabangsa mereka.



Mereka menunjukkan prestasi baik dalam penanda aras antarabangsa seperti Pisa (Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa).



Malah pelajar kita yang lebih lemah dari segi akademik juga menunjukkan prestasi lebih baik daripada purata pelajar antarabangsa.



Selain dari segi akademik, pelajar kita juga berjaya dalam pengukuran kemahiran hidup Pisa lain, seperti menyelesaikan masalah secara kolaboratif.



Pelajar kita juga berjaya dalam "kecekapan global" - keupayaan meneliti isu-isu global dan silang budaya, menghargai perspektif berbeza, dan bertindak secara bertanggungjawab bagi kesejahteraan bersama.



Ini adalah bukti usaha bersama kita, termasuk kerja cemerlang golongan pendidik kita, dalam membangunkan setiap anak secara menyeluruh.



Ini dengan membina bakat dan minat setiap anak, memberi mereka asas akademik dan kemahiran insaniah yang kukuh, dan memupuk kesejahteraan sosial dan emosi mereka.



Namun mencungkil yang terbaik daripada setiap anak tidak boleh dilakukan melalui sistem sekolah sahaja dan memerlukan masyarakat memain peranan.



Satu contohnya ialah rangkaian daya usaha di bawah Uplift (Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga), pasukan bertindak silang agensi yang ditubuhkan pada 2018.



Setiap sekolah telah memperkuat penjagaan dan sokongan selepas sekolah, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai persekitaran rumah yang kondusif.



Di luar sekolah, Uplift telah membawa bersama rakan masyarakat untuk menyokong pelajar dan keluarga mereka yang kurang bernasib baik.



Mendaki adalah rakan masyarakat utama bagi Uplift. Ini termasuk dengan program bimbingan bagi menyediakan teladan baik yang boleh dicita-citakan oleh pelajar.



Inisiatif terbaru untuk menubuhkan kumpulan kerja Penyelidikan Pendidikan Pejabat Mendaki-NIE (Institut Pendidikan Nasional) adalah salah satu contoh baik.



Kumpulan kerja ini akan memudahkan perkongsian penemuan penyelidikan dan amalan terbaik, dan membantu meningkatkan pembentukan program untuk memenuhi keperluan pelajar dengan lebih baik.



2. PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT



Memberi persiapan yang baik kepada setiap anak adalah penting. Tetapi dengan sendirinya, ini tidak mencukupi.



Ini membawa saya ke perkara kedua - memupuk kebiasaan belajar sepanjang hayat.



Oleh kerana pengetahuan dan teknologi maju dengan lebih pantas, apa yang kita pelajari di sekolah tidak akan mencukupi.



Kita perlu belajar kemahiran baru, supaya boleh mendapat pekerjaan baru.



Satu contoh baik - 15 tahun lalu, telefon bijak tidak wujud.



Tidak ramai yang faham apa itu aplikasi, juga lagi kurang yang terfikir anda boleh mempunyai kerjaya membangunkan aplikasi.



Hari ini Apple App Store sahaja mempunyai lebih daripada 2 juta aplikasi dan pembangun aplikasi adalah kerjaya yang menjanjikan peluang.



Zaman "pekerjaan seumur hidup" telah berakhir - yang lebih penting adalah "daya kerja sepanjang hayat".



Oleh itu, kami menggandakan usaha mempersiap pekerja dan perniagaan kita untuk masa depan.



Kami memulakan dengan Peta Transformasi Industri, yang dimulakan lima tahun yang lalu.



Kami sedang dalam proses menyegarkan rancangan kami untuk lima tahun ke depan, dengan tumpuan yang lebih besar terhadap pekerjaan dan kemahiran.



Pada masa yang sama, kami akan teruskan SkillsFuture Tahap Seterusnya untuk menyokong warga kita dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat ini.



Masyarakat juga mempunyai peranan.



Sebagai contoh, Mendaki Sense menawarkan khidmat bimbingan kerjaya yang disesuaikan untuk golongan profesional dan eksekutif yang mencari peluang baru, dan menyediakan kursus latihan dalam bidang seperti analisis data.



Tetapi untuk mencapai pekerjaan sepanjang hayat, sekadar menyertai beberapa program latihan tidak mencukupi.



Untuk mencapai pekerjaan sepanjang hayat, kita mesti berfikir jangka panjang dan mengembangkan kebiasaan pembelajaran sepanjang hayat.



3. PERKASA BELIA KEJAR ASPIRASI



Kita semua lebih terdorong untuk belajar dan belajar semula, ketika kita mengejar cita-cita kita.



Oleh itu, perkara ketiga adalah - marilah kita membolehkan para belia kita mencapai aspirasi mereka.



Dalam satu ucapan beberapa minggu lalu, saya menyatakan bahawa setiap generasi mempunyai aspirasi tersendiri.



Berdasarkan apa yang dikongsi oleh para belia dengan saya, saya merumuskan aspirasi mereka sebagai 3 C:



i. Create (Cipta) lebih banyak nilai untuk masyarakat dalam setiap bidang kehidupan,



ii. Care (Peduli) orang dan sekitaran di sekeliling kita; dan



iii. Chart (Cartakan) langkah ke hadapan untuk masyarakat kita.



Ini adalah satu set aspirasi yang memberi inspirasi, bagi membuat perbezaan di dunia.



Adalah penting sebagai masyarakat, kita mendorong dan memupuk aspirasi ini.



Kumpulan masyarakat dapat memberi sokongan kepada perubahan.



Saya gembira kerana Mendaki mempunyai inisiatif yang baik membantu anak muda kita mempunyai impian besar, seperti Makmal Forum Pemimpin Masyarakat anda yang menyediakan dana untuk belia beraspirasi yang memerlukan wadah bagi menguji idea segar dan inovatif mereka.



Kelab Mendaki juga mengumpulkan karyawan muda dan pelajar, melalui program bimbingan (mentorship), inkubator kepemimpinan, dan bengkel kerjaya.



Saya mengambil kesempatan memuji Faridah (Cik Faridah Saad, Presiden, Kelab Mendaki & Timbalan Pengarah, Enterprise Singapore) dan pasukan anda atas tugas cemerlang dan menggalakkan untuk mencipta lebih banyak peluang bagi belia kita menghasilkan sesuatu yang berbeza.



Saya juga gembira Mendaki, bersama rakan M³ (M Kuasa Tiga) - Muis dan Mesra, telah menyediakan wadah para belia bergerak sebagai mentor, dengan Pejabat Bimbingan Belia (Youth Mentoring Office) di bawah M³ melatih belia untuk berkhidmat sebagai mentor dalam masyarakat.



KESIMPULAN



Hari ini saya telah memberi tiga cadangan secara luas yang ingin saya bincangkan dengan anda semua - mari kita lakukan lebih banyak perkara:



  • Memberi asas yang baik kepada semua orang,

  • Memupuk kelaziman pembelajaran sepanjang hayat,

  • Memperkasa belia kita mencapai cita-cita mereka.

Kita boleh melakukan ini dengan bekerjama dalam perkongsian.



Mendaki dan kumpulan masyarakat lain, bersama rakan dan sukarelawan anda, dapat memacu usaha ini.



Dan yang paling penting, kepada ibu bapa di antara kita, akhirnya anda yang mempunyai pengaruh lebih besar terhadap generasi akan datang."




Lebih daripada krisis semasa ini, Covid-19 juga telah mempercepat peralihan struktur. Satu peralihan utama ialah bagaimana perniagaan dan orang ramai berpindah ke dalam talian.



Bekerja dari rumah (WFH) menjadi lumrah, tetapi ini akan disusuli dengan kaedah bekerja dari mana-mana, yang mendedahkan pekerja kita kepada persaingan lebih hebat.



Untuk mempersiap para belia kita bagi masa depan, kita perlukan usaha seluruh masyarakat...



Ini dengan membina bakat dan minat setiap anak, memberi mereka asas akademik dan kemahiran insaniah yang kukuh, dan memupuk kesejahteraan sosial dan emosi mereka.



Namun mencungkil yang terbaik daripada setiap anak tidak boleh dilakukan melalui sistem sekolah sahaja dan memerlukan masyarakat memain peranan."
- Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >