LEBIH banyak usaha akan dilakukan untuk menggalak lebih banyak penggunaan kenderaan elektrik untuk kegunaan komersial, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor.
Ini termasuk merancang dan membina satu rangkaian kukuh alat mengecas berkuasa tinggi dan mudah diakses serta lebih banyak tempat mengecas.
Dr Khor berkata demikian semasa berucap di pelancaran platform digital bagi syarikat pengirim barang dan pemilik kumpulan kenderaan menguruskan kegiatan rantaian bekalan mereka yang diberi nama Clickargo.
Platform itu membenarkan perancangan mengoptimum laluan yang akan membantu mengurangkan penggunaan minyak bagi trak-trak penghantaran.
Dr Khor berkata pemilik komersial yang beralih kepada kenderaan elektrik atau tenaga lebih bersih berpeluang menikmati penjimatan menyusuli kos elektrik yang lebih rendah berbanding minyak, lantas mengurangkan kos operasi mereka.
"Berita baiknya - mengikut lingkaran hayat kenderaan komersial yang berjalan lebih jauh, pemilik berpeluang menikmati penjimatan daripada kos elektrik yang lebih rendah - lantas mengurangkan kos operasi," katanya.
Lantas bagi memenuhi keperluan mengecas kenderaan komersial, Dr Khor berkata pihaknya jangkakan lebih banyak tempat mengecas akan dikerah pada masa akan datang, termasuk di beberapa tempat meletak kereta awam.
Dr Khor menambah bahawa penggunaan kenderaan barangan ringan (LGV) elektrik membentuk sekitar 28 peratus daripada keseluruhan LGV baru yang didaftarkan tahun lalu. Ini merupakan kadar penggunaan tertinggi di seluruh segmen kenderaan dalam usaha membantu kenderaan komersial memanfaatkan tenaga lebih bersih.
"Segmen kenderaan komersial amat kritikal dalam usaha ini.
"Malah untuk kekal dalam landasan mencapai pengeluaran yang disasarkan, kami telah umumkan satu visi bagi semua kenderaan, termasuk kenderaan komersial untuk menggunakan kuasa tenaga lebih bersih menjelang 2040.
"Meskipun kenderaan komersial membentuk hanya seperenam daripada keseluruhan kenderaan kami, ia membentuk sekitar 40 peratus daripada kesemua pengeluaran (karbon) pengangkutan darat hari ini," katanya.
Tahun lalu pemerintah telah mengumumkan sasaran bagi Singapura untuk mencapai pengeluaran karbon sifar menjelang 2050.
Menurut Dr Khor kebanyakan kenderaan komersial di Singapura menggunakan diesel dan bergerak lebih jauh.
Justeru sekiranya pemilik kenderaan komersial beralih kepada tenaga elektrik atau lebih bersih pada masa akan datang, ini akan dapat kurangkan pengeluaran (karbon) pengangkutan darat, katanya lagi.